Animasi kegemaran ramai, Ejen Ali, sekali lagi mencipta fenomena apabila pelancaran video teaser trailer atau video pratonton acah rasminya, “Ejen Ali The Movie 2’ (EATM2)  mencetuskan gelombang sensasi luar biasa dalam platform media sosial  dengan catatan 6.06 ribu sebutan dengan data capaian jumlah keseluruhannya yang menakjubkan iaitu 78.6 juta.

Video tersebut yang dilancarkan buat pertama kalinya pada Festival Kandungan Digital Malaysia 2024  (FKDM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo juga telah ditonton oleh sejumlah lebih 800,000 tontonan dan hampir 100% meletakkan tanda suka dalam YouTube.

Sehubungan itu, ia sekali gus menjadikannya topik perbualan hangat dalam media sosial dengan netizen giat mencipta teori dan andaian masing-masing, sekali gus menambahkan keterujaan terhadap filem yang dijangka meletup di pawagam pada tahun 2025 itu.


Gobind Singh Deo bersama Usamah Zaid (kanan) ketika melancarkan video teaser rasmi 'Ejen Ali The Movie 2' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut bersama Pengerusi Ekonomi Digital Malaysis (MDEC), Syed Ibrahim Sed Noh (dua dari kiri) dan Pengurus Besar Kanan,  Filem, Muzik dan Produksi Dalaman,  Media Prima, Shahila Shah Harun (tengah).


Pendek kata, pencapaian itu membuktikan Ejen Ali masih mengukuhkan kedudukkannya sebagai filem animasi nombor 1 di Malaysia. 

Terdahulu, pada Festival Kandungan Digital Malasia 2024, penerbitnya Primeworks Studios dan WAU Animation telah mempersembah tayangan khas bagi misi baharu ‘Misi: First Look Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) sebagai sebahagian daripada pelancaran program Festival.

Misi baharu EATM2 ini merupakan teaser trailer (pratonton acah) rasmi yang menampilkan aksi berintensiti tinggi dan misteri yang mendebarkan dan penuh tanda tanya serta diselang-selikan dengan babak dan sinematik yang menyentuh hati untuk tontonan seisi keluarga. 


Gobind Singh Deo pada majlis pelancaran Festival Kandungan Digital Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.


Selepas kejayaan pecah panggung menerusi filem pertama Ejen Ali The Movie (EATM) pada tahun 2019, sekuel filem kedua, EATM2, kini seterusnya melantik Ejen Ali sebagai juruterbang Projek Satria, iaitu sebuah sut berperisai baharu dengan bantuan program Kecerdasan Buatan (AI) yang direka khas bagi mengoptimumkan lagi prestasi fizikal dan kemahiran mental ejen-ejen MATA semasa menjalani misi rahsia mereka. 

Sekuel yang dinanti-nantikan ini dijangka akan menggegarkan pawagam secara rasminya pada tahun 2025 dengan mengekalkan barisan penyumbang suara watak utama iaitu Ida Rahayu Yusoff sebagai Ejen Ali bersama kucing peliharaannya, Comot, Noorhayati Maslini Omar sebagai Ejen Alicia, Shafiq Isa sebagai Ejen Bakar dan Azman Zulkiply sebagai Rizwan dan Jeneral Rama.

“Kami sangat teruja untuk memperkenal misi baharu tayangan pertama  Ejen Ali The Movie 2 ini. Kami di WAU telah mencabar diri kami dalam penyelidikan dan pembangunan untuk tidak hanya meningkatkan kualiti produksi teknikal filem ini, tetapi juga untuk menghasilkan jalan cerita yang menarik bagi peminat yang menantikan misi Ejen Ali yang seterusnya,” ujar Pengarah EATM2 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin (gambar bawah, kiri) pada majlis pelancarannya bersama Gobind Singh Deo sempena FKDM yang berlangsung  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convention Centre).



Sementara itu,  Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Nini Yusof memaklumkan keyakinan beliau yang  Ejen Ali The Movie 2’ adalah filem yang sangat dinanti-nantikan penonton.

“Kami juga harus berterima kasih kepada peminat semua serta MDEC atas sokongan berterusan mereka.  Dan memandangkan kami bakal mendedahkan dan menyiarkan lebih banyak lagi kandungan khas berkenaan Ejen Ali The Movie 2 ini di seluruh platform Media Prima menjelang tayangannya nanti, saya ingin mengalu-alukan kepada semua untuk terokai peluang kerjasama sebagai rakan kongsi dengan Ejen Ali melalui kandungan penjenamaan, program pelesenan dan pembarangan,” lapor Nini.




Pada festival yang berlangsung di Hall 4, KLCC dengan kerjasama Tonton selama tiga hari bermula 13 September sehingga 15 September, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan di reruai Ejen Ali antaranya seperti kuiz, pameran jualan barang daganan Ejen Ali serta peluang untuk memenangi Samsung Smart TV bersaiz 65 inci! 

Bagi peminat-peminat tegar, mereka juga telah turut berpeluang bergambar bersama maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia yang membuat penampilan khas bagi sesi ramah mesra.



Untuk rekod, Ejen Ali merupakan sebuah siri animasi Malaysia yang mula ditayangkan secara perdana di TV3 mulai Januari 8, 2016 dan diterbitkan oleh Primeworks bersama WAU Animation dalam format HDTV dan merupakan siri animasi pertama dijadikan harta intelek Media Prima Berhad.

Ia juga pernah ditayangkan di  China menerusi Tencent Video (laman web penstrimen video di China) dan Amazon Prime, (sebuah program langganan berbayar daripada Amazon) di seluruh dunia. - KitaReporters

14
12
0
15
0

Copy Link: