Ikrar PjBA! Terus lahirkan bakat baharu badminton negara! Terima kasih Felet perkasakan Putrajaya!
Published byKHAIRUDIN Abd. Samad (enam dari kiri) dan Teo Tong Wah (empat dari kanan) serta atlet selain tetamu kenamaan menunjukkan isyarat bagus pada majlis menandatangani perjanjian penajaan Felet dengan PjBA di Putrajaya.
PERSATUAN Badminton Putrajaya (PjBA) berikrar untuk melahirkan lebih ramai lagi bakat baharu remaja untuk diserapkan ke dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sekali gus mewakili negara di pentas antarabangsa, kata Presidennya, Datuk Seri Khairudin Abd. Samad.
Rekod pencapaian pemain-pemain PjBA selama empat
tahun sepanjang sirkit remaja kebangsaan sejak 2020 telah membuktikan kemampuan
dan kegigihan persatuan itu sehingga dua pemainnya, telah terpilih ke ABM pada
2024, tambahnya.
“Kami bukan setakat mencari dan mencungkil bakat atlet-atlet
badminton Putrajaya tetapi akhirnya yang akan mewakili dan membawa nama negara
ke pentas dunia, itu yang terpenting.
“Dua pemain PjBA yang terpilih berlatih di ABM, Bukit Kiara merupakan satu pengiktirafan besar terhadap bakat dan usaha mereka,” katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada 7 Januari 2024.
KHAIRUDIN Abd. Samad dan Teo Tong Wah (tiga dan empat dari kiri) menayangkan dokumen perjanjian penajaan barangan badminton Felet kepada PjBA yang bernilai RM400,000 dari 2025 hingga 2029.
PjBA terdahulu menerima sumbangan penajaan peralatan
badminton berjenama Felet bernilai RM400,000 bagi tempoh 2025 hingga 2029 atau
RM80,000 setahun yang disampaikan Pengarah Urusan Felet International Holdings
Sdn. Bhd., Datuk Teo Tong Wah.
“Antara pencapaian cemerlang atlet PjBA dari 2020
hingga 2024:
- 2020 - empat pingat emas dan dua pingat perak Kejohanan Remaja Kebangsaan
- 2021 - menyertai dan memenangi pingat gangsa kejohanan antarabangsa Asia
- 2023 - tiga atlet PjBA dalam ranking antara 10 teratas Kejohanan Remaja Kebangsaan
- 2024 - dua pemain terpilih ke ABM dan tempat kedua dalam Jelajah Elit Remaja (JET) dengan memenangi dua pingat emas dan satu gangsa. Hoo Yew Teong meraih pingat gangsa Kejohanan Remaja Asia dan Vashnika Gopinath meraih pingat gangsa kejohanan remaja di Pathumthani, Thailand serta naib juara Kejohanan Antara Negeri Bawah 12 Tahun.
“Satu penghargaan yang tidak ternilai atas sokongan Felet ini bagi memperkasa sukan badminton negara,” jelas Khairudin, 61.
KHAIRUDIN Abd. Samad (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Teo Tong Wah (tiga dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian penajaan Felet dengan PjBA di Putrajaya.
Felet telah menaja PjBA sejak 10 tahun lalu yang menurut beliau tanpa sokongan itu serta kerjasama padu ibu bapa para pemain, pasti segala usaha dan perancangan persatuan tidak dapat mencapai kejayaan seperti yang telah dibuktikan.
“Sokongan dan kerjasama ini memberi inspirasi semua pihak untuk terus mencapai matlamat dalam meningkatkan keupayaan industri sukan badminton dan memperkasa pembangunan modal insan,” kata Khairudin.
Setiap tahun PjBA katanya, mempunyai sasaran tertentu termasuk 2025 ini yang pasti dipertingkat berbanding pencapaian dalam tahun-tahun terdahulu.
Walau bagaimanapun beliau menegaskan betapa PjBA masih menagih sejumlah besar bantuan kewangan terutama daripada sektor kerajaan atau penaja swasta lain bagi membiayai kos penghantaran atlet-atletnya apabila keluar menyertai pertandingan di seluruh negara.
“PjBA memerlukan dana. Apabila pemain-pemain hendak ke negeri lain main kejohanan atau jalani aktiviti, di mana kami hendak cari wang? Ke Perlis misalnya, mereka perlukan penginapan, makan minum dan pengangkutan.
“Jadi kami harap adalah sumbangan kewangan dalam membantu badminton – sukan yang selalu menaikkan nama negara ini,” kata Presiden Majlis Senator Malaysia yang turut menerajui persatuan silat, sepak takraw dan golf Putrajaya ini. - KitaReporters
PENGARAH Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Nik Ahmad Zahirudin (dua dari kiri) menerima cenderamata barangan Felet daripada Teo Tong Wah sambil disaksikan Khairudin Abd. Samad (tiga dari kiri).