Cuma tempat ketiga sepak takraw pantai Asia! Libasan kita disekat Vietnam! Trio tewas saingi Thailand!
Published by
HANYA tempat ketiga acara regu yang mampu dihadiahkan kepada Malaysia oleh pasukan negara daripada Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Astaf 2024 di Pantai Emas Qingdao, Shandong, China yang berakhir 23 September 2024.
Satu lagi
acara, trio pula merakamkan kandasnya skuad kendalian Mohd. Hafizie Manap seawal
pusingan pertama lagi yang berformat kalah singkir setelah ditumpaskan Thailand
10-15, 11-15.
Keenam-enam pemainnya merupakan anggota Malaysia B iaitu skuad bawah 21 tahun yang menjalani persediaan yang tidaklah begitu rapi bagi menghadapi kejohanan edisi kedua berkenaan.
SHAHRAIN Zameer Shamsuddin (10) bersedia melakukan rejaman gunting ke kawasan India sambil diawasi seorang lagi perejam Malaysia, Wazir Madi dalam perlawanan Kumpulan B acara regu. - Kredit foto: YMCC
Mereka ialah Akif Ismat Zairi, Hariz Hipni, Wazir Madi, Shahrain Zameer Shamsuddin, Aqil Fawwaz Nasharuddin dan Firdaus Zahari.
Dengan hanya bermodalkan pengalaman sepak takraw biasa dalam Liga Sepak Takraw (STL) dan Sukan Malaysia (Sukma), mana mungkin dapat menyaingi Thailand yang lebih banyak pendedahan pertandingan sepak takraw pantai tempatannya.
GANDINGAN Bawah 21 Tahun Malaysia menayangkan pingat gangsa sebagai pemenang tempat ketiga acara regu.
Acara trio mulanya
dijadualkan dalam format liga sepusingan berkumpulan dan kalah singkir tetapi
gara-gara kebimbangan terhadap keadaan cuaca berangin kencang atau berisiko
taufan yang mampu mengancam nyawa, terpaksa dirombak dan dikurangkan jumlah
perlawanannya.
Malang sekali
undian semula sejajar perubahan format acara ini yang dijalankan pada 21
September 2024 menemukan dua musuh tradisi ini lebih awal dan bukannya final
idaman masing-masing.
Namun yang
paling menghampakan ialah kecundangnya Malaysia kepada Vietnam 15-11, 8-15,
11-15 dalam separuh akhir regu, sekali gus melenyapkan impian gandingan negara untuk
menyaingi Thailand pada final yang kemudiannya muncul juara.
Malah dalam laluan menjuarai Kumpulan B regu, tim Hafizie ini dipaksa berentap sehingga tiga set ketika berdepan India dan China biarpun menang (15-9, 13-15, 15-12) dan (15-10, 11-15 15-11) selain mengalahkan Iraq 15-3, 15-13.
WAZIR Madi (kanan) melakukan libasan gulung yang berjaya membolosi kawasan India. - Kredit foto: YMCC
Sangat sukar menemukan kesilapan atau kelemahan Si Gajah Putih yang dikendalikan bekas perejam kebangsaannya, Vorapong Jodpimai malah mereka tidak keciciran walau seset pun kepada mana-mana lawan sama ada regu atau trio.
Dua pemain Thailand yang menyerlah dan jika ada anugerah Pemain Terbaik Kejohanan Sepak Takraw Pantasi Asia Astaf 2024 mungkin menjadi milik antara Theeranan Seesawang dan kapten, Wuttinun Kamsanor.
Kategori wanita turut menyaksikan betapa dominannya Thailand yang menjuarai regu secara liga sepusingan sesudah mengalahkan Vietnam, China, Korea Selatan dan India.
MOHD. Hafizie Manap (dua dari kanan) dengan barisan pemain Malaysia (dari kiri), Firdaus Zahari, Aqil Fawwaz Nasharuddin, Shahrain Zameer Shamsuddin, Wazir Madi, Akif Ismat Zairi, Hariz Hipni dan pengurus, Syahrain Ismail. - Kredit foto: YMCC
Ulas Hafizie
selaku jurulatih pasukan, “kami masih menyamai siri pencapaian sebelum ini, edisi
2019 juga di Qingdao dan Sukan Pantai Asia (ABG) di Bali 2008 dan Da Nang 2016.
“Kami ada sasaran
hendak memecahkan dan mencipta sejarah baharu dengan ke final tetapi tidak
kesampaian,” kata bekas apit kiri skuad pemenang pingat perak Sukan Asia
Guangzhou 2010 ini.
Akuinya,
pasukan negara tidak mempunyai gelanggang sepak takraw pantai khusus untuk
berlatih sebelum ke Qingdao.
“Memandangkan
sudah ada dalam kalendar pertandingan, persiapan pasukan dan venue latihan
perlu diambil berat.
“Gelanggang seumpamanya setahu saya hanya ada di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan MBSA (Majlis Bandar Raya Shah Alam),” katanya yang berpengalaman bermain acara ini dalam Kejohanan Asia Tenggara 2007 di Bengkalis, Riau, Indonesia.
PASUKAN Malaysia (jersi kuning) bergambar dengan pasukan Thailand sebelum perlawanan pusingan pertama acara trio, 22 September 2024. - Kredit foto: MHM
Malaysia katanya, perlu serius menjalankan persediaan bagi acara pantai kerana turut berpotensi mengundang kilauan podium yang lebih baik, naib juara mahupun juara.
“Menentang Thailand, kami mampu menyaingi, ada ketikanya mendahului satu dua mata set pertama dan kedua. Lawan pun ada buat kesilapan dan tampak bimbang dengan kami.
"Corak permainan mereka bertaktikal dengan sasarkan pemain kita yang sama dan sukar mengambil servisnya.
“Kami bermain terlalu hati-hati dan ada ketikanya lebih sebagai perjudian biarpun mereka beri tentangan habis-habisan,” katanya. - KitaReporters
THEERANAN Seesawang (6) dan kapten, Wuttinun Kamsanor (2) antara tonggak kejayaan Thailand membolot gelaran regu dan trio Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia 2024. - Kredit foto: YMCC