SELEPAS filem The Foreigner keluaran tahun 2017 yang dibintanginya bersama Pierce Brosnan, aktor Jackie Chan tidak lagi muncul dalam sebarang filem Hollywood. Adakah dia sudah malas atau bosan berlakon di Hollywood yang telah menjulang namanya di peringkat antarabangsa? Atau adakah dia sudah merajuk sehingga tidak mahu lagi membintangi mana-mana filem Hollywood? : KitaReporters


JACKIE Chan (kanan) dalam satu adegan filem 'The Foreigner' bersama Pierce Brosnan. - Kredit foto: scmp.com


Lagi cerita-cerita berkaitan Jackie Chan:

https://kitareporters.com/search?search=jackie+chan


Ini ditambah dengan hakikat bahawa dia ‘membawa diri’ ke Rusia dan membintangi filem di negara itu. Adakah Rusia lokasi baharu Jackie meneruskan karier selepas Hollywood?

Namun situasi sebenar tidak begitu. Aktor yang terkenal dengan aksi kung fu itu bukan bosan atau merajuk dengan Hollywood. Sebaliknya dia cuba mencari sesuatu yang baharu.


'The Iron Mask' membariskan Jackie Chan dan Arnold Schwarzenegger, filem produksi Rusia keluaran 2019.



Memetik laporan comicbook, Jackie Chan memberitahu, dia sama sekali tidak meninggalkan Hollywood. Namun dia enggan menerima tawaran berlakon di sana kerana peranan yang ditawarkan seringkali hampir sama dalam setiap filem.

Bintang yang menempa nama di Hong Kong melalui filem-filem kung fu itu memberitahu, tidak ada skrip yang dirasakan sesuai untuknya di Hollywood selepas The Foreigner .

Katanya, semua peranan yang ditawarkan kepadanya hampir sama seperti filem-filem sebelumnya, khususnya peranan sebagai polis yang menyerlahkan kemahirannya beraksi lasak dan kung fu.

Jackie berkata, dia sudah penat dengan peranan seperti itu. Dalam usia yang sudah mencecah 66 tahun dia lebih berminat memegang peranan lebih pelbagai dan dramatik.

Dia mahu setiap tahun penonton menyaksikan pelbagai sisi berlainan dirinya.Dia mahu menampilkan dirinya sebagai pelakon yang boleh membawa pelbagai aksi, bukan hanya sebagai binang filem aksi.

“Saya tidak mahu mengulangi rutin yang sama sebagai pelakon aksi sepanjang masa,” katanya kepada comicbook.


JACKIE Chan dan Arnold Schwarzenegger, bintang utama 'The Iron Mask' dan merupakan gandingan kali pertama mereka dalam filem. - Kredit foto: South China Morning Post.


Mengenai penglibatannya dengan filem di Rusia, Jackie Chan, filem pertama lakonannya ialah filem epik fantasi bertajuk The Iron Mask atau dikenali juga Viy 2: Journey to China. Filem ini diterbitkan dalam bahasa Rusia, Inggeris dan Mandarin.

Untuk pertama kalinya, Jackie Chan bergandingan dengan aktor sasa Arnold Schwarzenegger dalam filem ini di samping Anna Churina.

Turut membintangi filem ini ialah aktor keturunan Belanda, Rutger Hauer. Ini merupakan penampilan terakhir Rutger di layar perak. 

Pelakon yang dilahirkan pada Januari 1944 dan pernah dinamakan sebagai ‘Pelakon Terbaik Belanda Abad Ini’ meninggal di Belanda pada Julai 2019. Filem The Iron Mask memasuki pasaran sebulan selepas dia meninggal dunia.


RUTGER HAUER membintangi 'The Iron Mask' yang merupakan penampilan terakhirnya di layar perak. Dia meninggal dunia pada Julai 2019, sebulan sebelum 'The Iron Mask'  diedarkan. - Kredit foto: Wikipedia.


Penggambaran filem ini dilakukan antaranya di lokasi ikonik seperti Menara London dan Tembok Besar China. Iron Mask  diedarkan di China pada Ogos 2019 dan di Rusia pada September 2019. Sambutannya begitu menggalakkan.

Menurut rancangan awal , Jackie Chan akan membintangi filem ini bersama dua lagi pelakon lasak popular, Jason Statham dan Steven Segal. Tetapi akhirnya dia disahkan berlakon bersama Arnold.

Berapa lamakah Jackie Chan akan berlakon di Rusia? Bila dia akan kembali ke Hollywood? 

Jawapannya bergantung kepada tawaran yang diterima dari Hollywood. Jika ada skrip sesuai yang menepati cita rasanya mungkin dia akan segera kembali ke Hollywood. - KitaReporters


ANNA CHURINA turut membinangi 'The Iron Mask'. - Kredit foto: Beyazperde

0
1
0
0
0

Copy Link: