Jazro Robotic Academy (Jazro) mengumumkan kejayaan RoboBlitz 2023, sebuah pertandingan bola sepak robotik yang diadakan dengan kerjasama Pearl Point Shopping Mall di Kuala Lumpur pada 24 hingga 26 November 2023 lalu. 

Acara ini telah menarik seramai 1,057 peserta dari sekolah rendah dan menengah dari Putrajaya, Selangor, Terengganu, Johor, dan negeri-negeri lain.

Acara tiga hari itu direka bukan sahaja untuk menghiburkan tetapi juga untuk mewujudkan kesedaran mengenai STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dalam kalangan kanak-kanak sekolah, ibu bapa, dan guru, dan ia dilaksanakan dalam suasana yang bersemangat dan menyeronokkan. 

Majlis penutup RoboBlitz 2023 telah diadakan petang pada 26 November 2023 lalu dan telah disempurnakan oleh Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Seputeh. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Norfadzilah Rosdi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan wakil dari Pearl Point Shopping Mall.



Dengan penyertaan seramai 1,057 peserta, RoboBlitz 2023 secara rasminya telah disenaraikan dalam Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai “Most Participants in a RoboSoccer Competition” atau peserta paling ramai dalam pertandingan bola sepak robotik atau robosoccer.

Ir. Dzulfarqeish Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Jazro sangat teruja dengan pencapaian acara itu dan berkata, “RoboBlitz 2023 melebihi jangkaan kami, membawa kegembiraan kepada peserta, ibu bapa, dan guru. Kerjasama kami dengan Pearl Point Shopping Mall adalah luar biasa.”

Darrell Choy, Pengurus Besar Pearl Point Shopping Mall dan Pearl Shopping Gallery pula menyahut sentimen itu dan berkata, “Kami seronok dapat menganjurkan RoboBlitz 2023 bersama Jazro. Kami memang teruja kerana dapat menyumbang kepada pembangunan bakat muda dalam bidang STEM.”


SM Al-Amin dari Gombak muncul juara RoboBlitz 2023 bago kategori sekolah menengah. 


Real International & Private School (Team 1) dari Shah Alam muncul juara RoboBlitz 2023 bagi kategori sekolah rendah.


Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM8,800 tajaan Pusat Beli-belah Pearl Point.

Pertandingan bola sepak robotik ini mencabar peserta untuk menjaringkan sebanyak mungkin gol dalam masa yang ditetapkan, mewujudkan pengalaman yang menggembirakan bagi semua yang terlibat.

Selain daripada pertandingan bola sepak robotik RoboBlitz 2023, acara tiga hari itu juga menampilkan aktiviti menyeronokkan lain, termasuk Robomission, Inovasi Pendidikan, dan Permainan Keluarga. Selain itu, satu bengkel pengekodan robotik telah diadakan.

“Sambutan masyarakat amat menggalakkan, dan Jazro berharap dapat menganjurkan lebih banyak pertandingan serupa pada masa akan datang untuk melibatkan jumlah komuniti yang lebih ramai dalam aktiviti STEM,” kata Ir. Dzulfarqeish. - KitaReporters/Kenyataan Media


5
13
0
12
0

Copy Link: