TIAP kali menonton drama Melur Untuk Firdaus, hati membara saja bila lihat watak Zain, suami yang panas baran tu. Rasa nak hempuk saja muka dia. Bila perasaan begitu ada dalam diri penonton, itu membuktikan yang Hairi Safwan berjaya membawa watak Zain dengan baik. 

Lakonan juara program realiti, Anak Wayang pada 2009 tidak dapat dinafikan dan sering meninggalkan kesan kepada penonton. Sayangnya, pelakon yang nama sebenarnya, Muhammad Hairi Safwan Aznan, 34, sering diberi watak pembantu saja.

Bukan itu saja, Hairi banyak muncul dalam drama tempatan namun popularitinya tidak seimbang dengan senarai kerja lakonannya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pementasan teater

Hairi Safwan bakal melakonkan watak Datuk Bendahara dalam muzikal Moyang Salleh yang akan dipentaskan pada 26-31 Ogos 2022 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.


“Tak tahulah, mungkin sebab saya ni memilih. Saya tengok drama dan pengarah juga sebelum beri persetujuan. Saya perlu bersikap begitu sebab sudah menjadi trend dalam industri ada sesetengah pengarah yang nak budak-budak dia saja tapi stesen TV nak kita.

 “Kalau saya berlakon dengan pengarah yang mahukan kroni dia sedangkan nama saya atas kehendak stesen TV, suasana akan jadi tak best. Saya pernah rasa suasana itu, di set itu kita akan gaduh dan bermasam muka. Kita nak kerja jadi tak seronok.

“Itu pengalaman buruk saya. Masalah drama kita sekarang ini adalah kroni bekerja dengan kroni atau kroni dan tak kroni. Ada drama saya berlakon sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebanyak 20 episod. Saya pula hero jadi saya pun rasa stres juga. 

“Bila kita duduk dalam set ada pelakon dan pengarah yang tak suka kita, mood kerja akan terganggu. Pernah terjadi pada saya, memang rasa terkilan sangat. Saya rasa tak perlulah seseorang pengarah yang bagus memilih kroni, dia tau undang-undang. 

“Kalau dia sebagai pengarah, bila diberi apa saja, dia akan buat dan bentuk pelakon itu. Tak perlu nak pilih kroni sendiri. Rasanya bukan terjadi kepada saya saja, artis lain pun pernah alami situasi itu,” ceritanya tentang suasana di set penggambaran.


Dalam drama Ayahanda, Hairi berlakon sebagai Ahmad.


Bersama pelakon drama Ayahanda "Ibrah Ramadhan".


Malah kata Hairi, dia tak kisah jika berlakon dengan pendatang baharu waima influencer (pempengaruh) sekalipun. Apa yang penting, masing-masing tahu peranan.

“Saya ni jarang ditawar watak utama, kalau watak hero pun untuk komedi saja. Mungkin, orang tengok paras rupa atau tubuh badan kita untuk ditawarkan watak hero. Walaupun hero komedi tapi saya syok sebab boleh jumpa orang baharu.

“Tapi saya pun tak ada masalah kalau watak hero dilakonkan oleh budak-budak muda atau baharu. Saya rasa mereka memilih saya ini lebih kepada watak antagonis.

“Setakat ini, tak pernah lagi rasa tak adil atau apa, okey saja. Janji watak yang kita bawa itu menjadi, macam watak Zain dalam Melur Untuk Firdaus. Watak tu sikit saja tapi antagonis tu menyerlah,” katanya.

Dalam soal lakonan, katanya, dia tidak kisah siapa hero atau berlakon dengan siapa, itu semua adalah rezeki.

“Saya lebih memandang kepada rezeki, budak-budak influencer masuk bidang lakonan itu rezeki dia. Kita sebagai pelakon lama, kita kena kongsi dengan dia. Bila berkongsi idea atau pengalaman, ia akan tampak positif dan dia pun selesa berlakon dengan kita. Saya suka benda yang positif.


Untuk muzikal Moyang Salleh, selain berlakon dan menyanyi, Hairi juga perlu bersilat.


“Begitu juga dengan pengarah, saya selesa bekerja dengan pengarah Hykal Hanifah sebab dia akan tanya pendapat kita. Datuk Tamimi pula bila bekerja, dia suka kami berbincang. Selain itu saya juga selesa dengan pengarah, Murali, Jamal Khan dan Saiful Bahari.

“Mereka ni orang yang tenang di set dan tak suka maki-maki orang di set. Bila kita mengarah dan terlampau nak maki pelakon, suasana akan jadi tegang. Penggambaran yang positif itu yang penting,” katanya yang merupakan tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada setiap hari Jumaat dan bakal muncul dalam teater muzikal Moyang Salleh.

Untuk Muzikal Moyang Salleh, arahan Roslee Mansor yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 26 hingga 31 Ogos 2022, Hairi melakonkan watak Datuk Bendahara.

Moyang Salleh adalah kisah legenda Nismilan dan pelakon yang menjayakan pementasan tersebut perlu bertutur dalam loghat Negeri Sembilan.

Jelas Hairi, dia dipanggil untuk menjayakan watak Datuk Bendahara dan salah satu sebab dia bersedia berlakon teater tersebut kerana karakter itu berasal dari Negeri Johor dan tidak perlu bertutur dalam dialek kelahiran Moyang Salleh.

“Mereka call saya untuk watak Datuk Bendahara. Masa mereka offer saya baca skrip dulu dan rasa okey. Apa yang saya tahu, muzikal Moyang Salleh nak dialek Negeri Sembilan dan bila tengok ditawar watak orang Johor, saya okey la. Saya dengan Khir Rahman yang berlakon sebagai Sultan Johor. Kami menggunakan bahasa standard Johor.


Hairi senang bekerja di bawah arahan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.


“Saya tak ambil ringan tentang karakter yang bakal saya bawa itu kerana saya lihat watak Datuk Bendahara, ni agak antagonis dalam cerita ini. Dialah yang menghasut dan saya tak boleh pandang ringan.

“Saya tak boleh menganggap ini sebagai watak fiksyen sebab saya tak kaji habis lagi mana mereka ambil watak ini dan kenapa Johor boleh terlibat. Saya hanya tengok skrip dan macam mana Johor boleh ada hubungan dengan Negeri Sembilan ni. 

“Watak Datuk Bendahara ini mungkin difiksyenkan sikit kot, pada pandangan saya. Sebab ia agak antagonis dalam cerita ini dan menghasut semua, dia jadi batu api, mungkin nak bagi mencantikkan cerita itu saja,” jelasnya.

Memandangkan Datuk Bendahara dalam usia 50-60 tahun, sedangkan Hairi muda daripada itu, dia mengambil langkah untuk menjadikakan filem Melayu sebagai rujukan.


Hairi berkebolehan dalam pelbagai cabang seni.


“Memandangkan watak Datuk Bendahara dalam range 50-60 tahun, saya memerlukan kepakaran makeup artis dan satu lagi saya kena bentuk postur tubuh badan saya dan penyampaian dialog saya. Itu saya kena buat latihan.

“Tak cukup itu saja, kalau makeup tak boleh nak buat nampak tua tak sampai juga kerana makeup amat penting sebab ia bantu lakonan kita. Kalau kita muda nak lakonkan watak tua, makeup memang penting.

“Sebagai rujukan untuk watak Datuk Bendahara, saya tengok filem Melayu dan tengok dialog. Saya bersedia terima kritikan sebab saya rasa kalau saya dapat bermain dialog itu dengan betul dan lakonan kita betul, insya-Allah. Kalau watak Datuk Bendahara ini baik dan smooth, saya tak akan ambil sebab susah nak lakonkan,” katanya terus terang.  

Sebagai pensyarah bangsawan dan mengajar silat di Aswara, Hairi berpendapat, orang yang tak boleh nyanyi dengan suara sedap pun boleh sertai teater muzikal.



“Bagi saya muzikal ini sebenarnya, nyanyian tak perlu sedap macam penyanyi, asalkan perkataan yang jelas bila menyanyi. Ia bukan bila kita berlakon muzikal kena menyanyi sedap. Walaupun benda itu pitch tinggi, kita boleh menyanyikan dalam menyebut tapi yang penting tempo betul.

“Semua orang ingat kalau muzikal ni kena nyanyi sedap, sebenarnya tak perlu sangat. Dalam teater muzikal yang penting adalah nyanyian berkarakter bukan nyanyian sedap. 

“Bagi saya, siapa yang tak boleh menyanyi pun dia boleh menyanyi kalau dalam muzikal. Dia akan belajar cara lenggok dan gerak berkarakter dalam dia punya nyanyian, itu bezanya,” katanya. - KitaReporters


8
8
0
7
0

Copy Link: