Video| Pok Dir masih sihat! Ingat lakonan bersama P Ramlee! Penyamun pertama disiram minyak panas!
Published byFilem ‘Ali Baba Bujang Lapok’ arahan Tan Sri P Ramlee diterbit pada tahun 1960 tetapi ditayang kepada umum mulai 1 Februari 1961.
Walaupun sudah berusia hampir 65 tahun ia masih ditonton masyarakat sama ada di stesen TV, saluran YouTube atau dalam cakera padat. Ia adalah antara filem P Ramlee yang terus diingati generasi dulu, kini dan akan datang.
Dalam filem siri Bujang Lapok, ia bermula dengan filem ‘Bujang Lapok’ (1957), ‘Pendekar Bujang Lapok’ (1959). ‘Ali Baba Bujang Lapok’ (1960) dan ‘Seniman Bujang Lapok’ (1961). Bintang utama bagi filem-filem ini ialah P Ramlee, S Shamsudin dan Aziz Sattar.
Keempat-empat filem ini dapat diingati para peminat filem Melayu klasik terutama lakonan dan arahan P Ramlee.
Bagi filem ‘Ali Baba Bujang Lapok’ yang mula ditayang pada 31 Januari 1961, antara adegan yang terus diingati ialah ketika Marjina (lakonan Sarimah) selaku orang gaji Kassim Baba (lakonan S Shamsuddin) mencurahkan minyak panas dalam tempayan yang dihuni 40 penyamun. Daripada senarai 40 penyamun itu wajah yang diingati cuma pelakon H.M Busra.
Kebanyakan penyamun itu sudah pun meninggal dunia. Namun difahamkan tinggal dua orang yang masih hidup. Seorang daripadanya ialah pelakon veteran A. Galak.
Namun terdapat seorang lagi yang masih hidup. Dia ialah Abdul Kadir Mamat, yang lebih dikenali sebagai Pok Dir, 85. Dia merupakan penyamun pertama yang dicurah minyak panas oleh Marjinah.
/
Pok Dir memperlihat adegan dia mengelupur disiram minyak panas dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapok' dalam telefon pintarnya
Bagi Pok Dir, berlakon di bawah arahan P Ramlee memberi pengalaman tersendiri kepadanya.
Anak jati kelahiran Kampung Berhala Lima, Peringat, Kota Bharu yang lahir pada 1 Jun 1940 ini walaupun hanya menjadi pelakon tambahan dalam ‘Ali Baba Bujang Lapok’ dan ‘Seniman Bujang Lapok’, namun dia pernah mendapat liputan beberapa media. Antaranya akhbar Utusan Malaysia dan portal Free Malaysia Today (FMT).
Dalam temu ramah dengan sebuah media beberapa tahun lalu, Pok Dir menceritakan situasi ketika adegan 40 penyamun disiram minyak panas.
Menurutnya ia benar-benar minyak panas yang dituang. Tetapi dengan kepandaian P Ramlee, minyak yang mengelegak itu tidak mencederakan para pelakon.
Walaupun tahu caranya namun Pok De enggan menceritakan rahsianya. Namun Pok De mengakui kehebatan P Ramlee bukan sahaja dari segi arahan, lakonan, nyanyian dan muzik, malah dia juga mempunyai ilmu persilatan dan kebatinan yang agak tinggi yang hanya golongan tertentu yang mengetahuinya.
Bersempena dengan Hari Radio Sedunia baru-baru ini, dalam program ‘Ziarah Kasih, Temu Santai D’Klasik’ dan ‘Gu Jajak’ menyantuni beberapa penggiat seni di Kelantan yang uzur dan lanjut usia.