SELEPAS 26 tahun terbabit dengan sukan terjun, Leong Mun Yee bakal mengucapkan selamat tinggal dengan Sukan Olimpik 2020, Tokyo, yang berakhir pada 8 Ogos, 2021 lalu, mungkin menjadi gelanggang terakhir dia beraksi.

Mun Yee, 36, sudah membulatkan hati untuk bersara pada penghujung tahun 2021 bagi memberi tumpuan kepada kehidupan peribadi khusus untuk menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana (master) dalam jurusan komunikasi korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Leong Mun Yee


“Kalau ikut perancangan, saya hendak bersara selepas Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang sepatutnya dilangsungkan pada November (2021) ini tapi memandangkan ada ura-ura ia ditangguhkan ke tahun depan, mungkin Olimpik itulah penyertaan terakhir saya.

“Ini kerana kejohanan-kejohanan lain juga banyak dibatalkan akibat pendamik Covid-19. Nasib baik Olimpik diteruskan walaupun lewat, kalau tidak memang saya kecewa,” kata Mun Yee.



Menurut Mun Yee walaupun gagal membawa pulang pingat Olimpik selepas dia dan pasangannya, Pandelela Rinong hanya mampu menduduki tempat kelapan acara 10 meter platform seirama wanita, namun penyertaan kali terakhir itu tetap bermakna kepada dirinya.

“Saya fikir ia penutup terbaik untuk karier saya. Sudah tentu ia lebih bermakna jika saya memenangi pingat tapi apa pun saya sudah melakukan yang terdaya,” katanya.

Meskipun ada yang berpendapat dia masih mampu menyumbangkan sesuatu kepada negara, sekurang-kurang pada peringkat Sukan SEA, namun atlet kelahiran Ipoh itu berasa sudah sampai masanya untuk dia beralih ke fasa baru kehidupannya.


Sukan Olimpik 2020, Tokyo merupakan penyertaan kelima dan terakhir Mun Yee pada temasya berprestij dunia itu. - Kredit foto: Instagram Leong Mun Yee.


“Saya membabitkan diri dengan sukan terjun sejak berusia 10 tahun, maknanya sudah 26 tahun. Dalam tempoh itu banyak kepentingan peribadi terpaksa saya korbankan. 

“Bayangkan, dalam usia muda, 10 tahun, saya terpaksa berpisah dengan keluarga, meninggalkan kampung halaman saya di Ipoh dan berhijrah ke Kuala Lumpur seorang diri semata-mata untuk menjadi penerjun negara.

“Saya mengorbankan kehidupan masa remaja saya kerana sebagaimana anda pun faham, rutin kehidupan atlet tidak sama dengan remaja biasa. Dunia kami hanya tempat latihan dan persekolahan.


Mun Yee mengambil masa selama 10 tahun untuk melengkapkan pengajian peringkat sarjana muda. - Kredit foto: Berita Harian


“Malah, untuk mendapatkan segulung ijazah (sarjana muda) pun, saya ambil masa 10 tahun (2007-2017). Dalam usia saya sekarang, saya masih berusaha mendapatkan master (sarjana).

“Sebagai atlet kebangsaan, bukan mudah untuk memberi tumpuan kepada pelajaran kerana kami selalu terbabit dengan kem latihan untuk sesuatu kejohanan antarabangsa. Tapi, pendidikan amat penting kepada saya dan saya berazam menamatkan pengajian walau apa pun cabarannya.  

“Jadi, saya rasa sudah sampai masanya saya memberi ruang untuk diri sendiri dan melakukan apa yang mahu serta melengkapkan cita-cita saya untuk memiliki master,” kata Mun Yee. 


Mun Yee dan Pandelela mencipta banyak kejayaan bersama. Kredit foto: Instagram Leong Mun Yee.


Pada masa sama Mun Yee tidak menyembunyikan perancangan untuk mendirikan rumah tangga dan memulakan kehidupan berkeluarga.

Dia sudah menemui Mr Right untuk menjadi peneman hidupnya namun belum bersedia untuk berkongsi kisah peribadinya secara lebih jauh.

Sebaliknya Mun Yee lebih senang bercerita mengenai cita-citanya mahu menubuhkan sebuah akademi sukan terjun bagi melahirkan bakat-bakat baru yang boleh ditonjolkan sebagai pelapis untuk mewakili negara.

“Saya mahu menubuhkan akademi itu di Kuala Lumpur tapi belum pasti bila kerana keadaan Covid-19 yang masih tidak terkawal sekarang. Saya harap impian itu akan tercapai kerana walaupun sudah bersara kelak, saya masih mahu terbabit dengan sukan terjun,” ujar Mun Yee.


Gandingan Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri menyumbangkan pingat gangsa Sukan Asia 2018, Palembang. - Kredit foto: Instagram Leong Mun Yee.


Sepanjang kariernya, Mun Yee bukan sahaja mencetak sejarah sebagai atlet pertama negara beraksi pada lima Sukan Olimpik, malah mencipta pelbagai kejayaan pada peringkat antarabangsa.

Antaranya, pingat emas Grand Prix FINA 2017; pingat perak Kejohanan Dunia di Gwangju, Korea Selatan pada 2019; perak Siri Dunia di Beijing pada 2011; di samping dua pingat perak dan lima gangsa dalam tujuh penyertaan pada Sukan Asia.

Sementara itu, empat kali penyertaan pada Sukan Komanwel, menghasilkan satu perak dan dua gangsa. Mun Yee membuktikan keunggulan pada peringkat Asia Tenggara dengan memenangi 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa sepanjang penyertaan pada Sukan SEA.

Namun, bagi Mun Yee, pencapaian terbaik adalah pingat perak di Kejohanan Dunia, Gwangju, Korea Selatan pada 2019 yang melayakkannya ke Sukan Olimpik 2020, Tokyo.

“Saya bekerja keras untuk layak ke Olimpik 2020 kerana sedar ia adalah penyertaan terakhir saya. Walaupun tidak pernah memenangi sebarang pingat namun beraksi pada lima Olimpik adalah satu pencapaian berharga kepada saya,” katanya.

Selain Olimpik Tokyo, Mun Yee beraksi pada Olimpik 2000 (Sydney), 2004 (Athens), 2008 (Beijing) dan 2012 (London).

Selamat bersara Mun Yee! - KitaReporters

Kredit foto-foto: IG Mun Yee @leong_munyee

2
0
0
0
0

Copy Link: