Penerbit Bidaah ditegur! Islam tak tolak seni! Tapi jangan lalaikan! Ikut panduan syariah! - Jakim
Published by
KONTROVERSI membabitkan drama bersiri ‘Bidaah’ yang mencetuskan kecaman dalam kalangan netizen serta teguran daripada ahli akademik dan agamawan turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya melalui Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan penerbit 'Bidaah'.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan JAKIM pada Sabtu, 15 Mac, 2025, Dr Sirajuddin menegaskan bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah
dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam.
"Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai antara cara untuk mengekspresikan keindahan dianugerahkan Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat.
"Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai serta etika," katanya.
KETUA Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee
Beliau berkata, Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan JAKIM pada 2015 sudah jelas untuk dijadikan rujukan utama kepada semua pihak industri penyiaran.
Menurut Sirajuddin lagi, JAKIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan seniman serta karyawan dalam menghasilkan kandungan bermanfaat dan mematuhi garis panduan agama.
Drama ‘Bidaah’ yang mula bersiaran melalui platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac, 2025 mencetuskan kontroversi apabila tular dalam media sosial adegan pelakon, Vanida Imran sebagai Ummi Rabiatul yang menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid, menggunakan kakinya.
‘Bidaah’ turut menampilkan Fattah Amin, Riena Dian, Marissa Yasmin, Hasnul Rahmat dan Fazlina Ahmad Daud sebagai pemain utama.
LAKONAN Faizal Hussien dan Vanida Imran menerusi 'Bidaah' yang mencetuskan kontroversi.
Walaupun Erma Fatima selaku penerbit dan penulis skrip cuba mempertahan adegan itu sebagai salah satu elemen untuk memberi pengajaran kepada masyarakat namun penjelasan itu sukar diterima orang ramai.
Selain menerima kecaman netizen menerus media sosial, drama itu turut mendapat teguran daripada tokoh akademik, Dr Ahmad Sanusi Azmi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pendakwah, PU Syed.
Drama arahan Pali Yahya dan diterbitkan oleh Rumah Karya Citra milik Erma itu berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang tersebar di sebuah perkampungan dengan mengaku sebagai jelmaan Imam Mahdi.
KENYATAAN JAKIM berhubung kontroversi drama 'Bidaah'.
Dr Sirajuddin berkata, pihaknya
juga meneliti kandungan drama berkenaan meliputi klip video episod yang
mencetuskan kontroversi dan klip video episod belum ditayangkan, untuk menilai
kesan serta implikasi kandungannya.
Penerbit drama itu dilaporkan akur dengan teguran JAKIM dan bersedia memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini. - KitaReporters
'BIDAAH' menampilkan Faizal Hussien sebagai pelakon utama.