Wow! Tujuh artis kelahiran negeri di bawah Bayu, Sabah, di atas satu pentas. 

Memang belum pernah terjadi tetapi akan terjadi apabila syarikat penganjur konsert terkemuka, Orange International mengambil keputusan menganjurkan konsert yang dinamakan ‘A Night With Sumandak Stars - Ceritera Hatiku’.

Bakal berlangsung pada 30 November 2024 bermula jam 8 malam di Zepp, Kuala Lumpur, ia akan membariskan tujuh penyanyi popular Sabah iaitu dua orang bergelar ibu tunggal - Bella Astillah, 30, dan Adira Suhaimi, 33; seorang janda, Nikky Palikat, 38, ; dua anak dara, Diddy Astillah, 28, dan Wani Kayrie, 24, serta dua orang yang masih bersuami, Marsha Milan, 38, dan ibu kepada tiga cahayamata, Stacy Anam, 34 tahun.

Jadi ada yang dah bergelar ‘janda’, ‘anak dara’ dan masih bersuami tetapi menariknya judul konsert menggunakan perkataan ‘Sumandak Stars’ di mana dalam bahasa Kadazandusun, ‘Sumandak’ membawa maksud perempuan yang belum kahwin.

Tetapi di dalam konsert ini yang belum kahwin cuma Diddy Astillah dan Wani Kayrie sahaja? 


Dari kiri: Wani Kayrie, Bella Astillah, Adira Suhaimi dan Diddy Astillah.


Apa-apa pun yang pasti mereka adalah kelahiran anak gadis Sabah (Sumandak) dan ceritera hati merekalah yang mahu disampaikan melalui konsert ‘A Night With Sumandak Stars - Ceritera Hatiku’.

“Buat julung-julung kalinya kami himpunkan kesemua penyanyi kelahiran Sabah terkenal tanah air dalam satu pentas untuk hanya semalam buat halwa telinga penggemar muzik tempatan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Orange International, Dato Mohd Fadzli Idrus pada majlis sidang akhbar eksklusif konsert tersebut yang diadakan di Sky Lounge, Hotel Tamu baru-baru ini. 

Antara artis yang turut hadir, Bella Astillah, Adira Suhaimi, Wanie Kayriem  dan Didi Astillah.



Menurut Mohd Fadzli, beliau berasa bangga dapat membawa tujuh artis ‘Sumandak’ yang masing-masing mempunyai pencapaian cemerlang dalam industri muzik.

“Ini adalah satu penghormatan untuk memberikan platform kepada mereka dalam sebuah acara yang belum pernah diadakan sebelum ini,” tambah Mohd Fadzli di mana sebelum ini pernah meraih kejayaan. menganjurkan konsert Radja & Ella, Wali Band X Setia, dan terbaharu, Drama Band dengan tiket yang ‘sold-out’ pada 5 Oktober 2024 lalu.

Kini, pihak Orange International tidak menunggu lama untuk membawa kelainan pada konsert kali ini malah sentiasa mencari formula istimewa untuk menghiburkan rakyat negara ini dengan persembahan muzik yang luar biasa.

“Pemilihan artis-artis ini adalah berdasarkan pencapaian mereka yang membanggakan, termasuk pengiktirafan di pelbagai anugerah, dengan masing-masing mempunyai repertoir tersendiri dalam bidang seni. 

“Bella, sebagai contoh, dinobatkan sebagai ‘Celebrity Of The Year’ pada TikTok Awards Malaysia 2024, sementara Marsha, Adira, Stacy, dan Nikky adalah pemenang pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan juga Anugerah Juara Lagu (AJL),” tambah  Fadzli.


Bersama Mohd Fadzli  (tengah).

Dan bagi pelapis baharu seperti Wani dan Didi, Fadzli menekankan pentingnya memberi mereka peluang untuk bersinar.

“Konsert ini adalah platform terbaik untuk mereka menunjukkan bakat yang ada,” katanya.

Pihak Orange International turut mendedahkan bahawa akan ada kejutan menarik bagi penonton pada malam konsert nanti.

“Kami mengalu-alukan semua peminat muzik untuk hadir dan menyaksikan konsert ini. Ia adalah usaha kami untuk membawakan muzik berkualiti kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia atau bangsa,” akhiri Fadzli.

Sementara itu, Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, menganggap konsert yang bakal diadakan umpama sebuah mimpi jadi kenyataan apabila dapat berkongsi pentas dengan rakan-rakan penyanyi satu negeri.

“Kesemua artis terbabit hebat-hebat belaka dan saya rasa bertuah dapat bersama mereka di dalam sebuah konsert,” ujar Bella yang baharu bercerai dengan penyanyi dari Singapura, Alif Aziz pada bulan Jun 2024 lalu. - KitaReporters

14
11
0
9
0

Copy Link: