Video| Harith Zazman pilih Shut Up! Dulu Cute, kemudian Tak Tahu! Kisah hidup jadi lirik lagu!
Published byAPABILA sebut judul single ‘Cute' (Stop Lah Being So Cute) tentu ramai yang ingat waima bait lirik lagu tersebut sering menjadi siulan muda mudi yang mahu mengusik gadis-gadis comel.
Tetapi pasti ramai yang belum mengenali dengan lebih dekat siapa penyanyinya, apatah lagi nama Harith Zazman, 27, tidaklah sehebat Haqiem Rusli atau Naim Daniel yang seangkatan usia sepertinya.
Namun, single pertamanya itu turut menampilkan kumpulan penulisan lagu dan penerbit rakaman MFMF serta penyanyi rap Loca B, berjaya meraih 2.3 juta tontonan YouTube dan terkini sudah melebihi 16 juta tontoban sejak dilancarkan Jun 2020.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan single terbaharu
Walaupun Harith baharu sahaja bergelar suami kepada seorang model yang juga terlibat dalam video muziknya, Nuramalina Ghakashah, 29, pada Ogos 2021, beliau tidak berhenti untuk terus berkarya.
Terbaharu, pemilik nama sebenar, Mohamad Harith Saifuzzaman ini terus tampil dengan single ketiga selepas ‘Tak Tahu’ namun kali ini memilih kata bual yang lebih berani, ’Shut Up’ sebagai judul lagunya.
Bezanya kali ini, Harith tampil solo menyampaikan lagu ‘Shut Up’ ciptaan sepenuhnya oleh beliau sendiri dengan Mage, Pique dan Fahimi Rahmat yang telah dilancarkan pada Oktober 2021 di bawah syarikat rakaman Faithful Music.
Pada 12 November 2021 lalu baharu dilancarkan video muzik rasmi ‘Shut Up’ sekali gus memaparkan kejutan buat peminat dengan perkongsian mengenai kehamilan isterinya.
“Ini adalah lagu solo pertama saya. Sejujurnya saya amat takut juga pada awalnya, tapi pengurus cakap bila lagi nak buat secara solo kalau bukan sekarang.
"Jadi dalam muzik videonya pula saya ambil keputusan menampilkan elemen kejutan dengan berkongsi mengenai kehamilan isteri,” cerita Harith teruja.
Menurut ‘singer-songwriter’ ini, idea video muzik tersebut tercetus daripada pengarahnya, Hafreez Amminuddin atau Freeze yang mahukan sesuatu yang berbeza.
“Jadi, itu yang timbul idea ‘alien’ dan ‘outer space concept’ iaitu mengenai ‘alient couple’ di mana isteri berasa kurang selamat dengan ‘alien’ lain tapi suaminya ada untuk memujuk,” jelas Harith sambil memberitahu memang ada tarian yang pelik ditonjolkan untuk menunjukkan cara si suami memujuk si isteri.
Tambah Harith, ia pengalaman yang menarik ketika penggambaran dijalankan.
“Kena tengok betul-betul juga video yang turut paparkan babak isteri saya mengandung dan ia secara tak langsung sebagai cara saya berkongsi berita gembira ini," ujarnya.
Harith Zazman berkongsi kegembiraan berhubung kehamilan isterinya dalam muzik video lagu baharunya berjudul 'Shut Up'.
Berkongsi lanjut mengenai percubaannya bergerak solo tanpa berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi, Harith mengakui timbul rasa gementar.
"Sebelum ini saya berkolaborasi dengan artis lain seperti Loca B dan Tuju. Risau juga kerana saya ini bukan penyanyi dari awal, jadi agak gementar kalau nak buat persembahan tanpa ada orang di sebelah.
"Tapi saya fikir, lama kelamaan kalau nak buat perkara ini serius kena belajar jika mahu terus bergerak solo. Kalau tak bila lagi nak buat,” kenang Harith.
Dalam masa sama, Harith mengakui selesa untuk menyanyikan lagu bergenre pop sama seperti single terdahulu.
“Saya pilih genre pop pun sebab rasa ia sangat sesuai dengan jiwa saya buat masa sekarang. Kalau lagu berentak balada atau bernyanyi dalam nada tinggi pun belum masanya lagi sebab saya masih belajar menyanyi serta mengikuti kelas vokal.
"Tunggu jika saya sudah betul-betul mahir,” akui Harith tanpa berselindung dan gemar menulis lirik lagu berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri sebagaimana lagu-lagu sebelum ini.
“Konsep lagu pun pada awalnya saya yang ‘insecure’ dengan isteri. Sebab pada awal perhubungan dia yang banyak tenangkan saya kalau saya rasa ‘insecure’. Ditambah dengan idea daripada rakan penulis lain maka jadilah lagu ‘Shut Up’ ini yang pada awalnya adalah lagu yang sangat berbeza,” katanya.
Harith Zazman menaruh harapan agar peminat muzik tempatan boleh ‘enjoy’ dengan lagu tersebut sekali gus boleh berhenti berasa ‘insecure’ terhadap pasangan dan paling penting sayangi diri sendiri kerana orang sekeliling menyayangi kita tidak kira rupa dan bentuk.
‘Shut Up’ boleh didengar dalam semua pelantar muzik digital dan selain itu peminat boleh menyertai cabaran #ShutUpTolongDiam dalam aplikasi TikTok untuk memenangi hadiah-hadiah menarik seperti pakej ‘movie night’ yang mengandungi barangan eksklusif Shut Up, Kad Hadiah Netflix dan banyak lagi.
Ok dah! Tolong Diam! ‘Shut up’!
Jom tonton dan hayati apa yang mahu disampaikan oleh Harith Zazman kali ini? - KitaReporters