Ni M Daud Kilau bukan Mat Kilau! Jiwa seninya masih kuat, membara! Rindu buat persembahan pentas!
Published byRaja Gelek Malaysia, M. Daud Kilau gembira jika ada rakan artis datang melawatnya.
SETIAP kali filem Man Laksa ditayang di kaca televisyen, saya pasti tak lepas peluang untuk menonton filem arahan Allahyarham Mamat Khalid itu.
Saya paling suka adegan penghujung filem lakonan Yassin Yahya dan Sharifah Aleya itu kerana nak tengok Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau turun dari langit sambil nyanyi lagu Cek Mek Molek.
Pada 28 Jun 2022 lalu, saya berpeluang mengikuti rombongan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) iaitu Datuk DJ Dave, Datuk Nancie Foo, Dr Kanagarajan dan Salmiyah menyantuni beliau di Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, Perak.
Lagi
Nancie Foo, DJ Dave dan Dr Kanagarajan (kanan) menyantuni M. Daud Kilau di kediamannya di Sungai Baroh, Bagan Datuk, Perak, baru-baru ini.
Keceriaan jelas terpapar pada wajahnya tatkala menyambut kedatangan kami dengan berbaju Melayu berwarna jingga itu, sekali gus mengalahkan penampilan kami semua.
Meskipun sudah lima tahun menghidap penyakit kencing manis, tidak boleh berdiri lama, kebas kaki tangan serta pinggang dan keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang daya pendengaran, tapi beliau tetap bersemangat.
“Saya ni ada pelbagai penyakit dan sebelum ini hampir setengah bulan juga saya duduk di hospital. Tapi itulah Allah SWT telah memanjangkan usia saya lagi. Saya berserah kepada Allah SWT, Dia yang hidupkan kita dan Dia juga mematikan kita, saya berserah kepada-Nya.
“Alhamdulillah atas rezeki Dia berikan kepada saya sejak dulu hingga sekarang, rezeki sebagai seorang penghibur. Saya tetap bersyukur kepada Allah SWT. Rezeki yang diberi kepada saya dari dulu hingga sekarang, alhamdulillah, terima kasih.
“Saya dapat
sakit ini sudah lima tahun dan sebab itu tak aktif. Bukan tak ada orang panggil,
memang ada panggil saya dari Sabah, Sarawak, Brunei tapi saya tak dapat
menunaikan permintaan mereka. Apa boleh buat, itu sudah nasib saya,” ceritanya
tatkala ditanya keadaan dirinya sekarang.
Walau apapun yang menimpa dirinya, M. Daud atau nama sebenarnya Muhamad Daud Kilau tetap bersyukur kerana diberi rezeki sebagai seorang penghibur.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT, lahirnya saya ke dunia ini Allah memberi rezeki kepada saya sebagai seorang penghibur. Walau bagaimanapun saya bersyukur kepada Allah yang telah memberi rezeki kepada saya sebagai seorang penghibur dan memanjangkan usia saya sekarang.
“Pada 9 Julai 2022 ini, insya-Allah kalau tidak Allah mengambil nyawa saya genaplah usia saya 84 tahun. Alhamdulillah. Orang raya, saya pun raya hari jadi. Itulah kesyukuran saya kepada Allah yang mengaturkan dan kita sebagai pelakon,” katanya.
Menantu M. Daud (juru) bercerita tentang keadaan bapa mentuanya kepada pihak pengurusan YKAT.
Di bawah kanopi tempat kami dijamu makan tengah hari hasil air tangan isterinya, Datin Rohani Awang Ngah, kelihatan busana yang pernah dipakai sewaktu persembahan bergantungan.
Katanya,
baju-baju persembahan yang dipenuhi labuci itu sengaja digantung di situ untuk
tatapan peminat atau orang yang datang menginap di rumah inap atau inap desa miliknya, Sri
Balai.
“Baju ini pun selalu terperuk dalam almari saja, bila gantung di sini nampak ceria sikit. Bukan apa, bila peminat dan orang besar datang yang kebanyakannya orang luar, selalu mereka tanya, mana baju Datuk? Nak tangkap gambar la atau nak try pakai.
“Itu yang buat saya gantung baju di bawah kanopi ini. Daripada terperap dalam almari, baik saya gantung di sini untuk tatapan orang ramai. Kalau orang nak komen pun komenlah, saya tak kisah. Inilah baju-baju saya pakai untuk cari makan,” imbasnya.
Katanya, baju-baju tersebut tidak akan dijual kerana ia amat bermakna untuk dirinya.
Selain baju-baju persembahan pentas digantung di luar, terdapat juga koleksi album dendangan M. Daud Kilau yang dipamerkan di hadapan kediamannya itu.
“Ada dua tiga orang peminat saya masa saya sakit meminta saya buat persembahan untuk sambutan hari lahirnya. Saya tak dapat penuhi hajatnya itu.
“Bila tak dapat menjemput saya ke majlis, mereka sewa baju saya, dia bagilah sedikit duit sewa dan dibawa ke Melaka dan Singapura pun ada. Mereka kata nak buat susah, jadi mereka pinjam saja,” ceritanya tentang gelagat peminat setia.
Sebenarnya jauh di sudut hatinya, beliau mengakui rindu untuk kembali mengadakan persembahan.
“Memang saya rindu nak ke pentas, saya rindukan peminat dan baju labuci saya. Dah lama saya tak pakai. Kalau saya buat persembahan dan tak pakai baju labuci, saya tak puas hati. Dan kalau tak dapat bersembang dengan pemiant-peminat pun saya tak puas hati.
“Saya selalu dapat undangan persembahan dalam negara saja termasuk, Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia. Paling jauh pun saya pernah mengadakan persembahan di Australia.
Mengakui rindu untuk mengadakan persembahan pentas tapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan buat masa sekarang.
“Pernah membuat persembahan di Australia selama seminggu. Alhamdulillah, saya ingatkan pergi ke sana, apakah lagu yang saya nak sampaikan. Kalau Datuk Dave pergi ke sana dia boleh nyanyi lagu Hindustan, Inggeris dan Melayu. Daud Kilau lagu Melayu saja yang boleh. Berdebar juga sebab nak kena nyanyi di negara Kangaroo itu.
“Duit bagi RM10,000 satu malam, tambang dua orang, hotel diberi. Saya pergilah, sampai di sana pada waktu malam saya terus dibawa ke tempat pertunjukan. Sampai di sana, saya buat persembahan. Rupanya yang datang adalah orang Malaysia, Brunei, Indonesia yang bermastautin di sana.
“Mereka ada satu slot dalam radio, lima jam sehari di stesen radio untuk lagu-lagu Melayu saya. Lagu-lagu M.Daud Kilau ada didengar di Australia, itulah istimewanya,” kongsinya tentang pengalaman indah suatu ketika dulu.
Walaupun tidak menolak apabila diminta menyanyikan serangkap dua lagu popularnya seperti Cek Mek Molek, Gila Judi dan Anak Yang Pertama, namun beliau belum bersedia untuk kembali menjalani rakaman lagu.
Antara pakaiannya yang tergantung di bawah kanopi di hadapan rumahnya.
“Kalau ada yang nak panggil saya buat rakaman single ke, buat masa ini saya minta maaf, tak usahlah. Orang panggil buat show pun buat masa ini, minta maaf. Kalau ada rezeki lain kali, kalau tak ada pun tak apalah. Belum ada niat lagi nak buat album baharu, sebab sekarang banyak artis yang buat lagu.
“Begitu juga untuk persembahan, semua itu terpaksa ditolak. Saya kalau buat persembahan, tak akan menjadi di atas tanah rata tapi kalau di atas pentas memang menjadi. Semasa gendang dan muzik berbunyi, baru datang mood, menggeletek kaki.
“Di atas pentas baru menjadi, itulah rahsia penyanyi. Kadang-kadang seni kata lagu itu dah hilang, atas pentas elok saja ia datang balik. Itulah kuasa Allah,” katanya yang perlu menelan kira-kira 13 jenis ubat setiap hari.
Jambatan yang menjadi laluan untuk ke rumahnya dan rumah inap atau inap desa Sri Balai.
Sewaktu berbual dengannya, saya sempat juga bertanya macam mana beliau boleh berlakon dalam filem Man Laksa yang hingga kini tidak jemu untuk ditonton.
“Filem Man Laksa, itulah satu-satunya filem lakonan saya. Ramai juga yang panggil saya untuk berlakon tapi saya tak nak. Oleh kerana Allah SWT melahirkan saya ke dunia ini sebagai seorang penghibur.
“Saya bersyukur kepada Allah SWT sampai sekarang saya boleh menyanyi. Saya tak nak menjadi pelakon. Itula satu filem untuk satu scene saja yang diberi oleh arwah Mamat Khalid pada saya.
“Sikit saja, dari atas langit turun ke bawah untuk menyelesaikan funfair yang sudah celaru kerana artis yang dijemput tidak sampai. Lepas filem itu, ada offer tapi saya tak terima kerana saya sebagai seorang penghibur,” katanya.
Pada kunjungan tersebut, Dave berkata, YKAT sudah lama merancang untuk melawat M Daud Kilau, namun kekangan masa sehingga hari ini baru dapat bertemu.
“Syukur beliau masih ceria
dan boleh bercerita kisah silam. Ini merupakan siri jelajah prihatin YKAT
terhadap artis-artis yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Beberapa nama artis ada
dalam perancangan kami untuk kami teruskan misi ini sebagai salah satu aktiviti
bersempena ulang tahun YKAT yang ke-10,” kata Dave yang merupakan pengerusi YKAT.
Jelasnya, kali terakhir pihak YKAT bertemu dengan Raja Gelek itu ketika beliau sakit dan melawatnya di Hospital Teluk Intan. Untuk lawatan kali ini, pihak YKAT memberi sumbangan khas berjumlah RM1,000 kepadanya.
“Pemberian ini sebagai tanda penghargaan atas jasa beliau kepada industri seni dan sedikit sebanyak untuk menampung perbelanjaan perubatannya.
“Datuk juga merupakan
salah seorang penerima pencen bulanan daripada YKAT berjumlah RM500 setiap bulan.
Bayaran ini kami masukkan terus ke dalam akaun beliau,” jelas Dave tentang
keprihatinan pihak YKAT terhadap penggiat seni. - KitaReporters
M. Daud Kilau antara artis yang menerima sumbangan wang pencen daripada YKAT.