Video| Saya kena profesional bagi orang happy! Zamani enggan duduk bila nyanyi, enggan dikasihani!
Published bySELESAI sahaja Siti Nordiana mengadakan persembahan sewaktu Jejalah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell di Paradigm Mall, Johor Bahru pada 20 Ogos 2022 lalu, kru Suria FM yang bertugas meletakkan kerusi untuk penyanyi seterusnya.
Malangnya penyanyi tersebut tidak menggunakan kerusi yang disedia khas untuknya sewaktu persembahan.
Tidak dinafikan, akan timbul rasa sebak apabila kita memandang Zamani secara langsung, sedangkan penyanyi itu tidak mahu orang bersimpati dengannya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi legenda Zamani Slam
Zamani selesa menyanyi berdiri daripada duduk kerana mahu menghibur peminat.
Tatkala ditanya kepada Zamani, kenapa dia tidak menggunakan kerusi tersebut memandangkan kru yang bertugas amat prihatin dengan keadaan dirinya.
Jelas Zamani Ibrahim, 51, atau lebih dikenali sebagai Zamani Slam, dia tidak selesa menggunakan kerusi yang disediakan untuknya sewaktu membuat persembahan.
“Saya kalau buat show tak puas kalau duduk. Bila kita duduk, seolah-olah orang tengok kita macam kesian pula sedangkan kita nak hiburkan orang.
“Pada saya, sakit tu sakit la, tugas saya menghiburkan orang, jadi saya kena profesional bagi orang happy.
"Selama ini, itulah formula yang saya gunakan untuk attract penonton,” katanya yang mendendangkan lagu Kembali Merindu, Kembali Terjalin dan Gerimis Mengundang yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.
Sikap Zamani yang mesra dan mudah didekati itu membuatkan dia disenangi peminat.
Zamani yang sudah lama menghidap skoliosis iaitu penyakit tulang belakang melengkung dan membengkok ke tepi tanpa mengira arah kanan mahupun kiri, ternyata seorang yang berfikiran positif.
Dalam keadaan dirinya yang tidak stabil dan bakal menjalani pembedahan pada November 2022 ini, Zamani tetap bersemangat menghiburkan peminat.
Ternyata aura yang dimiliki Zamani sejak dulu sampai sekarang tetap sama dan dia amat bersyukur kerana masih mendapat sokongan padu daripada orang ramai.
Ketika mendendangkan lagu-lagu tersebut, Zamani tidak berseorangan kerana setiap bait yang didendangkannya akan diikuti oleh suara penonton.
“Itulah saya pun sebenarnya tak sangka dan bersyukur ke hadrat Allah sebab tak tahu akan mendapat sokongan sebegini daripada penonton.
“Kalau nak ikut dalam lapan tahun lepas, waktu itu saya dalam keadaan yang teruk, ingatkan saya punya future dah tak ada. Tapi bila sekarang ini jadi begini, saya rasa ini peluang kedua yang Allah bagi kepada saya, alhamdulillah.
“Untuk membalas apa yang peminat buat untuk saya, saya akan balas balik penghargaan mereka itu pada bulan 11 (November 2022) ini, saya akan buat pembedahan,” katanya yang terharu dengan sokongan peminat.
Tambah Zamani, kehadirannya dalam bidang seni masih dihargai hingga kini kerana lagu-lagu dendangannya malar segar hasil daripada kreativiti komposer yang terbabit.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Saari Amri, komposer-komposer yang banyak buat lagu untuk Slam dan anggota Slam sendiri.
“Pada saya kelebihan yang ada, terletak pada lagu. Lagu kebanyakan hit dan penonton pun tahu. Jadi bila kita nyanyi, mereka pun boleh nyanyi sama. Saya bersyukur dapat lagu-lagu hit,” akuinya.
Menurut Zamani, buat masa sekarang, dia sedang mengumpul material untuk keluar single baharu dan pada waktu yang sama memenuhi undangan persembahan sebelum menjalani pembedahan nanti.
“Saya sedang kumpul material dan bakal keluar single dengan Zynakal, anak saudara saya. Lepas tu saya akan buat satu single dengan Tam Spider, cuma belum tahu bila akan keluar.
Sempat mengajak peminat berduet dengannya dan gembira kerana lagu-lagu Slam masih diminati hingga kini.
“Lepas tu, baru kumpul material buat cover version untuk lagu-lagu 80-an, mungkin dalam lima buah lagu, kemudian baru saya keluar lagu baharu,” jelas Zamani tentang perancangannya.
Dia yang bakal menjayakan konsert solo, Doa Buat Zamani Unplugged di Zepp Kuala Lumpur, pada 30 September 2022 ini dan diikuti dengan Konsert Rhythm of Legends di Dewan Plenarry KLCC, pukul 8.30 malam pada 29 dan 30 Oktober 2022 depan berkata, ada sebab kenapa dia ‘pulun’ untuk mengadakan persembahan sebelum pembedahan.
“Bukan tamak, saya buat semua itu bersebab. Memanglah kos untuk pembedahan sudah ada atas inisiatif Pak Nil, saya bersyukur kerana ramai yang membantu.
“Apa yang saya lakukan ini adalah persiapan selepas pembedahan. Saya tak pasti perlu berehat berapa lama, selepas jalani pembedahan.
"Nanti kalau tak bekerja, macam mana saya nak berbelanja. Sebab itulah saya buat show untuk mencari income bagi membantu saya apabila ‘berehat’ selepas pembedahan,” katanya yang memikir panjang. - KitaReporters
Kekuatan Zamani terletak pada vokalnya yang tak berubah sejak dulu hingga kini.