IRAMA Simfoni Salju 30 Jan 2021! Konsert maya kemanusiaan bantu Palestin/Syria, mangsa banjir
Published bySETELAH kejayaan beberapa siri bantuan Malaysia ke Gaza dan Syria yang dikelolakan oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Cinta Syria Malaysia (CSM), pada tahun ini Philandure Sdn. Bhd. buat julung kali akan menganjurkan IRAMA Simfoni Salju dengan rakan sinergi IRAMA dan Niyat Edutainment. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan IRAMA:
https://kitareporters.com/search?search=konsortium+industri
Menurut kenyataan media Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), program pada 30 Januari 2021 ini akan dimeriahkan oleh lebih 20 orang artis dan influencer terkemuka tanah air yang bakal menghangatkan lagi program ini.
Antara artis dan influencer yang bakal bersama dalam program ini adalah MizNina, Noh Saleh, Dr. Fitri Haris, Lan Solo, Farah Lee, Rabithah, Rhys William, Aizat Amdan, Ustazah Isfadiah, Ustaz Muhidin, Azhar Hilmi, Inteam, Che Am Raihan, Ustaz Isman Hijjaz, Ben Laden, Lah Ahmad, Ikhwan Fatanah, Zehra Zambri dan ramai lagi.
Lima lokasi yang telah dikenal pasti di Timur Tengah ialah Gaza (Palestin), Utara Syria, Jordan, Turki dan Lubnan. Kawasan kawasan ini adalah kawasan yang terjejas akibat konflik peperangan di Gaza dan juga menjadi penempatan sementara bagi pelarian dari Syria.
Salah satu projek yang akan dijalankan oleh NGO seperti Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) adalah Bantuan Musim Sejuk. Bantuan ini adalah bantuan holistik meliputi makanan, keperluan harian seperti pakaian, perubatan dan juga pendidikan.
Bantuan ini juga akan memberi manfaat kepada ribuan rakyat Gaza (Palestin) dan pelarian Syria yang bertebaran ditambah lagi dengan musim sejuk yang bakal tiba, pastinya akan menyukarkan aktiviti harian mereka dengan kekurangan bahan asasi untuk menghadapi musim sejuk.
Pengarah Projek Simfoni Salju Gaza & Syria, Nurazah Suhana Anuar berkata: “Simfoni Salju adalah satu program pemberdayaan komuniti (community empowerment) yang bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat Gaza (Palestin) dan pelarian Syria, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut menyokong program kemanusiaan ini.
"Kita tidak mahu program ini hanya bersifat one-off tetapi ia perlulah lestari dalam membangunkan jiwa manusiawi dalam komuniti. Kemanusiaan adalah bahasa sosial terpenting yang disulami kasih saying dan rasa syukur.”
Untuk bantuan musim sejuk, sasaran kutipan terkumpul buat CSM & CGM yang telah berjaya diraih adalah sebanyak RM3,206,533.34 setakat 31 Disember 2020. Berbaki RM250,000.00 yang diperlukan bagi memberi manfaat sepenuhnya keperluan kepada penduduk di Gaza dan pelarian Syria.
Sementara itu, dalam kenyataan media yang lain, Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid bercerita: "Kalau tidur dalam aircond pada suhu 16°c pun kita menggigil, inikan pula mereka nun jauh di Gaza dan Syria yang sedang berdepan dengan cuaca musim sejuk melampau pada suhu di bawah paras beku negatif darjah Celsius.
"Ditambah lagi dengan atap bumbungnya bocor, pakaiannya koyak, kurang sumber makanan, tiada bahan pemanas badan."
Beliau juga menambah: "Dalam keghairahan kita melangkah ke tahun baru 2021, ada saudara-saudara kita di tanah air tercinta diuji dengan banjir besar yg sangat menduga.
"Apakah kita hanya mampu melihat kesengsaraan mereka. Marilah kita sama-sama menghulur sedikit sumbangan kepada mereka. Terima kasih buat kalian yang sudah menyumbang. Buat mereka yang masih mencari ruang untuk menyuburkan ladang pahala, jom bersama sama berhibur sambil beramal."
Bersama Tegar Septian dalam IRAMA Simfoni Kasih pada 30 Januari 2021.
Sehubungan itu, katanya, konsert IRAMA Simfoni Salju ini, yang merupakan konsert kemanusiaan secara virtual yang pertama di Malaysia, akan bersiaran secara langsung selama 9 jam tanpa henti dengan lebih 20 artis dari Malaysia dan rumpun nusantara bakal membuat persembahan.
Sepanjang 9 jam konsert kemanusiaan ini, para penonton boleh bersama-sama dengan kami untuk melakukan sumbangan secara langusng (live) kepada kedua-dua tabung kecemasan, kata Ayob.
Pembelian tiket IRAMA Simfoni Kasih boleh dibuat melalui laman sesawang http://keettoon.tv/wintersimphony2021.
Anda juga boleh membuat bidaan bagi barang barang eksklusif milik artis tempatan yang juga akan disumbangkan 100% buat benefisiari Cinta Syria Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia.
Bersama Ammy Fara dalam IRAMA Simfoni Kasih pada 30 Januari 2021.
Sementara itu, hujan lebat tanpa henti mengakibatkan beberapa buah negeri mengalami banjir teruk dan mengakibatkan mereka terputus bekalan makanan, terputus hubungan jalan raya. Antara negeri yang teruk mengalami banjir adalah Kelantan, Perak, Johor, Pahang, Terengganu and Selangor.
Dengan ini juga, para barisan artis pada konsert IRAMA Simfoni salju ini juga akan bersama-sama membantu dalam penjualan tiket agar dapat meringankan beban buat mereka yang terkesan dengan musibah ini.
100% sumbangan akan disalurkan buat mereka yang terjejas dengan tragedi bencana banjir 2021. Anda boleh membuat sumbangan melalui pautan: https://www.simplygiving.com/event/floodappeal. - KitaReporters