Seramai 30 penggiat seni di bawah Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang mengalami keuzuran menerima sumbangan RM5,000 setiap seorang daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia atau PEKEMA bernilai keseluruhannya berjumlah RM150,000.

Penyerahan sumbangan tersebut dilangsungkan pada Majlis Sumbangsih PEKEMA Prihatin anjuran Yayasan PEKEMA dengan kerjasama KARYAWAN, bertempat di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 23 November 2024.



Antara penerima bantuan artis-artis yang uzur ialah Datuk Sarimah Ahmad, Dato Jeffrydin, Dato Andre Goh, M. Jamil, Sheqal, Zaiton Sameon, Norlia Ghani, Ali XPDC, Isma Aliff, Ebby Yus, Sathiya, Mak Wan, Murali Abdullah dan Allahyarham Datuk S. Atan.

Senarai penerima lain terdiri daripada wartawan Nas Ahmad, Shuib Freedom, Mariam Ahmad, Shima, Sazali P. Ramlee, Shasha Rohaizad, Alfred Ho, Roy, Zul Mahat, Yus Barat, Sofia Ibrahim, Kieran, Harun Hashim, Ruslan Salleh,  Zaleha Hamid dan Dr. Sam Rasputin.



"Kami berharap dengan sumbangan ini, para seniman yang telah berkhidmat untuk negara dapat merasai penghargaan yang sewajarnya. 

"Sumbangan ini bukan hanya meringankan beban kewangan, tetapi juga memberi semangat untuk mereka terus dihargai sepanjang hayat mereka," ujar Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez pada majlis sumbangan tersebut yang disampaikan oleh Presideni PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin.



Turut hadir Penasihat PEKEMA merangkap Pengerusi Yayasan PEKEMA, Dato Zainuddin Abd Rahman; Timbalan Presiden PEKEMA, Dato Wan Sazrudeen Wan Zaid; dan Dato Khadijah Ibrahim selaku. Pengerusi KARYAWAN.

"Artis-artis veteran dan para penggiat ini adalah warisan seni yang telah menghiburkan kita semua melalui karya-karya yang tidak ternilai harganya. 

"Kini, setelah mereka memberikan segalanya, sudah tiba masanya bagi kita untuk memberikan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan. 

"Yayasan PEKEMA telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi dalam menjaga kebajikan golongan ini dan kami sangat berterima kasih atas kemurahan hati mereka,” tambah Freddie Fernandez.



Menurut beliau, penerima sumbangan terlibat adalah individu yang telah mencurahkan bakti dan tenaga sepanjang hayat mereka, menghiburkan rakyat Malaysia dengan lakonan, nyanyian, dan karya seni yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat. 

“Namun, dengan faktor usia dan kesihatan yang semakin merosot, mereka kini berdepan dengan cabaran yang memerlukan sokongan dari kita semua,” jelas Freddie.

Rata-rata penerima sumbangan melahirkan penghargaan atas kemurahan dan kemuliaan hati Yayasan PEKEMA dalam memberikan sumbangan kewangan bagi meringankan bebanan mereka yang masih memerlukan rawatan.


ZaIton Sameon dan Mak Jah antara penerima sumbangan PEKEMA.


Antaranya seperti penyanyi popular 90-an, Shahrin Salehuddin, 59, atau lebih popular dengan nama komersialnya. Sheqal yang hadir berkerusi roda, kini menghadapi masalah buah pinggang dan pernah diserang strok sebanyak 4 kali.

“Saya terharu dan beterima kasih atas sumbangan ini. Jika dahulu kita tolong orang, sekarang orang pula bantu kita walaupun sudah boleh dianggap artis  ‘expired’ namun masih ada yang prihatin,” ulas Sheqal kepada media.

Tambah Sheqal, beliau mengalami kesakitan sejak lima tahun lalu namun tidak mampu bekerja sejak diserang angin ahmar pada tahun lalu (2023).

“Sebelum ini percakapan saya tidak jelas. Sekarang saja boleh bercakap selepas mendapat rawatan di Muar, Johor. Karyawan yang menghantar saya mendapatkan rawatan di sana,” cerita Sheqal sebak.

Sheqal kini menumpukan hasil seninya dalam bentuk buku dan lukisan yang ditulis selepas solat tahajud dan dhuha kerana pada waktu itulah caranya untuk melupakan seketika sakit yang dialami, katanya. - KitaReporters


Sheqal sebak menerima sumbangan daripada PEKEMA

15
13
0
10
0

Copy Link: