Kenari mahu terbang tinggi! 3 duta KDA FC! CEO Batu, CEO Bieziy, Black! Lejen Portugal duta The Wing!
Published by.

DARI kiri, CEO Batu, CEO Bieziy dan Black Haniffah menayangkan jersi kandang dan tandang Kedah sambil Mohd. Daud Bakar membuat isyarat bagus dalam sidang media pengumuman Rakan Strategik KDA FC di Kuala Lumpur. - Kredit foto: KDA
DALAM keadaan dibelenggu tunggakan gaji 10 bulan pemain dan pegawai, Kedah Darul Aman (KDA) FC cuba menongkah arus sambil menjana sumber kewangan baharu dengan mengumumkan pelantikan tiga duta kalangan selebriti dan seorang bekas pemain Portugal.
CEO Bieziy dan CEO Batu merupakan dua pempengaruh
media sosial dengan konten video pengembaraan manakala Black Haniffah ialah
penyanyi lagu popular “Aku Rindu Sayang Kamu” dan mencipta nama daripada realiti
TV Mentor yang juga anak jati Kupang, Baling, Kedah.
“Bekas pemain Portugal yang pernah main Piala Dunia
dan Euro (Kejohanan Eropah) ini sebagai Duta The Wing (kelab ahli KDA FC). Dia
hendak datang ke Kedah untuk diumumkan namanya tetapi bulan puasa (Mac 2025) ini
saya tidak begitu bersetuju.
“Kami akan cuba pujuk dia umum dalam bulan puasa tetapi
(apabila) dia datang April 2025, kami akan buat perlawanan persahabatan
besar-besaran di Stadium Darulaman (Alor Setar),” kata pemilik KDA FC, Tan Sri
Dr. Mohd. Daud Bakar.
Tanpa mendedahkan identiti lebih jelas figura bola
sepak ini katanya, banyak terlibat banyak perlawanan persahabatan dan kerja
amal yang sesuai dengan semangat kelab serta boleh menyertai masyarakat untuk pembangunan
bola sepak malah menjadi idola kepada pemain Kedah dan Malaysia secara umumnya.
“Dia berminat untuk tahu Kedah dekat mana, makanan
kita apa, budaya macam mana sebelum dia kata ya atau tidak (tawaran Duta The Wing).
“Amat menarik seorang pemain bola sepak bukan tanya tentang berapa banyak piala kami dapat (tetapi) soal budaya, sekolah sukan, berapa banyak budak main (bola sepak). Saya teruja dengan pemikirannya,” kata Daud dalam sidang media pengumuman Rakan Strategik KDA FC di Kuala Lumpur, 21 Februari 2025 lalu.
MOHD. Daud Bakar percaya rukun perniagaan dewasa ini termasuk kelab bola sepak profesional ialah pemasaran dan penjenamaan. - Kredit foto: KDA
KDA FC juga katanya, tetap bertekad untuk kekal dalam
Liga Super bagi musim akan datang malah berjanji akan melunaskan tunggakan gaji
pemain dan pegawainya secara pendahuluan, walaupun bukan sepenuhnya lagi.
“Kami masih tertunggak hutang gaji yang banyak, hampir mencecah 10 bulan. Untuk menenangkan dan kelonggaran, sedikit bayaran paling minimum didahulukan bagi mereka menampung dan meneruskan kehidupan. Kami cuba selesaikan dalam masa terdekat.
“Mereka tanggungjawab kami. Apabila ada kemampuan, kami bayar. Mereka tahu saya berkeseorangan. Dalam konteks bola sepak Kedah, mereka tahu hendak cari siapa lagi, mungkin saya satu-satunya harapan yang mereka ada (jadi) kena ada tolak ansur dan kesefahaman,” katanya.
Daud menegaskan, pemain dan pegawai kelab memberinya kepercayaan dan masa untuk mencari peluang-peluang yang menjana kewangan berdasarkan hubungan baik ketika dia memasuki musim 2024 dengan menyelesaikan tunggakan gaji empat hingga lima bulan.
“Saya selesaikannya dahulu untuk tujuan pelesenan (dengan Liga Bola Sepak Malaysia – MFL). Kalau mereka berasa saya tidak serius dalam bola sepak, saya tidak akan bayar hutang gaji musim lalu,” katanya.
Daud turut mendapati semangat pemain-pemain Sang Kenari begitu luar biasa dan mereka ibarat bukan dalam dunia ini apabila sentiasa bermain bermati-matian untuk menjulang nama Kedah.
“Ini satu pengiktirafan saya buat mereka yang seperti 'dari planet lain'. Mereka bukan tidak puas hati dengan saya. Apabila masuk ke padang, mereka lupa masalah mereka dan bermain sebaik mungkin,” katanya.
BLACK Haniffah mendakwa pernah ditawarkan untuk menggubah lagu tema pasukan lain Liga Super tetapi menganggap kesetiaannya hanya kepada Kedah. - Kredit foto: KDA
Sebuah syarikat antarabangsa dari Amerika Selatan yang beroperasi di Eropah pula katanya, sedia menawarkan penajaan kepada KDA FC andainya dapat mengumpul antara 15,000 hingga 20,000 ahli The Wing.
“Sekarang kami ada 10,000 ahli The Wing. KPI (indeks prestasi utama) itu diletakkan syarikat antarabangsa ini yang pengalaman antarabangsanya punya 100,000 hingga 200,000 ahli dengan pulangan e-dagangnya mencecah berpuluh-puluh juta RM.
“Syarikat ini hendak lihat data lengkap (ahli The Wing) dan akan cuba bantu secepat dan sebanyak mungkin (menaja) KDA FC jika ada angka itu (20,000 ahli),” katanya.
Tegas Daud, tiada pasukan yang mahu dituruntarafkan (ke bawah Liga Super) biarpun banyak pihak termasuk media mengandaikan KDA FC antara tiga kelab yang bakal gulung tikar musim depan gara-gara dibelenggu oleh tunggakan gaji pemain dan pegawai.
“Kami cukup popular antara tiga pasukan itu. Ini tidak adil (dipapar seperti) gambar hiasan yang murahan (sedangkan) benda itu tidak sah dan tidak kukuh malah menjatuhkan jiwa dan perjuangan bola sepak Kedah,” katanya lagi. - KitaReporters
Bieziy atau Irshad berhasrat memperbanyak konten media sosial berkaitan bola sepak, pelancongan dan ekonomi Kedah dengan peranan Duta KDA FC ini malah inilah detik tepat untuk berbakti kepada tanah kelahirannya. - Kredit foto: KDA
DAUD Bakar (berdiri, mengangkat kedua-dua tangan) mengagumi semangat juang KDA FC di gelanggang sekalipun dihimpit kemelut tunggakan gaji sehingga 10 bulan. - Kredit foto: KDA