Harimau Malaya Kelas 2? Jadi sandaran Kejohanan ASEAN! Kelab-kelab tak lepaskan pemain-pemain utama!
Published byKHIDMAT lapan tonggak Harimau Malaya dalam kesebelasan utama berdepan Laos ini terpaksa dilupakan daripada Kejohanan ASEAN 2024-2025 yang bukan dalam kalendar FIFA dan tidak mewajibkan pelepasan kelab masing-masing. - Kredit foto: FAM
SEKADAR ‘Harimau Malaya Kelas Dua’ atau turut layak digelar 'Pilihan Bintang-bintang Liga M'?
Dua puluh enam pemain yang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) senaraikan pada 29 November 2024 bagi menghadapi Kejohanan ASEAN 2024-2025 boleh disifatkan sebagai bukanlah yang terbaik!
Sebaliknya panggilan pertiwi kali ini mengecualikan sebahagian besar tonggaknya daripada si juara Liga Super hampir 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Arif Aiman Hanapi, Romel Morales dan Feroz Baharudin yang hampir sepanjang 2024 dipanggil ketua jurulatih negara, Pau Marti Vicente, enggan dilepaskan Harimau Selatan sekalipun demi pertiwi tercinta bagi kejohanan dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 itu.
Malah seperti JDT FC, Selangor FC rela diberi muka oleh FAM hanya kerana Kejohanan ASEAN (sebelumnya Piala AFF atau Kejohanan AFF - Persekutuan Bola Sepak ASEAN) bukan dalam kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak mewajibkan pelepasan pemain daripada kelab masing-masing.
Justeru tiadalah nama Nooa Hamzah Laine, begitu juga Azam Azmi Murad, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dari Terengganu FC kerana Liga Super 2024-2025 dan Piala Malaysia yang tetap diteruskan sepanjang kejohanan ini selain JDT FC dan Gergasi Merah perlu mengharungi saingan Liga Juara AFC Elit dan Dua.
Siaran media FAM melaporkan, “skuad ini menampilkan gabungan seimbang pemain berpengalaman dan muda dengan lapan pemain berusia bawah 23 tahun yang purata umur pasukan ialah 25.9 tahun.
“Ini merupakan pilihan pasukan terbaik yang dapat
dikumpulkan kerana banyak kerumitan untuk mendapatkan pemain,” lapor siaran
itu.
Pasukan Pau juga tanpa kapten, Dion Cools yang berpangkalan di kelab Thailand, Buriram United FC.
Hanya 12 daripada 26 pemain daripada skuad yang menewaskan Laos 3-1 dan diikat India 1-1 di Bangkok dan Hyderabad pada perlawanan antarabangsa tahap 1, 14 dan 18 November 2024 lalu, dikekalkan seperti Paulo Josue, Syafiq Ahmad, Adib Ra’op, Daniel Sang Ting, Dominic Tan, Haqimi Azim Rosli, Fazrul Amir Zaman, Sergio Aguero, Fergus Tierney, Stuart Wilkin dan Syamer Kutty Abba serta Haziq Nadzli.
Muka baharu panggilan Harimau Malaya kali ini ialah Najmudin Akmal Kamal Akmal, Daryl Sham George dan Muhammad Abu Khalil daripada skuad Piala Asia Bawah 23 Tahun di Qatar (April 2024), Danial Amier Norhisham, Jimmy Raymond dan Aiman Hakimi Othman yang mungkin sebagai pendedahan awal oleh Pau menjelang tugasan lebih besar, Kelayakan Piala Asia 2027 mulai Mac 2025.
Kembali ke pangkuan setelah tersisih agak lama ialah fulbek Kuala Lumpur City FC, Declan Lambert yang kali akhir menyarung belang Harimau Malaya ialah ketika Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Jun 2024 dan bek tengah Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee (Piala AFF 2022-2023).
NAJMUDIN Akmal Kamal Akmal (6) kali pertama dipanggil Harimau Malaya selepas beraksi pada Piala Asia B-23 di Qatar, April 2024. - Kredit foto: FAM
Malaysia, juara Piala AFF 2010 dan naib juara 1996, 2014 dan 2018, menghadapi juara bertahan, Thailand selain Singapura, Kemboja dan Timor-Leste dalam Kumpulan A yang lebih cerah peluangnya berbanding Kumpulan B yang membariskan naib juara 2022-2023, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.
Berdasarkan ranking FIFA yang dikemas kini pada 28 November 2024, Harimau Malaya kini di ranking ke-132, Thailand (97), Vietnam (116), Indonesia (125), Filipina (149), Singapura (161), Myanmar (167), Kemboja (180), Laos (186) dan Timor-Leste (196). - KitaReporters
MUHAMMAD Abu Khalil yang berpangkalan di kelab Jepun, FC Osaka dan antara tiga pemain berusia 19 tahun dipanggil ke Kejohanan ASEAN. - Kredit foto: FAM
HARIMAU MALAYA KE KEJOHANAN ASEAN 2024:
Penjaga gol: Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Selangor FC), Haziq Nadzli (Perak FC), Haziq Aiman Esa (JDT FC II).
Benteng: Dominic Tan, Daniel Sang Ting (Sabah FC),
Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Ahmad
Khuzaimi Piee, Aiman Hakimi Othman, Harith Haiqal Adam Afkar (Selangor FC), Jimmy Raymond (Kuching City
FC), Adib Ra’op (Penang FC).
Perantara: Daryl Sham George (Johor Darul Ta’zim
FC), Danial Amier Norhisham (Kuching City FC), Syamer Kutty Abba (Penang FC), Stuart
Wilkin (Sabah FC), Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City FC, Vietnam), Muhammad
Abu Khalil (FC Osaka, Jepun).
Sayap: Najmudin Akmal Kamal Akmal, G. Pavithran
(Johor Darul Ta’zim FC), Fazrul Amir Zaman (Kelantan Darul Naim FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC).
Penyerang: Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli (Kuala Lumpur City FC), Darren Lok (Sabah FC), Sergio Aguero (Sri Pahang FC), Fergus Tierney (Chonburi FC, Thailand).
PAU Marti Vicente (baju merah) dan Declan Lambert yang kembali memikat jurulatih itu bagi Kejohanan ASEAN AFF 2024-2025. - Kredit foto: FAM
JADUAL PERLAWANAN KUMPULAN A (MALAYSIA SAHAJA):
8 Disember 2024: Kemboja 2 - Malaysia 2 (Stadium
Olimpik, Phnom Penh, Kemboja)
11 Disember 2024: Malaysia lawan Timor-Leste (Stadium
Nasional, Bukit Jalil)
14 Disember 2024: Thailand lawan Malaysia (Stadium
Rajamangala, Bangkok)
20 Disember 2024: Malaysia lawan Singapura (Stadium
Nasional, Bukit Jalil)
26/27 dan 29/30 Disember 2024: Separuh akhir (jika
layak)
2/5 Januari 2025: Perlawanan akhir (jika layak)