Tahniah SK Pekan Ayer Panas! Juara bola tampar MSSD Segamat! Wakili daerah ke peringkat negeri!
Published byPemain pasukan bola tampar SK Pekan Ayer Panas, Labis yang berjaya menjuarai pertanding peringkat daerah dalam peryertaan kali pertamanya.
PASUKAN bola tampar Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Ayer Panas, Labis, Johor mencatat sejarah tersendiri apabila terpilih mewakili daerah Segamat ke peringkat negeri selepas berjaya muncul juara Kategori Lelaki Bawah 12 tahun (B12) menafikan cabaran SK Kampung Tengah, Segamat dalam perlawanan akhir Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Segamat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Palong Timur 20 Julai 2022 lalu.
Guru Besar SK Pekan Ayer Panas yang juga jurulatih pasukan tersebut, Johari Marsan berkata, tahun ini merupakan penyertaan kali pertama SK Pekan Ayer Panas dalam kejohanan bola tampar pada peringkat daerah Segamat dan menyifatkan kejayaan muncul juara pada peringkat daerah tersebut bukan datang bergolek.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan daerah Segamat
Guru Besar SK Pekan Ayer Panas, Labis, Johor, Johari Marsan ( belakang,tengah) bersama pemain dan guru pengiring sebelum perlawanan akhir Kejohanan Bola Tampar MSSD Segamat di SMK Palong Timur, Segamat.
"Pasukan ini hanya dibentuk enam minggu sebelum tarikh pertandingan dan saya akui agak sukar untuk memilih pemain berikutan jumlah murid tahun satu hingga tahun enam di SK Pekan Ayer Panas ketika ini hanya sekitar 85 orang sahaja.
"Saya bukan sahaja gembira dengan pencapaian ini yang sudah tentu akan dijadikan sebagai penanda aras pada masa hadapan, malah bangga dengan komitmen tinggi pemain serta semua pihak yang terlibat termasuk guru-guru, ibu bapa serta penduduk setempat yang banyak membantu dalam pelbagai aspek sepanjang tempoh latihan sebelum ini", katanya.
Menurutnya, tidak semua pemain sekolahnya akan terpilih bagi mewakili pasukan daerah Segamat ke peringkat negeri yang akan dibentuk dalam masa terdekat ini, sebaliknya pemain pasukan tersebut turut dipilih daripada pemain terbaik pasukan sekolah lain yang menyertai pertandingan peringkat daerah yang lalu.
Katanya, latihan pusat akan dijalankan selama lima hari bermula 10 hingga 14 Ogos 2022 depan di SK Pekan Ayer Panas bagi menghadapi kejohanan peringkat negeri dijadualkan akan berlangsung pada 16 hingga 18 Ogos 2022 di lokasi yang akan diumumkan nanti.
Dalam masa sama Johari berharap pasukan Segamat bukan sahaja mampu memberi cabaran kepada pasukan daerah lain pada kejohanan peringkat negeri itu nanti dengan menetapkan sasaran melepasi peringkat kumpulan untuk melangkah ke peringkat kalah mati, malah turut berharap terdapat dalam kalangan pemainnya terpilih untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan nanti.
Amanat terakhir Johari Marsan kepada pemain sebelum perlawanan akhir yang menyaksikan pasukan bimbingannya muncul juara daerah Segamat.
Sementara itu ketua pasukan, Mohammad Zahid Hamidi Zaide,12, melahirkan rasa teruja kerana terpilih mewakili pasukan bola tampar sekolah yang julung kali mencapai kejayaan pada peringkat daerah pada tahun ini dan berharap namanya akan tersenarai sebagai salah seorang pemain dalam pasukan daerah Segamat yang akan ke peringkat negeri nanti.
Katanya, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk memikat hati panel pemilih dalam sesi pemilihan pemain yang akan diadakan nanti bagi memastikan namanya tidak tercicir kerana kesempatan ini merupakan peluang terbaik untuknya memulakan langkah menjadi pemain bola tampar ke peringkat lebih tinggi yang menjadi cita-citanya sejak mula berjinak-jinak dengan sukan bola tampar sebelum nagara dilanda wabak Covid-19 lalu.
Pemain bola tampar SK Pekan Ayer Panas, Labis bersedia untuk memulakan perlawan akhir menentang pasukan SK Kampung Tengah, Segamat.
Bagi rakannya, Mohammad Hafiz Hafizie Mohamed,12, yang aktif dalam permainan badminton dan olahraga sebelum ini berkata, dia tidak pernah bermain bola tampar selama ini dan mula 'jatuh cinta' dengan sukan tersebut selepas terpilih mewakili pasukan sekolah yang mencatat sejarah sekolah meraih kejayaan pada peringkat daerah.
"Seperti juga rakan lain, saya turut mengharap akan tersenarai dalam pasukan daerah Segamat yang akan bertanding di peringkat negeri bulan depan memandangkan tahun ini adalah peluang terakhir untuk saya menyumbang tenaga mengharumkan nama sekolah kerana pada tahun hadapan saya akan ke sekolah menengah.
"Pengalaman berlatih tanpa mengira waktu dan cuaca di bawah bimbingan jurulatih serta guru lain bersama beberapa penduduk kampung selama enam minggu merupakan satu pengalaman manis yang sukar dilupakan dan pasti akan menjadi kenangan sepanjang hayat kami semua nanti," katanya.
Dalam masa sama dia dan rakan lain melahirkan keyakinan pasukan yang akan dibentuk oleh Johari Marsan yang merupakan tulang belakang kejayaan pasukan SK Pekan Ayer Panas itu bukan sahaja mampu memberi cabaran di peringkat negeri, malah turut yakin akan ada pemain daerah Segamat yang menyinar di kejohanan tersebut nanti. - Kitareporters
Pemain dan guru pengiring SK Pekan Ayer Panas meraikan kejayaan muncul juara kejohanan bola tampar peringkat daerah Segamat tahun 2022 buat pertama kali.