Bagai sirih pulang ke gagang! Kejohanan Sepak Takraw Asia kembali ke KL! Selepas 45 tahun! 16 negara!
Published byAKSI hebat pasukan Malaysia yang menjuarai acara antara regu dan beregu pada Piala Dunia Istaf tanggal 22 Mei 2024 yang mengundang ribuan peminat membanjiri Stadium Titiwangsa. - Kredit foto: ST
MALAYSIA yang merintis penganjuran pada 1980 malah hanya selepas 45 tahun, barulah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia bakal kembali ke Kuala Lumpur pada 10 hingga 18 Mei 2025 dengan penjenamaan semula di Stadium Titiwangsa.
Stadium Negara, Kuala Lumpur menyaksikan edisi sulungnya dan Singapura menyusuli pada 1982 diikuti Jakarta, Indonesia dengan nama Piala Asia khas bagi regu berpasukan manakala Kuala Lumpur untuk antara regu Kejohanan Asia - kedua-duanya pada 1984.
Setelah sekian lama berstatus ‘terkubur tanpa nisan’, akhirnya Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia juga ibarat sirih pulang ke gagang dengan pemeteraian perjanjian Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di ibu kota pada 28 Oktober 2024.
ABDUL Halim Kader menandatangani perjanjian Astaf-PSM bagi hak tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 sambil diperhatikan oleh Sumali Reduan. - Kredit foto: Astaf
Sejajar peredaran masa dan dinamiknya perkembangan sepak takraw, Piala Asia Astaf 2025 bakal diperluas dengan mempertanding empat acara iaitu regu berpasukan, antara regu, beregu dan berempat (kuadran) hanya bagi kategori lelaki.
Stadium Titiwangsa jugalah yang telah merakamkan pencapaian hebat dan bersejarah dua gelaran antara regu dan beregu oleh pasukan negara pada Piala Dunia Istaf, 22 Mei 2024 setelah mengalahkan musuh tradisi Thailand.
“PSM menjanjikan penganjuran Piala Asia Astaf yang terbaik seperti mana Piala Dunia Istaf 2024 dari 18 hingga 26 Mei lalu.
“Kami ada masa lebih kurang lima enam bulan (dari sekarang). Dalam proses ini, banyak perkara yang perlu diteliti seperti majlis pelancaran, venue, dana dan penaja utama kejohanan,” kata Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan, dipetik daripada berita sebuah stesen TV.
ABDUL Halim (kiri) menayangkan dokumen perjanjian Astaf-PSM yang memberikan hak penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 dalam satu majlis ringkas di ibu kota. - Kredit foto: Astaf
Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, takwim pertandingan sepak takraw antarabangsa sepanjang 2025 setakat ini menjadualkan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand pada Julai dan Sukan SEA Thailand Ke-33 dari 9 hingga 20 Disember.
“Astaf merakamkan penghargaan atas kesudian PSM dengan sokongan padu dan berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menerima tawaran Astaf untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Astaf 2025.
“Kami juga amat percaya bahawa akan lahirnya kesinambungan kejayaan penganjurannya seperti mana Piala Dunia Istaf 2024 lalu di Stadium Titiwangsa yang dibanjiri ribuan peminat sepak takraw,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
Selain tuan rumah dan musuh tradisinya, Thailand, Astaf katanya, akan mengundang penyertaan 14 lagi negara handalan sepak takraw benua Asia iaitu Singapura, Korea Selatan, Jepun, India, Indonesia, Myanmar, China, Iran, Vietnam, Filipina, Brunei, Laos, Kemboja dan Taiwan. - KitaReporters
BARISAN pemain Malaysia yang menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Asia Pertama pada 28 Jun 1980 selepas menewaskan Singapura 3-0 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. - Kredit foto: DSU
SEJARAH SEPAK TAKRAW PIALA ASIA:
Malaysia yang menjuarai Kejohanan Asia sulung dari 25 hingga 28 Jun 1980 dengan menewaskan Singapura 3-0 (15-11. 15-3) (10-15, 15-7. 15-6), (15-1. 15-8), membariskan regu Jusri Rick, Shukri Ismail dan Adnan Saidin; Subari Said, Rahim Kassim dan Sahar Omar; Baharudin Abu Bakar, Jalil Aziz dan Faozi Ayub.
Barisan simpanan terdiri daripada Zainudin Kamarudin, Che Hassan Yeop dan Kassim Arjo manakala jurulatih negara ialah Daud Rubai Khalim Halil dan pengurus pasukan, Ahmad Tajuddin Shahabuddin.
Dalam edisi kedua di Dewan Badminton Singapura, Malaysia mempertahan gelaran dengan menjinakkan tuan rumah 2-1 (18-17, 12-15, 9-15), (15-4, 15-7), (17-14, 5-15, 15-11) pada 4 September 1982 menerusi barisan regu Tajuddin Adan, Zainudin (Rasid Yahya) dan Faozi; Azman Ismail, Shukri dan Adnan; Subari, Rahim dan Sahar sementara jurulatihnya, Kamaruzaman Kassim dan pengurus pasukan, Rosli Hadi.
Skuad negara terus mengekalkan kejuaraannya pada 18 Oktober 1984 dengan menewaskan Singapura (18-16, 15-6), (15-7, 15-10), (15-1, 15-6) dan Indonesia 3-0 di Istana Olahraga Senayan, Jakarta menerusi Azman, Raziman Hassan dan Adnan; Noor Rani Adnan, Ismail Atan dan Faozi; Jusri, Zainal Abidin Othman dan Mahat Daud.
Disebabkan hanya tiga negara menyertai Piala Asia Ketiga ini ekoran penarikan diri Thailand, Filipina, Brunei dan India serta supaya mengisi luangan masa jadual yang dirombak, satu acara antara regu Piala Persatuan Sepak Takraw Seluruh Indonesia (Persetasi) dilangsungkan.
Pertandingan bidan terjun ini dijuarai regu utama negara, Azman, Raziman dan Adnan Saidin yang mengalahkan Singapura 15-7, 15-9 dan Indonesia 15-5, 15-1.
Dalam Kejohanan Asia yang hanya berformat regu di Kuala Lumpur pada 15 Julai 1984, Malaysia kendalian Hassan Sulaiman membolot juara dan naib juara apabila Azman, Raziman dan Adnan mengalahkan Subari, Ismail dan Faozi 15-11, 15-10 termasuk setelah menumpaskan Thailand dan Singapura.
PERTEMBUNGAN getir musuh tradisi, Malaysia (jersi biru) dan Thailand seperti final regu berpasukan, antara regu dan beregu Piala Dunia Istaf 2024 bakal berulang dalam Piala Asia pula di Stadium Titiwangsa pada Mei 2025. - Kredit foto: ST