Tengkujuh dah tiba! Terengganu mula hantar makanan ke pulau!
Published byMUSIM tengkujuh yang mula menunjukkan tanda-tanda akan melanda negeri Terengganu berikutan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini menyebabkan penduduk terutama di pulau-pulau utama perlu membuat persiapan awal untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir. : KitaReporters
Hanafiah Mat (tengah) memeriksa barang keperluan sebelum dihantar ke Pulau Redang.
Lagi cerita-cerita berkaitan Terengganu:
https://kitareporters.com/search?search=Terengganu
Dua pulau terbesar yang mempunyai penghuni iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian diberi perhatian utama oleh Kerajaan Negeri untuk menghantar bekalan keperluan makanan lebih awal kepada penduduk di pulau berkenaan.
Ini bagi menghadapi kesulitan menghantar barang keperluan jika berlaku keadaan laut bergelora yang menyukarkan bot untuk keluar ke pulau terbabit.
Berikutan itu, kerajaan negeri akan menghantar lebih enam tan bekalan makanan kering ke Pulau Redang dan Pulau Perhentian sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh tahun 2020 ini.
Sebahagian barangan keperluan untuk dihantar kepada penduduk di Pulau Redang
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar berkata, bekalan tersebut diharap mampu menampung keperluan penduduk di tiga lokasi yang sering terputus hubungan apabila berlaku banjir. Selain Pulau Redang dan Pulau Perhentian, satu lagi lokasi yang diberi perhatian ialah Kampung Pasir Raja, Dungun.
Katanya, barang keperluan seperti beras, gula, biskut, minyak masak, teh dan sardin sebanyak 3.8 tan mula dihantar ke Pulau Redang hari ini, Rabu 21 Oktober 2020 dengan menggunakan kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah JKM Terengganu Zuhaimi Omar
Selain itu, katanya, bekalan ke Kampung Pasir Raja, Dungun juga dihantar hari ini 21 Oktober 2020, manakala penghantaran barang sebanyak 22 tan ke Pulau Perhentian, Besut akan dibuat pada Khamis, 22 Oktober 2020.
Penghantaran barang keperluan ke Pulau Redang
dibuat melalui jeti APMM, Pulau Kambing, Kuala Terengganu.
Turut hadir menyaksikan kerja-kerja penghanataran itu ialah Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat; Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli; dan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.
Petugas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan anggota APMM sedang memunggah barang keperluan ke kapal APMM untuk di hantar ke Pulau Redang
Kata Zuhaimi, JKM mula mengagihkan stok bekalan banjir ke 152 pangkalan hadapan seluruh negeri bermula 12 Oktober 2020 dan dijangka berakhir 25 Oktober 2020 nanti.
“Stok bekalan tersebut mampu bertahan antara tiga
hingga tujuh hari dan pihaknya bersedia menambah bantuan jika tidak mencukupi
atau berlaku banjir luar jangka dengan bantuan agensi kerajaan lain,” katanya.
Zuhaimi berkata, JKM mempunyai pembekal utama di setiap daerah yang bersedia hantar dan tambah bekalan pada bila-bila masa sekiranya stok habis. Bagi kawasan terputus hubungan seperti pulau pula, penghantaran akan dibuat melalui udara.
Hanafiah Mat turut membantu memunggah barang keperluan ke atas kapal APMM
Setakat ini,katanya, sebanyak 568 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dapat menampung 135,045 mangsa banjir di Terengganu sudah dikenal pasti dan ia diuruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu ekoran pandemik koronavirus 2019 (Covid-19).
“Kita sedang meneliti keperluan untuk menambah PPS kerana banyak faktor perlu diambil kira sebelum keputusan dibuat terutama dari segi kapasiti penduduk dan keperluan yang ada di pusat berkenaan,” katanya. - KitaReporters