Sebahagian daripada penerima Anugerah bergambar kenang-kenangan. - Foto: FAS.


Sempena Minggu Fesyen Selangor 2024 (MFS) dan Pertandingan Bakat “ The Next Look’ yang berlangsung di Subang Parade bermula pada hari Sabtu 19 Oktober lalu, menyaksikan prapelancarannya dimulakan dengan pemberian 28 anugerah dalam senarai Anugerah ‘Malaysia Top 100 Talent 2024’.

Ia disampaikan kepada individu cemerlang dalam industri fesyen dan kecantikan oleh pelakon dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Fatimah Abu Bakar yang mewakili Dato’ Kamil Othman, Pengerusi Finas bersama Pengasas/Pengerusi Penganjur MFS, Dr. Jason Hee.


Fatimah Abu Bakar menerima cenderahati bagi pihak Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib daripada Dr. Jason Hee.


Gambar kiri: Crystal Lau (tengah)  dan kanan, Gina Rochelle menerima anugerah masing-masing dari Fatimah Abu Bakar dan Dr. Jason.


Turut hadir Timbalan Presiden World Travel Organization Malasia Chapter, Datuk Rashidi Hasbullah.

Antara 28 anugerah yang diberikan meliputi pelbagai kategori seperti ‘Artiste Beauty Queen of the Year’, “Photographer of the Year’, ‘Promising Cultural Fashion Designer of the Year’, ‘Cinematographer of the Year’, ‘Model Manager of the Year’, ‘Jewellery Entrepreneur of the Year’, ‘Heritage Guardian of the Year’ dan ‘Gems Marketeer of the Year’ dan lain-lain.


Senarai 28 penerima anugerah awal 'Malaysia Top 100 Talent Award 2024.



“Acara ini benar-benar membuktikan kepelbagaian, kreativiti dan semangat kerjasama di Malaysia, dan saya sangat berbesar hati menjadi sebahagian daripada peristiwa yang luar biasa ini,” ujar Dr. Jason Hee selaku Pengasas dan Pengerusi Penganjur majlis ketika ditemui.

Beliau optimis dan yakin dengan adanya Minggu Fesyen Selangor dan pertandingan bakat ‘The Next Look’ saban tahun, Malaysia akan menjadi hab melahirkan bakat kreatif dalam industri fesyen.

“Mari kita terus memberi inspirasi, mencipta inovasi, dan mengangkat fesyen serta bakat di Malaysia,” tambah Dr. Jason sambil mengucapkan penghargaannya dengan sokongan daripada beberapa organisasi utama termasuk Subang Parade sebagai penaja lokasi, Tourism Malaysia, Finas, Persatuan Fesyen, Peragaan dan Peraduan Malaysia (MFMPA), Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA), dan Persatuan Pereka Fesyen Rasmi Malaysia (MODA).

“Ia bertujuan untuk memberi platform kepada pereka fesyen menonjolkan hasil karya mereka serta membuka peluang kepada model-model baharu untuk mendapatkan pendedahan dalam industri fesyen yang lebih luas,” jelas Dr. Jason.



Terdahulu majlis diserikan dengan persembahan gesekan biola oleh ‘Pemain Biola Kanak-kanak Tahun 2023', Miika Adam yang berusia 6 tahun. 

Minggu Fesyen Selangor 2024 yang  berlangsung selama dua hari berturut-turut di Subang Parade bermula 19 Oktober 2024. menampilkan kira-kira 100 model dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang, termasuk 40 kanak-kanak, 20 remaja, dan 40 dewasa, yang berusia antara 4 hingga 70 tahun.

Pertunjukan mengetengahkan koleksi pereka fesyen terkenal, termasuk Faramas, Muddy, Maswira, Violla Wedding, Tommy Cha, MMK Couture, LYS LAYAR Style, dan Angeline Teoh Couture, serta dari beberapa universiti seperti UCSI, INTI International University Subang, dan Unitar International University, sekali gus memberi platform kepada pelajar fesyen mendapatkan pengalaman dan pendedahan industri malah berpeluang bergaya di pentas peragaan antarabangsa.



Seterusnya, pertandingan Bakat “The Next Look”, yang berlangsung pada hari Ahad, 20 Oktober 2024 bertujuan memberi peluang kepada para peserta mempamerkan bakat mereka agar terpilih untuk acara fesyen antarabangsa. 

Bertemakan “Everyone Can Shine”, pertandingan tersebut menekankan kepelbagaian dalam pakaian moden dan tradisional, dengan fokus kepada pendidikan fesyen.

Ia menerima lebih 100 penyertaan, dengan 20 peserta disenarai pendek untuk bertanding. Peserta terdiri daripada tiga kategori umur: kanak-kanak (5-11 tahun), remaja (11-17 tahun), dan dewasa (18 tahun ke atas). 

Tiga peserta terbaik dari setiap kategori akan mara ke pusingan akhir, dengan hadiah yang ditawarkan termasuk biasiswa pendidikan peragaan dan fesyen, kelas catwalk, pengucapan awam, serta peluang menyertai Bangkok Kids International Fashion Week 2024 pada bulan November 2024 kelak. 



Pendek kata, dengan gabungan rekaan fesyen terkini, bakat baharu serta profesional, Minggu Fesyen Selangor 2024 dijangka menjadi platform utama yang mengangkat kepelbagaian dan kreativiti dalam industri fesyen tempatan. - KitaReporters

15
14
0
10
0

Copy Link: