ERTI TIADA BAZAR RAMADAN, TARAWIH DI RUMAH?
Published byPADA Jumaat, 3 April 2020 bermakna sudah tiga minggu solat Jumaat tidak didirikan di semua masjid dan surau Jumaat seluruh negara ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan wabak penyakit Koronavirus-2019 atau COVID-19. : KitaReporters
KAIN RENTANG memaklumkan penutupan Surau Alfalah, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan yang kini disambung hingga 14 April 2020.
Rasa rindu pula sudah tiga kali berturut-turut tidak bersama rakan-rakan serta ratusan jemaah lain, termasuk jemaah antarabangsa, yang biasanya memenuhi Surau Alfalah, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur setiap kali solat Jumaat, sehingga melimpah ke luar ruang solat surau.
Kerinduan ini lebih terasa kerana ketika tempoh PKP atau ‘lockdown’ yang bermula pada 18 Mac 2020 dan dijadual berakhir 14 April 2020, surau atau masjid menjadi kawasan larangan.
Tidak dapat lagi berjumpa kawan-kawan jemaah.
KAIN rentang memaklumkan penutupan Masjid Ibn Abbas, Taman Ibu Kota, pada fasa pertama yang kini disambung hingga 14 April 2020.
Tempat-tempat yang biasa menjadi "port" kawan-kawan berkumpul seperti warung atau gerai serta restoran pun ditutup, kecuali untuk beli bungkus.
Justeru untuk berhubung dengan kawan-kawan hanyalah melalui maya.
Selain Surau Alfalah Danau Kota, situasi sama dihadapi masjid dan surau berhampiran.
Misalnya Masjid Ibn Abbas di Taman Ibu Kota, Masjid Kem Wardieburn di Jalan Genting Klang, dan Surau Attaqwa, Setapak Garden (surau Jumaat).
Namun inilah ujian pada kala darurat yang perlu dilalui ketika negara berdepan dengan virus maut COVID-19.
Dalam kebimbangan penularan dan penyebaran penyakit yang boleh memudaratkan manusia, pergerakan dihadkan dan perhimpunan ramai ditegah, termasuk solat Jumaat dan berjemaah.
SURAU ALFALAH, Danau Kota, Setapak, yang kini menjadi 'kawasan larangan'.
MASJID IBN ABBAS, Taman Ibu Kota yang kini ditutup untuk jemaah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
Sekalipun tarikh 14 April 2020 dijadualkan tamatnya PKP fasa kedua, ia bukan pasti. Semua bergantung kepada situasi COVID-19.
Jika ditakdirkan gejala COVID-19 belum reda, ada kemungkinan ia akan disambung.
Ditakdirkan ini berlaku, bersedialah untuk ujian seterusnya.
Awal Ramadan dijangka jatuh pada 23 April. Namun jika ditakdirkan PKP disambung, bersedialah menerima hakikat tidak ada bazar Ramadan tahun ini.
Begitu juga, terimalah hakikat tidak ada solat tarawih di masjid atau surau seperti kebiasannya pada tahun-tahun lepas.
Benar, bazar Ramadan dan solat tarawih di surau dan masjid adalah amalan kebiasaan pada bulan Ramadan. Tetapi suasana tahun ini tidak sama dengan tahun-tahun sebelumnya. Negara dan rakyat sedang menghadapi ujian getir akibat COVID-19.
Oleh itu rakyat beragama Islam khususnya, perlulah sedia mengubah rutin tahun ini.
Tiada lagi kesibukan berhimpit-himpit membeli belah pelbagai juadah berbuka puasa di pasar Ramadan, yang langsung tidak memperdulikan penjarakan sosial atau 'social distancing'.
Manakala solat tarawih pula dikerjakan di rumah, baik bersendirian atau bersama keluarga.
SUASANA solat tarawih di Masjid Istiqlal, Jakarta, pada bulan Ramadan tahun lalu. - Kredit foto: Warga Kota
SUASANA sesak pada satu pasar Ramadan Selangor. Orang ramai berhimpit-himpit tanpa penjarakan sosial. Justeru memang tidak sesuai diadakan bazar Ramadan tahun ini jika wabak COVID-19 masih mengganas. - Kredit foto: Isma web.
Sehingga ini negeri Terengganu, Selangor, Melaka, Kedah dan Sarawak sudah mengesahkan tidak ada pasar Ramadan tahun ini.
Kedah malah membatalkan jualan untuk persiapan hari raya.
Sementara Pulau Pinang pula membekukan permohonan tapak pasar Ramadan sehingga mengetahui status PKP disambung atau tidak.
Justeru janganlah bersedih jika tidak ada bazar Ramadan atau terpaksa bersolat tarawih di rumah sahaja. Fikirkan juga hikmah di sebaliknya.
Daripada bersesak-sesak di bazar Ramadan dan memilih makanan secara rambang menurut hati gara-gara ‘lapar mata’, ada baiknya masak sahaja di rumah yang lebih menjimatkan dan memenuhi cita rasa.
Seperti juga kini bersolat di rumah memberikan peluang lebih banyak masa bersama keluarga dan solat berjemaah bersama mereka, begitulah juga jika bersolat tarawih di rumah.
Surau dan masjid akan sunyi. Tetapi hikmahnya dengan bertarawih di rumah ikatan keluarga menjadi lebih kukuh sambil mengimarahkan rumah sendiri.
SUASANA pada salah satu pasar Ramadan di ibu negara. - Kredit foto: Vision KL.
Yang penting pada peringkat ini, sebagai rakyat yang baik, kita perlu mematuhi PKP dan bersedia menghadapi kemungkinan ia mungkin disambung.
Sikap kita ini juga sebenarnya yang boleh membantu menentukan jangka tempoh pelaksanaan PKP.
Usahlah gusar sangat jika tiada bazar Ramadan dan bertarawih di rumah tahun ini.
Apa
yang lebih penting ialah kita berusaha gigih bersama-sama agar wabak COVID-19
dapat dibanteras dan segera berlalu pergi. - KitaReporters.com