Video| Joox gabung artis lama, baharu! Ikut Jalan bantu anak seni! Terkesan pandemik COVID-19!
Published byDengan lebih daripada 40 juta lagu dalam pustaka muziknya dari seluruh dunia, perkhidmatan penstriman muzik hiburan paling terbesar dalam pasaran Asia, Joox tampil dengan kempen #SupportLocal bertujuan membantu pemuzik tempatan yang bergelut di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Sehubungan itu, Joox melancarkan lagu Joox Originals berjudul ‘Jalan’ menampilkan kolaborasi artis lama dan baharu seramai 15 orang dari generasi berbeza dengan mesej semangat perpaduan dan harapan untuk Malaysia terus bangkit.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Rata-rata artis terlibat meluahkan rasa bangga mereka dapat disenaraikan dalam lagu ‘Jalan’ sekali gus menyumbang ke arah menjayakan kempen #Supportlocal atau sokong produk tempatan.
Barisan artis popular terlibat terdiri daripada Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Sufian Suhaimi, Aziz Harun, Luqman Faiz, Danial Chuer dan Fieya Julia.
Tidak ketinggalan barisan penyanyi baharu yang cukup berbakat seperti Firdaus Rahmat, Daniesh Suffian, Aniq Iffat, Aisha Retno, Ajoi Zainal, Khodi, Haikal Farid, ERIN CTJ serta penampilan istimewa watak animasi kanak-kanak kesukaan ramai, Didi & Friends.
Bagi Faizal Tahir (gambar bawah) yang sudah beberapa kali bekerjasama dengan Joox, mengaggap projek lagu “Jalan” berbeza dan unik kerana ia memberi satu mesej dan impak positif kepada rakyat Malaysia.
“Ini adalah satu sebab mengapa saya mengambil baik peluang untuk turut terbabit dalam pembikinan lagu “Jalan” ini. Pada saya ini satu usaha dan idea yang sangat baik daripada Joox kerana ia turut membabitkan artis senior dan baharu.
“Sekali gus dapat mencapai sasaran khalayak yang lebih besar dan meraih pendengar yang lebih ramai dari pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat. Selain itu ia dapat memberi satu mesej positif melalui kerjasama artis dari generasi berlainan yang menunjukkan kita semua bersatu hati dalam menyampaikan sesuatu yang baik,” kata Faizal.
Tambah beliau, apa yang pihak Joox mahukan dari projek ini sudah jelas dari mula yang mana matlamat utamanya adalah untuk memberi semangat dan mesej yang positif kepada setiap individu.
Mempunyai pandangan sama, pemenang 3 kali berturut-turut trofi Vokal Terbaik bermula pada Anugerah Juara Lagu AJL29, Dayang Nurfaizah (gambar bawah) turut berpendapat gabungan artis lama dan baharu dalam projek lagu “Jalan” ini sesuatu yang bagus untuk industri muzik tanah air.
“Projek ini adalah satu inisiatif yang bagus daripada pihak Joox untuk industri muzik tanah air. Saya berasa gembira kerana dapat turut serta apatah lagi ramai artis terbabit baik senior mahupun junior. Kita semua bersama untuk satu matlamat,” ujar Dayang,
Menurutnya, keunikan lagu berkenaan terletak pada lirik yang sangat bermesej dan bermakna sekali gus mudah difahami generasi sekarang.
“Melodi lagu ini ‘catchy’. Apabila nak nyanyi, korusnya senang untuk kita nyanyikan bersama,” tambah pelantun lagu ‘Lelaki Teragung’ ini.
Sementara itu, Ketua Joox Malaysia, Angie Tan berpendapat penggiat muzik di Malaysia sentiasa menjadi penyumbang dan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya tempatan.
“Saya berharap ‘Jalan’ dapat memberikan inspirasi dan menaikkan semangat Malaysia waima hasil kerjasama luar biasa artis-artis kegemaran ramai dan artis baharu akan menjadi idola di masa hadapan, bersama dengan watak kartun kegemaran mereka,” ujar Angie Tan.
Malah bagi penyanyi asal Brunei, Aziz Harun (gambar bawah) beliau menyifatkan penghasilan lagu itu sesuai dengan seluruh kelompok masyarakat yang melalui fasa pandemik Covid-19 ini.
Jelasnya, selain diterbitkan dan ditulis dengan bunyi dan genre yang sangat baharu, lirik lagu memang sangat bererti dan relevan kepada semua orang yang sedang melalui fasa pandemik Covid-19 dan sebelum PKP.
“Sejujurnya peluang untuk merakamkan lagu dengan ramai rakan artis memang teruja. Tambah lagi dengan penyanyi senior dan ‘legend’, jadi lebih semangat untuk nyanyi dan boleh belajar dan melihat mereka bekerja. Sekarang saya sudah boleh kata ada lagu dengan Faizal Tahir dan Dayang Nurfaizah,” ujar Aziz terharu.
Lagu yang boleh distrim secara eksklusif di Joox ini turut boleh dimuat turun sebagai nada dering dan hasil kutipannya akan disumbangkan kepada dana kecemasan yang diuruskan oleh RIM untuk membantu pemuzik tempatan yang dalam kesusahan.
Selain itu, muzik video lagu ini pula akan dilancarkan pada 24 Disember 2021. - KitaReporters