Nak dapat RM150! 2j belia berpeluang terima melalui eBelia! Menteri saran belia tuntut sekarang!
Published byPENGASAS dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba (syarikat e-dagang antara paling berjaya di dunia) Jack Ma pernah berkata: "Bantulah anak muda. Bantu orang kecil. Mereka akan menjadi besar. Anak muda akan memiliki benih yang anda semai dalam fikiran mereka. Dan apabila dewasa, mereka akan mengubah dunia."
Ini menggambarkan pentingnya golongan belia diberi perhatian serius terutama dalam sektor kebajikan mereka, jika sesebuah tamadun itu ingin berjaya di masa hadapan.
Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) tidak pernah sunyi dan sepi daripada memberi pelbagai inisiatif dan idea-idea baharu dalam perkembangan golongan belia negara kita.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan belia
Terkini, kerajaan semasa telah melancarkan Program eBelia yang merupakan salah satu inisiatif (diumumkan di bawah Belanjawan 2021) bertujuan meringankan beban kewangan selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia serta pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi tempatan berdaftar.
Program ini dijangka memanfaatkan sekitar dua juta rakyat Malaysia, dengan jumlah peruntukan RM300 juta.
Melalui inisiatif terbaharu ini, setiap pemohon (golongan belia) layak dan boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai mengikut tempoh yang ditetapkan.
Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun 2021 hingga 22 Julai 2021 dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021 depan.
Inisiatif ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun semasa 2021 (lahir pada tahun 2001 hingga 2003), atau pelajar sepenuh masa pada peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia yang berdaftar dengan kementerian terlibat.
Program e-Belia yang ditunggu-tunggu sejak awal tahun ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya pada 1 Jun 2021.
Sambutan yang menggalakkan daripada golongan sasaran tersebut jelas boleh diukur melalui Program e-Belia 'trending' dalam Twitter pada hari yang sama.
Golongan ini layak menerima bantuan kredit e-Wallet (e-Dompet) sebanyak RM150 itu melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).
Dalam perkembangan berbeza, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru para belia untuk mengambil peluang keemasan ini untuk mengambil kesempatan ini sebaik mungkin.
Reezal Merican dalam sebuah video ucapannya turut mengucapkan terima kasih buat Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana sentiasa cakna dengan keluh kesah golongan belia dan mahasiswa dalam negara ini.
Semoga Program eBelia ini dapat memanfaatkan dua juta rakyat Malaysia yang mengambil bahagian, serta merancakkan aktiviti ekonomi rakan-rakan strategik yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini. - KitaReporters