Benci tapi rindu! Seteru tradisi bakal berlibas! Malaysia, Thailand bersaing demi Piala Asia Astaf!
Published byTHAWISAK Thongsai (kiri) melakukan rejaman gulung sambil cuba dipagari Shahalril Aiman Halim dalam final regu berpasukan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 di Korat pada 8 September 2024 lalu. - Kredit foto: ST
PADA setiap pertemuan, masing-masing akan saling cuba mengalahkan satu sama lain untuk menjadi Nombor 1. Malah jika satu daripada mereka berjaya atau gagal diketemukan khasnya pada perlawanan akhir, yang satu lagi pasti menghela nafas lega atau sesekali benci tetapi rindu.
Malaysia dan Thailand akan kembali menyambung episod perseteruan tradisi sepak takraw apabila Si Gajah Putih menjadi antara 13 negara luar yang mengesahkan penyertaan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur dari 9 hingga 18 Mei 2025 ini.
Jiran utara Semenanjung itu sah akan beraksi dalam tiga daripada empat acara yang dipertanding di Stadium Titiwangsa ini seperti yang disyaratkan iaitu regu berpasukan, antara regu dan beregu serta hanya mengabaikan kuadran (berempat).
“Thailand akan tampil dengan 12 pemain terhandalnya, seorang pengurus pasukan dan dua jurulatih ke Piala Asia,” kata Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Datuk Abdul Halim Kader yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Pengelola Piala Asia Kuala Lumpur 2025.
BARISAN Malaysia, naib juara regu berpasukan Piala Dunia Istaf 2024 yang dalam Program Podium 2025, hanya mengetepikan Baihakki A'ripin (tiga dari kanan). - Kredit foto: ST
Turut mengejutkan tetapi mengagumkan Astaf katanya ialah kesanggupan 12 daripada 14 negara peserta ini untuk menyertai regu berpasukan walaupun persekutuan dan tuan rumah, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mulanya menjangka dan mengenal pasti hanya lapan negara yang mungkin bersetuju.
“Daripada sejumlah 16 negara yang diundang sejak 16 November 2024, cuma Filipina dan Laos serta Kemboja yang tidak akan menyertai Piala Asia ini. Iran dan Pakistan pula cuma akan bermain acara antara regu dan kuadran,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
Selain tuan rumah dan Thailand, 10 lagi negara yang bakal beraksi di ibu kota termasuk dalam regu berpasukan dan antara regu ialah Indonesia, Jepun, Vietnam, India, Taiwan, China, Singapura, Korea Selatan, Myanmar dan Brunei.
Hanya Malaysia dibenarkan bermain keempat-empat acara berkenaan, manakala negara lain diwajibkan menyertai antara regu namun dikehendaki memilih sama ada beregu atau kuadran sahaja.
TEKONG Thailand, Kritsanapong Nontakote (23) antara yang paling gemar menyakat dan menyerang psikologi regu Malaysia yang gelagatnya turut mewarnai siri perseteruan sepak takraw mereka. - Kredit foto: ST
Dalam Piala Dunia Istaf tanggal 22 Mei 2024 lalu, Malaysia menewaskan Thailand untuk menjuarai antara regu (15-8, 15-12) dan beregu (17-16, 15-13) namun terlepas gelaran acara kemuncak, regu berpasukan di stadium sama empat hari kemudian dengan kecundang 1-2 (9-15, 15-11, 15-13), (8-15, 5-15), (12-15, 12-15).
Si Gajah Putih turut mempertahan gelaran regu berpasukan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 di Korat dengan mengalahkan Malaysia 2-0 (4-15, 15-3, 15-11), (15-13, 15-9) pada 8 September 2024 lalu tetapi rela mengorbankan penyertaan antara regu yang dimenangi pelawat selepas hanya mengatasi India, China, Singapura dan Brunei.
THAILAND mengekalkan sebahagian besar tonggak juara Piala Dunia Istaf 2024 bagi menghadapi Piala Asia Astaf 2025 di Kuala Lumpur kecuali Poramet Siriswat (10), Pichet Pansan (12) dan Kittiphum Sareebut (5). - Kredit foto: ST
Istaf dan Astaf juga kata Halim, menimbangkan kemungkinan mengenakan tindakan tegas tertentu seperti mendenda negara-negara yang telah mengesahkan penyertaan tetapi tiba-tiba menarik diri sama ada sebelum atau selepas majlis undian Piala Asia Astaf mahupun Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand dan Piala Dunia Istaf akan datang.
“Saya akan bawa perkara ini kepada mesyuarat Jawatankuasa Induk Piala Asia Astaf di Kuala Lumpur pada hujung Januari atau Februari 2025 sebelum puasa nanti sambil bertemu Presiden PSM, Datuk Mohd. Sumali Reduan.
“Bagi menentukan semua persiapan pertandingan dijalankan tuan rumah dan badan induk dengan lancar dan tanpa gangguan, kami tidak mahu ada negara-negara yang telah menghantar penyertaan dengan bilangan dan nama-nama pemain sebelum dan selepas majlis undian, menarik diri.
“Istaf dan Astaf mahu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dengan dasar kejohanan yang jelas dan berdisiplin seperti amalan badan induk sukan lain contohnya bola tampar iaitu mendenda negara terbabit, antara RM11,000 hingga RM22,000 atau yang lewat hantar penyertaan, tidak akan diterima bermain kejohanan langsung,” tegas Halim. - KitaReporters
ABDUL Halim Kader (kiri) dan Mohd. Sumali Reduan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Piala Asia Astaf Kuala Lumpur 2025. - Kredit foto: PSM