Sebulan masuk percuma! Menara KL & Alor Setar ‘buka pintu’!
Published byTIGA bulan lebih Menara Kuala Lumpur (KL) dan Menara Alor Setar (Kedah) terpaksa ‘menutup pintu’ kepada tetamu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan demi membendung pandemik COVID-19. Namun, setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan membuka kembali sektor pelancongan Malaysia secara berperingkat-peringkat, Menara KL dan Menara Alor Setar turut tidak ketinggalan. : KitaReporters
Sidang media pelancaran kempen 'We Are Free' yang diadakan di Menara KL.
Untuk itu, Menara KL membuka dan menerima para pelawat pada 27 Jun 2020.
Begitu juga dengan Menara Alor Setar dan tarikan-tarikan di bawah pengurusan Menara KL Sdn Bhd seperti Muzium Telekom dan Muzium Telegraf, Taiping telah dibuka pada 29 Jun 2020.
Berita baik buat orang ramai apabila Menara KL dan Menara Alor Setar membuat promosi istimewa sepanjang Julai 2020 ini apabila memberi masuk secara percuma selama sebulan.
Kini, anda boleh ‘mencuci’ mata melihat panorama
indah ibu kota Kuala Lumpur di samping mencuba pelbagai kemudahan dan daya
tarikan yang ada di atas menara yang tertinggi di Asia Tenggara dan ke-7 di
dunia itu.
Antara tarikan yang ada di Menara KL iaitu Sky Box. - Kredit foto Menara KL
“Inisiatif yang dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd ini bertujuan untuk menarik semula kedatangan para pengunjung ke Menara KL dan juga Menara Alor Setar secara khasnya dengan menawarkan kemasukan percuma ke Pelantar Pemandangan Tertutup (observation deck) bermula 1 hingga 31 Julai 2020,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL Sdn Bhd, Ainol Shaharina Sahar.
Manakala untuk menikmati pemandangan ibu kota di dek
paling atas iaitu Sky Deck yang berketinggian 300 meter, diskaun sebanyak 50
peratus ditawarkan untuk warganegara dan bukan warganegara yang sah.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan
Budaya, Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan yang turut hadir di majlis sidang
media pelancaran promosi yang dikenali sebagai ‘We Are Free’ pada Sabtu, 4
Julai 2020, inisiatif Menara KL ini tepat pada masanya.
“Inisiatif dari Menara KL dalam penganjuran kempen ‘We Are Free’ selama sebulan, amat tepat pada masanya selaras dengan pengumuman Perdana Menteri yang membenarkan pelancongan domestik dalam fasa penjanaan semula ekonomi negara dan tiada lagi sekatan rentas negeri,” ujarnya.
Dalam menarik semula kedatangan pengunjung, Menara KL tidak sesekali mengambil mudah aspek keselamatan apabila mengamalkan kebiasaan baharu atau norma baharu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - KitaReporters
Datuk Dr Jeffrey (kanan) hadir merasmikan kempen 'We Are Free' yang dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.