KAMPONG Bharu Kuala Lumpur, sebuah penempatan Melayu ikonik dan tetap utuh di tengah-tengah ibu kota metropolitan. 



KISAH keunggulan Kampong Bharu, Kuala Lumpur sebagai pusat intelektual, budaya, dan ekonomi Melayu wajar diangkat kembali dan dipelihara oleh generasi sekarang bangsa ini.

Di Kampong Bharu inilah,  bermulanya banyak kisah kejayaan malah merupakan tempat di mana nilai-nilai tradisi dan semangat komuniti Melayu terus hidup serta masih gagah meniti arus kemodenan masa.

Kedua-dua gesaan ini dibuat oleh Timbalan Rektor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Prof. Madya Zulkifli Ab. Rashid dan Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampong Bharu, Kuala Lumpur, Shamsuri Suradi.

“Setiap bangunan lama yang masih berdiri, setiap lorong kecil yang pernah menjadi laluan tokoh-tokoh besar dan setiap surau serta masjid yang menjadi saksi perjalanan keagamaan masyarakat -- semua ini ialah khazanah yang perlu kita pelihara,” tegas Zulkifli yang juga Penasihat Kehormat (Sejarah, Kebudayaan dan Kesenian) MAS Kampong Bharu.


TOKOH-TOKOH pejuang pembangunan dan pemuliharaan Kampong Bharu Kuala Lumpur antaranya Zulkifli Ab. Rashid (dua dari kanan) dan Shamsuri Suradi (empat dari kiri) serta Datuk Mohammad Nor Khalid atau kartunis Lat (dua dari kiri). 


Gesaan dua tokoh Kampong Bharu ini dipetik daripada siaran media bersempena sambutan ulang tahun ke-125 penempatan orang-orang Melayu ikonik di tengah-tengah ibu kota metropolitan Malaysia itu tanggal 12 Februari 2025 lalu.

Warisan budaya Melayu ini pada majlis perasmian yang simbolik turut menyaksikan sesi pertukaran memorandum persefahaman dan persefahaman (MoU dan MoA) antara MAS kampung berkenaan dan rakan-rakan strategik termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pemeteraian kerjasama ini menandakan komitmen bersama mereka dalam memelihara dan memulihara warisan Kampong Bharu serta mempromosikan sejarah dan budaya masyarakat Melayu.

Rakan-rakan strategik itu ialah Pustaka UTM, Persatuan Alumni Aswara, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Waris Nakhoda Yusof, Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) serta syarikat swasta seperti Mike Bikes Sdn. Bhd. dan Elenet Sdn. Bhd.


KAMPONG Bharu Kuala Lumpur dengan pintu gerbangnya sentiasa menyambut para tetamu khususnya pelancong dalam dan luar negara sebagai antara daya tarikan mereka di ibu negara. 


Majlis ini turut dihadiri pelbagai pihak, termasuk wakil kerajaan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta, dan penduduk setempat.

Kata Shamsuri, "ulang tahun ke-125 ini membuktikan komitmen MAS sebagai badan yang diamanahkan untuk mentadbir Kampong Bharu sejak 1900.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan rakan-rakan strategik bagi memastikan kelestarian Kampong Bharu sebagai pusat kebudayaan dan warisan Melayu yang dinamik.

“Saya amat berharap sambutan ini akan menginspirasikan generasi muda untuk menghargai warisan dan budaya kita,” ujarnya.



Sambutan Ulang Tahun Ke-125 Kampong Bharu, Kuala Lumpur 2025 mengangkat tema, "Di Sini Awal Segalanya Bermula," - sebuah manifestasi yang sarat dengan makna sejarah dan warisan.

Melalui kolaborasi ini, Kampong Bharu Kuala Lumpur akan terus dilihat membangun sebagai sebuah hab warisan, budaya dan ekonomi Melayu yang kekal hidup, di mana tradisi dan pembangunan berjalan seiring.

Ujar Zulkifli, “seiring dengan pembangunan yang dirancang, kita perlu memastikan bahawa akar budaya dan sejarah Kampong Bharu tetap utuh.

“Pembangunan yang bakal dilaksanakan haruslah berpaksikan kepada prinsip pemeliharaan identiti, bukan penghapusan warisan,” katanya lagi.  

Antara program-program sempena sambutan ulang tahun ini termasuk pameran “Kampong Bharu Truly Kuala Lumpur”, Pasar Minggu Kampong Bharu, Konsert Irama Tradisi Kampong Bharu, Kampung Bharu Berselawat dan Podcast MAS Kampong Bharu. 


ANTARA tetamu kenamaan dan hadirin tekun mendengar ucapan sempena majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-125 Kampong Bharu Kuala Lumpur di Dewan Orang Ramai Kampung Paya. 


MAS Kampong Bharu Kuala Lumpur merupakan satu-satunya penjaga sah penempatan Melayu ini sejak penubuhannya pada 1900 bagi mentadbir dan mengurusnya sebagai tanah rizab Melayu selain memastikan pemeliharaan identiti Melayu, melindungi pemilikan tanahnya dalam komuniti dan mengawal selia amalan pertanian serta aktiviti komuniti.

Peranan ini diperkukuh secara sah oleh Enakmen Rizab Melayu 1913 dan Undang-Undang Kecil MAS yang memberikan kuasa kepada MAS untuk mengawasi pemilikan tanah kampung ini supaya urus niaganya mematuhi undang-undang rizab Melayu yang mengehadkan pemilikan, pemindahan dan pewarisan kepada orang Melayu sahaja.

MAS juga memastikan sebarang perubahan menghormati tujuan pemeliharaan warisan Melayu selain bertanggungjawab terhadap kebajikan keseluruhan masyarakat Kampong Bharu Kuala Lumpur termasuk infrastruktur dan pembangunan komuniti. - KitaReporters


SHAMSURI Suradi (kiri) bersama-sama tetamu kenamaan lain seperti Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan (dua dari kiri).  


0
0
0
0
0

Copy Link: