Video| Master in the House Malaysia ajar 5 artis! Pelbagai bidang! 6 master Malaysia, 2 Korea!
Published byDari kiri: Sharifah Rose, Meyrasam, Scha Elinnea dan Hael Husaini.
KELIMA-LIMA artis pilihan Primeworks Studios ini bukanlah terlalu ‘matang’ mahu pun ‘hijau’ dalam industri seni dan hiburan, namun bakat terpendam masing-masing sebagai penyanyi, pelakon mahu pun penari menjadi antara faktor dan tuah mereka ditawarkan sebagai barisan artis pertama dalam program realiti terbaharu ‘Master in the House Malaysia’.
Tentunya, Hael Husaini, Sharifah Rose, Andi Bernadee, Scha Elinnea dan Meyrasam (anggota kumpulan Cassia) teruja apabila mengenangkan pengalaman mereka terbabit dalam rancangan yang diadaptasi dari Korea Selatan itu, khususnya apabila berpeluang menjalani penggambaran dan berinteraksi dengan dua ‘Master Korea’ dan enam dari Malaysia yang mempunyai kepakaran dan kredibiliti daripada pelbagai bidang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan TV3
Bergambar kenangan bersama Bam Bam (baju biru) di Korea Selatan,
Barisan Master dari Malaysia ialah Datuk Yusof Haslam, seorang penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelakon yang berwibawa, penyanyi tersohor; Dato’ Seri Siti Nurhaliza; Datuk Rashid Sidek, legenda badminton negara; Sherson Lian, cef selebriti dan hos televisyen Malaysia; serta Usamah Zaid, pengasas dan Pengarah Urusan syarikat animasi miliknya, Wau Animation dan pencipta/pengarah siri animasi Ejen Ali.
Seorang lagi master dari Malaysia masih dirahsiakan memandangkan penggambaran program realiti baharu ini belum habis sepenuhnya.
Dua artis Korea pula terdiri daripada Bam Bam, K-pop Idol yang mencipta nama menerusi kumpulan Got7 sejak tahun 2014 serta koreografer yang mencipta fenomena K-Pop Idol BTS terutama koreografi ‘Butter’ yang sedang rancak dalam kalangan Army iaitu Son Sung Deuk.
Pertemuan bersama Son Sung Deuk (tiga dari kanan).
Sung Deuk merupakan pengarah Hybe Performance yang sering memenangi anugerah yang berprestij di Korea dan mula bekerjasama dengan BTS sejak kumpulan itu diperkenalkan, manakala Bam Bam, seorang rapper, penyanyi dan penggubah lagu berbakat besar dan sering menghasilkan lagu-lagu yang membolosi carta-carta lagu.
“Memang kami tidak menjangka terpilih untuk menyertai rancangan ini dan mendapat pengalaman berkongsi dengan 8 master terhebat dalam bidang berbeza,” ujar Hael Husaini, 33, sambil diakui empat rakan seperjuangannya yang hadir pada majlis sidang media ‘Master in the House Malaysia’ yang berlansung di PJPAC pada 4 Januari 2022 lalu.
Hanya Andi Bernadee, 30, yang tidak dapat hadir kerana masih dalam tempoh kuarantin kendiri manakala turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof serta penerbitnya, Ahmad Azahari Mohamad Ali dan Datuk Yusof Haslam (gambar bawah, tengah).
Hael Husaini
Menyambung cerita di sebalik persetujuannya menyertai ‘Master in the House Malaysia’, Hael memberitahu, beliau dan rakan-rakannya tidak diberitahu awal siapa master-master yang terlibat walaupun menjangka Tok Ti pasti antaranya apatah lagi penyanyi itu amat tersohor.
“Memang saya pernah bekerja dengan Tok Ti tetapi saya tetap teruja mendengar ceritanya dan seronok bila rakan-rakan lain juga terpesona dengan latar belakang Tok Ti sebelum mencapai kejayaan,” ujar Hael yang bakal mengeluarkan album baharu mengandungi enam lagu baharu selepas hari raya tahun ini.
Sharifah Rose
Seperti Hael, pelakon baru, Sharifah Rose, 23, yang diperkenalkan buat julung kalinya dalam drama ‘Kekasih Hati Mr, Bodyguard’ turut melahirkan rasa bangganya terpilih walaupun mengakui dirinya seorang pemalu sebelum ini.
“Memang saya terkejut apabila mendapat tawaran ini tetapi sebagai pendatang baharu saya terimanya sebab mahu mempelajari bidang-bidang yang luar daripada pengetahuan saya,” ujar pelakon yang lahir daripada platform media sosial sebagai model Instafamous ini malah pernah dikaitkan bercinta dengan anak tiri Siti Nurhaliza, Azief Khalid.
Pun begitu, Sharifah Rose akui tidak diberitahu ‘Mak Iti’ (panggilannya terhadap Tok Ti) adalah salah seorang daripada ‘Master’ yang ditemui pada program tersebut namun gembira dapat berkongsi pengalaman Mak Iti ketika melalui zaman remajanya menjual kuih.
Dalam pada itu, Sharifah Rose memberitahu, antara cabaran yang sukar dilakukan sudah tentunya bab menari memandangkan itu antara perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
“Apatah lagi saya bertudung dan tentulah bila menari saya perlu berhati-hati agar tidak nampak terlalu terkinja-kinja tetapi melakukannya mengikut kemampuan sahaja,” cerita Rose diiringi ketawa kecil namun katanya pengalaman yang paling berkesan apabila mendengar kisah Bam Bam.
Antara cabaran yang dilalui Rose (dua dari kanan) serta rakan artis lain bersama Bam Bam.
Menurut selebriti yang terkenal melalui media sosial ini, melalui program itu beliau kagum dengan kisah Bam Bam seorang artis impot daripada Thailand tetapi bekerja 25 jam sehari dan walaupun rutin hariannya amat ketat tetapi dia masih mempunyai disiplin yang tinggi.
“Itulah yang mengagumkan saya, seorang yang berdisiplin dan kuat bekerja tetapi tidak pernah lupa untuk pulang ke negara asalnya Thailand setiap kali apabila ada masa terluang,” kenang model bernama penuh Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira ini.
Scha Elinnea
“Memang betul, apa yang kami pelajari adalah soal disiplin, kerja kuat dan jangan cepat selesa untuk terus maju dalam bidang apa sekali pun yang kami ceburi,” sambung Scha Elinnea, 22, yang seperti rakan-rakan lainnya turut berkongsi rasa terharu apabila terpilih sedangkan beliau pun masih baharu dan perlu belajar dan menimba lebih mendalam dalam ilmu lakonan.
Tahun lalu, pelakon drama ‘STiktok’ ini viral apabila mengaku mengalami gangguan mental kronik berpunca daripada kemurungan teruk sehingga terpaksa mendapatkan bantuan pakar sakit jiwa.
Apakah Scha sudah pulih sepenuhnya?
“Scha masih menerima rawatan,” katanya tanpa berselindung namun bersyukur kesempatan bersama rakan-rakan sebaya dalam ‘Master in the House Malaysia’ sedikit sebanyak dapat membantu dirinya tenang.
Ketika di Korea, tambahnya, masalah kemurungan itu terjadi juga dalam masa dua tiga hari apabila terpaksa tidur seorang dalam tempoh kuarantin.
Scha (jkiri) mendapatkan rakan artis Meyrasam (tengah) sebagai teman sebiliknya ketika di Korea, bimbang diserang kemurungan.
“Sebab itu selepas itu Scha mohon duduk sebilik dengan rakan-rakan dan Meyra menjadi rakan sebilik Scha sebab memang Scha tidak boleh tinggal seorang, mesti ada teman,” ceritanya sambil memberitahu, masalah ‘anxiety’nya juga akan timbul apabila menghadapi situasi tertekan.
Menurut Scha beliau pernah dimasukkan ke hospital selama dua hari ketika negara berada dalam tempoh PKP kali kedua kerana tidak tahan terkurung sehingga jiwa rasa ‘hilang’ seketika.
Dalam pada itu beliau bersyukur pengalaman yang ditimba melalui program dan penggambaran di Korea banyak membantu mengajarnya untuk membina kerjayanya.
Penggambaran di Korea Selatan dengan kerjasama syarikat penerbitan SBS Korea mengambil masa selama 10 hari bermula hujung bulan Oktober 2021 lepas.
Pada setiap episod, Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam akan diperkenalkan dengan seorang ‘Master’ yang disegani dalam industri yang diceburi beliau.
Tanpa mengetahui siapakah ‘Master’ terlebih dahulu, mereka diberikan cabaran untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang diamanatkan oleh Master dalam tempoh dua hari satu malam.
Untuk menyaksikan pengalaman barisan artis terbabit dalam program ‘Master in the House Malaysia’ nantikan episod pertama daripada 10 episod keseluruhannya yang bakal bersiaran pada 15 Januari 2022 ini di TV3, setiap hari Sabtu, pukul 10.00 malam selama sejam. - KitaReporters