Mural vertikel yang siap dilukis pada menara tangki air, rumah pam dan dua tangki di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, mencatat sejarah apabila berjaya menghasilkan mural vertikal pertama di Malaysia, sekali gus menjadi mercu tanda baharu universiti itu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata mural yang dilukis pada menara tangki air, rumah pam dan dua tangki di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu bukan sekadar hasil seni, tetapi simbol kreativiti dan inovasi institusi berkenaan.

Menurutnya, mural itu adalah manifestasi komitmen universiti dalam mempromosikan seni dan budaya kepada masyarakat serta mendukung kreativiti dalam kalangan pelajar serta komuniti. 

Terang beliau, mural itu tidak hanya mempamerkan keindahan seni, tetapi turut mengukuhkan identiti UPSI sebagai institusi pendidikan unggul dan kreatif di samping usaha berkenaan menjadi kebanggaan kerana yang pertama di Malaysia dengan projek mural vertikal berskala besar.


 

Dr Md Amin Md Taff (tengah) bergambar bersama mahasiswa UPSI yang menghasilkan mural pada tiga tangki air aras bawah.


“Dengan ketinggian dan ukuran yang mengagumkan, mural ini melambangkan daya saing dan kesungguhan UPSI untuk terus mencipta inovasi yang membawa impak positif kepada masyarakat setempat.

“Pihak UPSI percaya bahawa karya ini bukan sahaja menjadi simbol kebanggaan universiti, tetapi juga daya penarik baharu untuk masyarakat luar mengunjungi UPSI.

“Seni memiliki kuasa untuk menyatukan komuniti dan melalui mural ini, kami berharap dapat menginspirasi lebih ramai pelajar serta pengunjung untuk menghayati kepentingan pendidikan serta kebudayaan,” ujarnya.

Dr Md Amin, berkata selain menjadi tarikan visual yang memukau, mural vertikal itu juga dijangka menjadi latar belakang yang popular untuk aktiviti bergambar dan media sosial.

Jelasnya, keunikan projek itu pastinya menarik perhatian ramai, sekali gus mempromosikan UPSI sebagai destinasi pelancongan pendidikan yang kreatif.

Menurutnya, dengan pemandangan mural yang menjulang tinggi, pengunjung bakal merasai keajaiban karya seni yang membawa sentuhan tempatan dan global.

“Mural ini turut menandakan UPSI sebagai institusi yang inovatif, yang mampu memanfaatkan ruang dan elemen persekitaran untuk menyampaikan mesej pendidikan secara visual serta berharap mural itu akan mengundang rasa kagum serta mencetuskan perbincangan tentang pentingnya seni dan kreativiti dalam dunia pendidikan,” ujar beliau. 


Pelajar Fakulti Seni, Kelestarian & Industri Kreatif (FSKIK) UPSI yang mengusahakan projek Mural Vertikel pertama di Malaysia.


Sementara itu, Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersilan) Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) UPSI, Dr Izzal Khairi Ramli yang juga pereka mural, berkata konsep rekaan mural itu diilhamkan daripada peranan UPSI sebagai Peneraju Kebitaraan Pendidikan.

Menurut beliau, mural itu menampilkan gambaran kanak-kanak membaca buku sebagai simbol pemeliharaan budaya ilmu meskipun dalam era digital yang dipengaruhi teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Visual flora dan fauna turut diterapkan sebagai perlambangan ekosistem unik di Tanjung Malim yang terletak di lembah kaki Banjaran Titiwangsa.

“Kejayaan projek ini diharapkan dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif seni di institusi pendidikan lain selain menggalakkan masyarakat menghargai keindahan mural dalam persekitaran kampus dan bandar,” katanya.

Mural vertikal berkenaan dihasilkan oleh kumpulan Muralman84 yang terdiri daripada empat pelukis dengan penyertaan seramai 168 mahasiswa UPSI semester satu dan semesta tiga, yang terpilih daripada Kursus Lukisan Kreatif dan Asas Reka Bentuk dari Program Jabatan Multimedia Kreatif (JMK). - KitaReporters


Kumpulan pelukis mural daripada Muralman84 yang diketuai oleh Hatta Hashim (dua dari kanan) bersama ahli kumpulan pelukisnya.

0
0
0
0
0

Copy Link: