Mizuno tak gentar! 6 tonggak Harimau Malaya tetap disokong! 5 lagi atlet lain sertai Next Chapternya!
Published by
DOMINIC Tan (6) juga dilantik sebagai kapten bersama Harimau Malaya dalam Kejohanan ASEAN 2024-2025, manakala Daniel Sang Ting kerap berperanan sebagai fulbek (4). - Kredit foto: FAM
KETIKA Harimau Malaya hebat dikecam para peminat dan warganet atas prestasi hambar Kejohanan ASEAN 2024-2025 yang kini berlangsung, sebuah jenama peralatan sukan ternama Jepun jelas tidak terkesan dengannya.
Malah Mizuno menerusi inisiatif
‘Babak Berikutnya’ (The Next Chapter) dan mengumumkan jalinan kerjasama dengan enam
tonggak kebangsaan iaitu Daniel Sang Ting, Dominic Tan, Afiq Fazail, Feroz
Baharudin, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Azam Azmi Murad.
“Mereka juga adalah antara
11 atlet elit termasuk daripada sukan lain seperti hoki, olahraga, golf dan
badminton, sekali gus membuktikan komitmen jenama Mizuno dan era baharunya demi
kemajuan arena sukan tanah air,” kata Pengurus Negara Mizuno Malaysia, Darren
Wong.
Menyertai ‘Babak
Berikutnya’ Mizuno ini ialah Azrai Aizad Abu Kamal dan Shello Silverius yang mewakili
hoki, Ahmad Luth Hamizan (olahraga), Nicholas Fung (golf) dan Shaqeem Eiman
Shahyar (badminton).
“Fokus kami ialah menyokong atlet-atlet elit ini selain menyumbangkan pencapaian cemerlang sukan Malaysia.
Gabungan pemahaman mendalam terhadap keperluan atlet dan inovasi global memberi kelebihan unik Mizuno untuk meningkatkan prestasi mereka,” kata Darren dalam siaran media.
EMPAT atlet olahraga, badminton dan hoki (dari kiri), Ahmad Luth Hamizan, Shaqeem Eiman Shahyar, Azrai Aizad Abu Kamal (dua dari kanan) dan Shello Silverius (kanan) menayangkan kasut berjenama Mizuno dalam sidang media pengumuman penajaan dan pelancaran but bola sepak siri Morelia di Kuala Lumpur. - Kredit foto: MZN
Sebelum ini, Mizuno menjadi penaja rasmi jersi skuad hoki wanita negara (Harimauwati Malaysia), skuad remaja perempuan negara (Harimauwati Muda) dan skuad hoki dewan lelaki dan wanita negara yang dikendalikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selain pelari pecut olahraga, Azeem Fahmi.
“Menjadi sebahagian ‘Babak
Berikutnya’ Mizuno ketika menghadapi Kejohanan ASEAN merupakan detik yang Istimewa.
Komitmen jenama ini terhadap kualiti but bola sepak dan kelengkapan latihan
sangat sesuai dengan keperluan kami sebagai pemain profesional.
“Kami berbangga mewakili Mizuno
sambil menggalas cabaran Malaysia di pentas antarabangsa,” lapor satu kenyataan
bersama oleh enam pemain Harimau Malaya itu.
Hanya Daniel dan Dominic
masih menganggotai skuad negara dalam Kejohanan ASEAN yang menyaksikan mereka mengikat
Kemboja 2-2 di Phnom Penh dan menewaskan Timor-Leste 3-2 di Bukit Jalil pada saingan Kumpulan A, 8
dan 11 Disember 2024 lalu.
Bek tengah dan bek kiri ini walau bagaimanapun dilepaskan kembali ke Sabah FC bagi kempen Liga Super dan Piala Malaysia 2024-2025, sekali gus tidak menyertai Malaysia ketika ditewaskan oleh Thailand 1-0 di Bangkok, 14 Disember 2024 lalu.
SHELLO Silverius (kiri) dan Azrai Aizad Abu Kamal memperagakan jaket berjenama Mizuno. - Kredit foto: MZN
‘Babak Berikutnya’ Mizuno juga memperkenalkan koleksi sembilan but bola sepak iaitu siri Morelia NEO IV, Morelia NEO IV Beta, Morelia II Classic, Monarcida NEO III, Rebellion Pro 3, Rebellion Pro Low, Rebellion Flash 2, Wave Fang 2 dan Wave Claw NEO 3.
Kata Aizad, penjaring 32 gol dalam 80 penampilan dengan skuad hoki negara: “Sebagai penyerang, saya memerlukan sesuatu yang menyokong kelajuan dan ketangkasan serta keyakinan. Ini jelas terdapat pada peralatan Mizuno.”
“Peralihan daripada acara larian jarak sederhana kepada maraton mengajar saya, pentingnya penyesuaian justeru pendekatan inovatif Mizuno banyak menyokong atau menjadi rakan kongsi sempurna bagi atlet olahraga seperti saya,” kata Luth.
Nicholas, pemenang 23 gelaran pro termasuk Piala Permaisuri 2017 Jelajah Asia, berkata, “konsistensi dan ketepatan sentiasa menjadi kunci kejayaan sepanjang karier sukan saya.
“Peralatan golf Mizuno yang berkualiti selari matlamat saya dalam mengumpul lebih banyak kejuaraan sebagai pemain Malaysia,” katanya.
Shaqeem berkata, “sokongan Mizuno banyak membantu ketangkasan, kelajuan dan ketepatan permainan saya di gelanggang badminton sekali gus memperkasa tumpuan saya ke arah membawa dan melonjakkan nama Malaysia.”
SHAQEEM Eiman Shahyar (kanan) menunjukkan kasut sukan berjenama Mizuno bersama-sama Darren Wong (tengah) dan Pengarah Pemasaran Produk Serantau Mizuno, JayVie Ong. - Kredit foto: MZN
AFIQ Fazail (13) dan Feroz Baharudin (18), dua lagi tonggak Harimau Malaya yang but bola sepak mereka turut ditaja Mizuno. - Kredit foto: FAM