KELUARGA besar bola sepak Lim ketika reunion CNY 2024 (duduk, dari kiri), Lim Chuan Chin, Lim Seng Koon, Lim Eng Swee, Lim Kim Han, Lim Kok Cheng dan Lim Hong Neo manakala berdiri, dari kiri - Lim Teong Kim, Mary Lim, Lim Beng Yau, Lim Hong Guan dan Lim Kim Chon. - Kredit foto: LHG


SETIAP kali tibanya Tahun Baharu Cina (CNY), tradisi reunion atau perjumpaan semula pasti menjadi acara yang paling ditunggu-tunggu oleh 'Keluarga Besar Bola Sepak Negara', Lim.

Lim Seng Koon, Lim Kim Chon, Lim Chuan Chin, Datuk Lim Teong Kim dan Lim Hong Guan serta saudara wanita, Mary Lim (bekas pemain hoki negara) akan kembali berhimpun untuk Makan Besar dan menikmati Yee Sang pada malam CNY.

Kata Hong Guan, Lou Sang ialah melambung Yee Sang, hidangan yang terdiri daripada ikan dan beberapa bahan lain – tindakan simbolik untuk membawa kemakmuran, tuah dan kebaikan dalam segala-galanya.

Seperti mana Keluarga Sidek dengan Misbun, Razif, Jalani, Rashid dan Rahman dalam arena badminton, Lim Bersaudara turut menabur jasa dan keringat mereka terhadap sukan Malaysia yang bukan kepalang malah tidak ternilai harganya.

Kalaulah ada anugerah Buku Rekod Malaysia (MBR), Keluarga Lim memang yang paling layak untuk menerima penghormatan dan pengiktirafan sebagai ‘Keluarga Jagoan Sukan Terbesar Malaysia’.


JAGOAN padang era 80-an kelahiran Melaka (dari kiri), Lim Chuan Chin, Lim Kim Chon, Lim Seng Koon dan Lim Teong Kim. 


Seng Koon merupakan bekas kapten pasukan bola sepak Angkatan Tentera Malaysia, manakala Kim Chon juga pernah menyarung lilit lengan kiri bersama tim Wilayah Persekutuan.

Selain menganggotai Kumpulan Pengkaji Teknikal Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Kim Chon pernah bergelar Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Ketua Pembangunan Bola Sepak Remaja Kebangsaan.

Kim Chon juga sempat melatih skuad Bawah 16 Tahun Malaysia dan menyertai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) sebelum jawatan Pengarah Teknikalnya disandang Teong Kim, pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan bekas pemain Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan serta Kedah.


LIM Teong Kim (kiri) meraikan kejayaan mengalungi Malaysia pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 bersama-sama rakan sepasukan, Subadron Aziz, Rashid Hasan, Ahmad Yusoff dan Azizol Abu Haniffah. 


Teong Kim sekian lama berkelana ke Jerman termasuk mencuba nasib sebagai pemain profesional kelab Hertha Berlin dan Grazer AK antara 1987 hingga 1990 sebelum menuntut ilmu kejurulatihan bola sepak Jerman dan memiliki lesen jurulatih pakar dari Akademi Hennes Weisweller, Cologne.

Perantara lasak ini juga merupakan bekas penolong jurulatih skuad Bawah 19 Tahun (B-19) gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich dari 2001 hingga 2013 selain selaku Pengarah Teknikal Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).

Chuan Chin dan mendiang Datuk R. Arumugam saling berganti menjaga gawang Selangor dalam saingan Piala Malaysia era 80-an mahupun skuad negara yang antara pencapaian hebatnya ialah muncul naib juara Pestabola Merdeka 1980 selepas Malaysia ditewaskan Maghribi 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Chuan Chin juga sempat berhijrah ke Pahang sebelum menyandang jawatan Instruktor Penjaga Gol FAM dan jurulatih penjaga gol negara selain pernah menyertai barisan kejurulatihan Pulau Pinang yang beraksi dalam Liga Super.


LIM Chuan Chin (depan, dua dari kanan) bersama-sama Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell (depan, tiga dari kiri) mengendalikan kursus FAM pada 10 Oktober 2023. - Kredit foto: FAM


Mary Lim, bekas penyerang hoki wanita negara yang kerap kali dikelirukan dengan yang memiliki nama sama, Mary Lim sehingga penjaga gol itu terpaksa menukar nama kepada Mary Soo iaitu tambahan nama depan suaminya.

Mary juga boleh bermain bola sepak malah dilaporkan pernah berlatih dengan pasukan Piala Razak negeri tetapi terpaksa memilih hoki kerana Sekolah Convent Melaka tempatnya menimba ilmu, tiada pasukan bola sepak.

Menariknya, Dua Mary ini juga membantu Malaysia mengecapi pingat gangsa hoki wanita Sukan Asia New Delhi 1982 – pencapaian yang sehingga kini belum dapat ditandingi malah tanggal 11 Disember 2024, skuad 16 pemain ini dinobatkan sebagai Ahli Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2024.


SKUAD hoki wanita pemenang pingat gangsa Sukan Asia New Delhi 1982 dengan Mary Lim (berdiri, lima dari kanan) dan Mary Soo (depan, dua dari kanan). - Kredit foto: KM


SKUAD pemenang pingat gangsa hoki wanita Sukan Asia New Delhi 1982 yang diiktiraf sebagai Ahli Dewan Terbilang Majlis Olimpik Malaysia 2024 termasuk Mary Lim (berdiri, lima dari kiri) dan Mary Soo (depan, kiri). - Kredit foto: MOM


Tidak dilupakan atau sesekali tertinggal daripada keluarga jagoan ini ialah Hong Guan – bekas penjaga gol Melaka, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Malaysia dari 1976 hingga 1985 sebelum menggantung sarung tangan dan butnya pada 1993.

Dia dilahirkan pada 2 Jun 1959 dan mula beraksi dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) untuk skuad Bawah 15 dan 18 Tahun Melaka dari 1975 hingga 1977 sebelum menyertai skuad Piala Razak negeri, 1977 hingga 1978.

“Mulai 1979, saya berhijrah menyertai Wilayah Persekutuan (kemudiannya Kuala Lumpur) hingga 1983 diikuti menyarung jersi Selangor dari 1984 hingga 1993 sambil mewakili kelab Perwira Habib (Affin) Bank.

“Kap antarabangsa saya dengan pasukan senior negara (Malaysia B) meliputi Piala Raja Thailand 1986 seterusnya Sukan Asia Beijing 1990 selain peringkat Kejohanan Sekolah-sekolah Asia di Agra, 1977 dan Kejohanan Belia Asia di Dhaka, 1978,” jelasnya.


LIM Hong Guan (berdiri, kanan) bersama-sama pasukan Selangor juara trebel 1984-'85. 


LIM Hong Guan (kiri) bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong Kesembilan, Sultan Azlan Shah ketika mewakili negara pada Sukan Asia Beijing 1990. 


Seperti Chuan Chin, Hong Guan juga sering menyaingi Arumugam sebagai penjaga gol Merah Kuning yang berjaya membolot trebel – liga, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih 1984-‘85.

Hong Guan turut mempunyai anak saudara, Damien Lim, 28, yang pernah beraksi sebagai penjaga gol Selangor, PKNS, Kelantan, Selangor United FC, PJ City FC, Negeri Sembilan dan kini, Sabah FC.

Anak Seng Koon ini juga tersenarai dalam Harimau Malaya biarpun tidak diturunkan ketika memenangi perlawanan antarabangsa tahap 1 dengan Turkmenistan 1-0 di Iskandar Puteri, Johor pada 23 Mac 2023.


DAMIEN Lim belum dapat menikmati kap Harimau Malaya di dalam padang walaupun tersenarai bagi menentang Turkmenistan namun mewarisi bakat penjaga gol seperti dua bapa saudaranya, Lim Chuan Chin dan Lim Hong Guan. - Kredit foto: FAM 


“Generasi kedua Lim juga diteruskan anak abang tertua saya, Lim Tong Hai, bek tengah Singapura pada era 80-an yang seangkatan Fandi Ahmad, David Lee dan Malek Awab, yang memenangi pingat gangsa Sukan SEA 1993, gelaran berganda liga dan Piala Malaysia 1994.

“Matthew Lim pula merupakan anak Kim Chon yang membantu Selangor merangkul pingat emas bola keranjang Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21, 2024 di Sarawak.

“Malah tiga anak kepada anak saudara kami beraksi untuk Singapura iaitu Cassandra Ong dan Kimberley Ong dalam wusyu. Cassandra juara Kejohanan Remaja Dunia 2022 di Indonesia dan pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2023.

“Kimberly pula memenangi pingat emas wusyu Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh sementara seorang lagi, Martyn Mun ialah penjaga gol pasukan Bawah 23 republik itu,” katanya. - KitaReporters


MATTHEW Lim diapit oleh Lim Kim Chon (kanan) dan ibunya, membantu Selangor merangkul pingat emas bola keranjang Sukan Malaysia (Sukma) Ke-21, 2024 di Sarawak. - Kredit foto: LHG

9
11
0
10
0

Copy Link: