Mun Yee paling senior! 30 wira Olimpik Malaysia ke Tokyo! Buru pingat emas sulung temasya ke-32!
Published byLEE Zii Jia, harapan Malaysia dalam perseorangan lelaki badminton Olimpik Tokyo. - Kredit foto: BWF
PELOMPAT tinggi olahraga, Lee Hup Wei menjadi antara atlet paling berpengalaman terakhir yang disenaraikan dalam kontinjen 30 atlet Malaysia ke Sukan Olimpik Ke-32 di Tokyo, Jepun yang bermula 23 Julai 2021 ini.
Olimpik Tokyo 2020 (2021) ini bakal menyaksikan penampilan ketiga atlet kelahiran Kajang, Selangor berketinggian 1.80 meter ini selepas Beijing 2008 dan London 2012.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik
Lee Hup Wei menjadi antara atlet paling berpengalaman terakhir yang disenaraikan dalam kontinjen 30 atlet Malaysia ke Sukan Olimpik Ke-32. - Kredit foto: IG Lee Hup Wei
Hup Wei, 34, disahkan sebagai antara empat atlet terbaharu yang layak selain seorang lagi atlet olahraga (100m wanita), Azreen Nabila Alias, perenang Welson Sim dalam acara 200 dan 400m gaya bebas serta Phee Jinq En (100m kuak dada wanita).
Welson dan Jinq En masing-masing turut pernah beraksi pada Olimpik Rio 2016, manakala inilah kemunculan sulung Azreen.
Penerjun akuatik, Leong Mun Yee, 37, merupakan anggota kontinjen sekarang yang paling banyak menyertai Olimpik (lima kali) iaitu sejak Sydney 2000 diikuti Athens 2004, Beijing dan London.
AZREEN Nabila Alias, atlet 100 meter wanita Malaysia. - Kredit foto: MSN
JEREMIAH Loo Phay King, gimnas all-around lelaki Malaysia. - Kredit foto: MSN
LEONG Mun Yee (kanan) sudah menikmati empat aksi Sukan Olimpik sejak 2000. - Kredit foto: MSN
Tiga puluh atlet Malaysia ini akan mengambil bahagian dalam 10 jenis sukan sepanjang temasya itu yang berakhir pada 8 Ogos 2021 ini, menurut siaran media Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Jumaat, 2 Julai 2021.
Angka ini berkurangan dua orang berbanding 32 ketika di Rio, lima tahun lalu tetapi jumlah sukan kekal 10.
Ketua Kontinjennya ialah bekas pemenang tiga pingat perak badminton perseorangan lelaki Olimpik Beijing, London dan Rio, Datuk Lee Chong Wei.
Badminton menjadi penyumbang terbesar atlet iaitu lapan orang diikuti lima penerjun akuatik, empat atlet pelayaran, dua masing-masing bagi memanah, olahraga, berbasikal, golf, gimnastik dan renang serta seorang menembak.
MOHD. Azizulhasni Awang (kiri) dan Shah Firdaus Sahrom, pertaruhan pingat Malaysia dalam acara keirin dan pecut berbasikal. - Kredit foto: MSN
SYAQIERA Mashayikh, pemanah tunggal wanita Malaysia. - Kredit foto: MSN
MOHAMAD Norza Zakaria yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pasti menagih sinar emas sulung Malaysia di pentas Olimpik selepas sekadar tiga perak badminton di Rio 2016. - Kredit foto: MOM
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, “tahniah kepada atlet-atlet yang telah layak ke Olimpik Tokyo 2020 (2021) kerana cekal mengharungi situasi sukar dalam dua tahun lalu.
“Ada kurang tiga minggu lagi untuk ke temasya itu dan kumpulan pertama yang akan berlepas ialah pelayaran pada 8 Julai 2021 ini.
“Bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan persatuan-persatuan sukan kebangsaan, kami akan bertumpu kepada persiapan akhir supaya mereka dapat mencapai prestasi kemuncak di Tokyo,” katanya dalam siaran itu.
Malaysia belum pernah mengecapi pingat emas Sukan Olimpik sejak beraksi sebagai Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya di Melbourne 1956 namun pencapaian terbaiknya ialah di Rio 2016 dengan empat pingat perak (badminton dan terjun) dan sebutir gangsa (berbasikal). - KitaReporters
FARAH Ann Abdul Hadi (kiri), gimnas wanita dalam acara all-around individu. - Kredit foto: MSN
SENARAI 30 atlet negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 (2021). - Kredit foto: MOM
PANDELELA Rinong Pamg, pemenang sebutir perak dan sebutir gangsa Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016. - Kredit foto: Twitter Pandelela
Pembawa Jalur Gemilang dalam Sukan Olimpik
2020 (2021) Tokyo: Goh Liu Ying (badminton)
2016 Rio: Datuk Lee Chong Wei (badminton)
2012 London: Pandelela Rinong (terjun akuatik)
2008 Beijing: Azizulhasni Awang (berbasikal)
2004 Athens: Bryan Nickson Lomas (terjun akuatik)
2000 Sydney: Mirnawan Nawawi (hoki)
1996 Atlanta: Nor Saiful Zaini Nasiruddin (hoki)
1992 Barcelona: Razif Sidek (badminton)
1988 Seoul: Nordin Jadi (olahraga)
1984 Los Angeles: Sabiamad Abdul Ahad (menembak)
1980 Moscow: Malaysia memboikot
1976 Montreal: Ishtiaq Mobarak (olahraga)
1972 Munich: Ali Bakar Abu Bakar (bola sepak)
1968 Mexico: Nashatar Singh (olahraga)
1964 Tokyo: Kuda Ditta (olahraga)
1960 Rome: Shahrudin Ali (olahraga)
1956 Melbourne: Tan Kim Bee (angkat berat)
KONTINJEN Malaya dalam Sukan Olimpik Melbourne 1956 - yang pertama dalam sejarah penyertaan. - Kredit foto: MOM