NUR Hidayat Ar-Rashid Ahmad Daud melakukan rejaman bertongkat ketika menyerang kawasan lawan dalam acara beregu lelaki Kejohanan Teqball MTA pada 21 Julai 2024 lalu. - Kredit foto: MTA


SEPAK takraw? Dialah apit kiri atau pengumpan. Chinlone? Dia juga kerap menaiki podium Sukan SEA. Teqball? Sudah empat tahun diceburinya.

Nur Hidayat Ar-Rashid Ahmad Daud berjaya menguasai ketiga-tiga sukan bola ini yang seakan-akan sama tetapi tetap ada keunikan tersendiri.

Menimang dan mengumpan bolanya merupakan ciri-ciri asas sepak takraw, chinlone dan teqball namun bukan sebarang atlet mampu memainkannya apatah lagi di arena yang berprestasi dan berdaya saing tinggi.

“Saya berhijrah ke teqball sejak 2020. Kali akhir saya main chinlone ialah Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh dan bawa pulang sebutir pingat perak dan dua pingat gangsa untuk Malaysia.

“Saya juga sempat membantu Kedah Eagles menduduki tempat keempat Liga Sepak Takraw (STL) 2023 Divisyen Satu. Sekarang pun saya sudah agak jarang dengan sepak takraw,” kata anak jati Gopeng, Perak ini.


NUR Hidayat Ar-Rashid Ahmad Daud (berdiri, kiri) membantu Kuala Lumpur meraih tempat ketiga Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Turut kelihatan tiga pemain negara, Syahir Rosdi, Aidil Aiman Azwawi dan Amirul Zazwan Amir. - Kredit foto: PSM


Hidayat, 28, juga memenangi pingat perak chinlone acara gaya sama di Phnom Penh dan dua gangsa berkaitan dan tanpa ulangan utama.

Dia turut mengalungi Malaysia, sebutir pingat perak tanpa ulangan utama dan dua gangsa gaya sama dan tanpa ulangan kedua chinlone Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya mewakili Kuala Lumpur yang memenangi tempat ketiga Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2022,” katanya yang bertugas sebagai penghantar cepat.

Pada 21 Julai 2024 lalu, Hidayat mencatat kemaraan ke separuh akhir acara beregu lelaki dan beregu campuran Kejohanan Teqball MTA 2024 di Kelana Jaya, Selangor dengan pasukan yang digelar Cheras.  

Kata pemain yang turut berpengalaman sepak takraw Sukan Malaysia (Sukma) 2014 dan 2016 ini, “ada beberapa persamaan dan perbezaan antara sepak takraw dan chinlone serta teqball. Chinlone hanya dimainkan sesama rakan sepasukan dengan timangan dan umpanan bola. 

“Macam sepak takraw, teqball pun ada acara beregu dan menyerang kawasan lawan dengan merejam bola menggunakan kaki. Sentuhan bolanya juga tiga kali tetapi dibenarkan melantun sekali ke atas meja gelanggangnya.

“Selain bola yang berbeza lebih besar, ada sembilan anggota badan kecuali tangan dalam peraturan teqball yang dibenarkan tetapi tidak boleh mengulangi sentuhan bola secara berturut-turut,” kata pemain yang turut berpengalaman sepak takraw Sukan Malaysia (Sukma) 2014 dan 2016 ini.


NUR Hidayat Ar-Rashid Ahmad Daud (kiri) bersedia mengawal bola dengan tandukan pada Kejohanan Teqball MTA di Kelana Jaya pada Julai 2024. - Kredit foto: MTA


Hidayat mengakui, pengalaman dan ciri kawalan asas bola sepak takraw banyak membantunya menguasai teqball dengan lebih cepat.

“Namun latihan dan sering bersparring serta pendedahan pertandingan juga penting dalam menjadikan seseorang pemain yang lebih handal,” katanya.    

Setakat ini sudah lima atau enam kejohanan teqball disertai Hidayat termasuk Liga Teqball Malaysia (MTL) 2023 dan yang akan menggamitnya ialah Piala Teqball Hari Sukan Negara (HSN) pada 12 hingga 13 Oktober 2024 ini di Dataran Putrajaya Presint 3.  

Hidayat juga menyedari, ada segelintir pemain sepak takraw lain yang kini semakin berjinak-jinak dengan teqball sepertinya.  

Mereka ialah tekong senior wanita negara, Siti Norzubaidah Che Ab. Wahab yang pernah mewakili Negeri Sembilan dalam MTL 2023.

Malah bekas pemain sepak takraw pantai negara, Mustaqim Zainordin pernah beraksi dalam teqball secara pertunjukan pada Sukan SEA Kemboja

2023.

"MTL mungkin dilangsungkan November 2024 sebagai medan pemilihan pasukan Malaysia ke Kejohanan Teqball Dunia di Kota Ho Chi Minh, Vietnam pada 4 hingga 8 Disember 2024," kata Hidayat yang turut mengidam meraih satu lagi kap antarabangsa selepas chinlone.  - KitaReporters


NUR Hidayat Ar-Rashid Ahmad Daud (6) menimang bola sebelum mengumpan kepada rakan sepasukan dalam chinlone Sukan SEA Kemboja 2023.


 

NUR Hidayat Ar-Rashid Ahmad Daud (empat dari kanan) menayangkan pingat gangsa chinlone Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh. - Kredit foto: MRN

14
16
0
14
0

Copy Link: