Kami Pasukan Malaysia Muhibah! Juara bola Sukan SEA! 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka! - Teong Kim
Published byLIM Teong Kim (depan, kanan) ketika sebagai ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun Malaysia pada Kejohanan B-16 AFC 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM
KITAREPORTERS (KR) telah mewawancara Datuk Lim Teong Kim (LTH) yang kini menetap di Munich, Jerman secara dalam talian untuk mengimbas balik momen indah, patriotik dan bersejarah dalam karier bola sepaknya sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2024 iaitu ulang tahun ke-67 kemerdekaan negara kita tercinta, Malaysia.
Dialah antara tonggak kejayaan pasukan kebangsaan
kendalian Trevor Hartley mengalungi negara, pingat emas bola sepak Sukan SEA
Kuala Lumpur 1989 atau kerap digelar ‘ibu segala emas’ temasya ke-15 itu dan pelengkap
yang ke-67 milik tuan rumah.
Yang lebih manisnya pencapaian itu dilakukan sambil bermandi hujan tanggal 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur - gelanggang bersejarah yang pernah merakamkan laungan “Merdeka!” oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra.
KR: Datuk bermain di posisi mana ketika perlawanan akhir yang disaksikan 45,000 hadirin itu? LTH: Sebagai perantara di sebelah kiri. Saya pun memang seorang kidal.
KR: Sepakan kaki kanan Datuk ke kotak penalti Singapura memberikan gol awal (jaringan sendiri Borhan Abu Samah) pada minit kelapan, gambarkan perasaan Datuk?
LTH: Satu gol awal yang menjadikan kami lebih berkeazaman dan berkeyakinan untuk memenangi perlawanan itu.
LIM Teong Kim (depan, dua dari kanan) dan Trevor Hartley (berdiri, kanan) dalam skuad juara Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.
KR: Apa bezanya perasaan dengan gol kedua Malaysia jaringan Datuk menerusi rembatan lambung kaki kiri pada minit ke-59?
LTH: Satu rembatan ke gol yang dilakukan dengan baik dan saya gembira menjaringkannya malam itu dan memenangi pingat emas Sukan SEA 1989.
KR: Gol ketiga dan penamat dengan tandukan Datuk Dollah Salleh seminit kemudian, ulasan Datuk?
LTH: Gol Dollah merupakan yang terbaik dan seperti penambah perisa kejayaan pasukan. Cantik tandukannya (daripada sepakan bebas bek kanan, Razip Ismail).
KR: Apabila Fandi Ahmad menyamakan 1-1 buat Singapura pada minit ke-39 dengan rembatan awangan daripada lontaran bola ke dalam oleh T. Pathmanathan, adakah Datuk melihat pasukan kita mulai patah semangat atau jadi lebih garang?
LTH: Satu gol yang cantik oleh Fandi tetapi kami
tidak kecewa atau patah semangat kerana kami ada 50 minit untuk dimainkan lagi.
Kami hanya terus berjuang dan meyakini diri kami.
KR: Malaysia menentang Singapura sentiasa jadi satu perlawanan antara jiran, adakah itu yang lebih getir diharungi jika dibandingkan menentang Indonesia (menang 2-0 jaringan Datuk, Kumpulan B) atau Thailand (menang 1-0, separuh akhir)?
LTH: Ya, benar apabila menentang Singapura sentiasa amat getir dan disebabkan ‘perseteruan’ jiran itu. Namun saya anggapnya bagus kerana berjaya mengerah kemampuan terbaik saya. Menentang Thailand pun bukan tugas yang mudah malah sentiasa getir.
LIM Teong Kim (dua dari kiri) meraikan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA pada 31 Ogos 1989 di Stadium Merdeka.
KR: Perasaan Datuk apabila pasukan negara mencapai pingat emas akhir (ke-67) atau ‘ibu segala emas’ temasya serantau dwitahunan itu, di tanah air dan monumen bersejarah – Stadium Merdeka dan pada Hari Kebangsaan, 31 Ogos 1989?
LTH: Wunderbar (Indah, bahasa Jerman). Kami telah
mencapai sasaran kami.
KR: Apa yang Hartley cakapkan dalam bilik persalinan ketika rehat separuh masa?
LTH: Trevor orang yang terbaik yang pasukan kita peroleh. Dia menjadikan kami ‘Pasukan’ yang bekerja keras, bermain gigih dan gembira dengan bola sepak.
Datuk Ahmad Basri Akil (pengurus pasukan kebangsaan) juga ialah tenaga di balik tabir. Dia seorang yang amat penting antara pasukan dan pengurusan. Dia tidak mencampuri tugas Trevor.
Tidak dilupakan ialah Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (yang kemudiannya menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia atau FAM). Baginda amat menyokong para pemain dan Trevor. Kami amat menyayangi baginda.
KR: Ulasan keseluruhan Datuk mengenai ‘Kelas 1989’ ini, kesatuan pemain yang berbilang bangsa dan semangat sepasukan mereka?
LTH: Inilah sebuah "Pasukan Malaysia Muhibah’.
Kesebelasan utama final: Rashid Hasan, Razip Ismail, Lee Kin Hong, Serbegeth Singh (Chow Siew Yai), Salim Mahmud Muhaidin, Azizol Abu Haniffah, Ahmad Yusoff, Lim Teong Kim, P. Ravindran (A. Anbalagan), Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan.
Simpanan: Yap Kam Choon, Azmi Mahmud, M. Ravindran, Naina Ismail, Mohd. Zan Mat Aris, K. Ravichandran, See Kim Seng, Mubin Mokhtar, Radhi Mat Din, Subadron Aziz.
LIM Teong Kim (berdiri, kiri) dengan kesebelasan utama dan barisan simpanan Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.
KR: Bayangkan jika Datuk mempunyai sebuah mesin merentas masa yang mampu mengubah sejarah mana-mana perlawanan pasukan Malaysia yang Datuk wakili (selain Sukan SEA 1989 itu), apa yang ingin Datuk lakukan?
LTH: Memenangi perlawanan Kelayakan Piala Dunia (Kumpulan 3A Zon Asia Timur pada 19 Mei 1985) di Stadium Olimpik Jamsil, Seoul di depan 90,000 hadirin (Malaysia dikalahkan Korea Selatan 2-0).
LIM Teong Kim (depan, dua dari kiri) turut pernah bergandingan dengan 'Tauke' Soh Chin Aun (belakang, dua dari kanan) dan 'Lipas Kudung' Hassan Sani (belakang, kanan) dalam Kelayakan Olimpik 1984.
BARISAN Malaysia yang dianggotai Lim Teong Kim (belakang, tiga dari kiri) namun dihampakan oleh Korea Selatan 2-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 1985 di Seoul.