DENGAN jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disahkan dimenangi tanpa bertanding selepas saringan Jawatankuasa Pemilihan, apa lagi daya tarikan Kongres pemilihan persatuan yang tinggal untuk 15 Februari 2025 ini?

Hanya nama Datuk Joehari Ayub yang lekat atau layak selaku calon kerusi No.1 FAM itu, manakala Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram akan kekal sebagai Timbalan Presiden setelah mereka sahaja yang tersenarai.

Mereka bertiga hanya perlu menunggu pengumuman rasmi menerusi Kongres di sebuah hotel di Subang, Selangor nanti sebagai penyandang dua jawatan paling kanan dalam badan induk kebangsaan itu bagi penggal 2025-2029.

Jawatankuasa Pemilihan bagi Jawatankuasa Eksekutif FAM yang baharu ini telah menyaring dan menilai 39 nama yang dicalonkan sebaik sahaja tiba batas waktunya pada 5.30 petang 16 Januari 2025, namun hanya 29 yang benar-benar menepati syarat kelayakan bertanding menurut Statut FAM.  


JOEHARI Ayub pernah menjadi pengurus pasukan Bawah 20 Tahun Malaysia pada Kelayakan Piala Asia B-20, 2024. - Kredit foto: FAM


Tanpa No. 1 dan 2 dipertanding (termasuk Tan Sri Hamidin Amin yang mengumumkan tidak akan bertanding semula sebagai Presiden), tumpuan media dan peminat bola sepak tanah air pasti hanya terarah kepada perebutan empat kerusi Naib Presiden FAM.

Lima calon yang mengidaminya ialah Datuk Rosmadi Ismail, N. Saaran, Datuk Azhar Jamaluddin, Datuk Dollah Salleh dan Syed Yazid Syed Omar.

Hanya Rosmadi merupakan penyandangnya manakala selebihnya bakal pendatang baharu termasuk Dollah, pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 sebagai pemain dan ketua jurulatih Harimau Malaya naib juara Piala AFF 2014 serta kini pengurus pasukan Liga Super, Sri Pahang FC.

Syed Yazid Syed Omar pula ketika ini menduduki Exco FAM 2021-2025 selain menjadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, turut muncul Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi penggal 2024-2028 pada Kongres Ke-35 tanggal 12 Oktober 2024 lalu. 


SENARAI AWAL CALON PEMILIHAN EXCO FAM 2025-2029:

1. PRESIDEN (1 kerusi)

BIL

NAMA CALON

1.

 DATUK MOHD. JOEHARI MOHD. AYUB

 

2. TIMBALAN PRESIDEN (2 kerusi)

BIL

NAMA CALON

1.

 DATUK WIRA MOHD. YUSOFF MAHADI

2.

 DATUK S. SIVASUNDARAM 

 

3. NAIB PRESIDEN (4 kerusi)

BIL

NAMA CALON

1.

 DATUK SERI ROSMADI ISMAIL

2.

 N. SAARAN 

3.

 DATUK MOHD. AZHAR JAMALUDDIN

4.

 DATUK DOLLAH SALLEH

5.

 SYED YAZID SYED OMAR


DARI kiri, Mohd. Yusoff Mahadi, S. Sivasundaram, Mohd. Hisamudin Yahaya dan Hamidin Amin (kanan). - Kredit foto: FAM


Laman sosial FAM pada 17 Januari 2025 melaporkan, sekretariat terdahulu memberikan tempoh 24 hari sejak 24 Disember 2024 hingga 16 Januari 2025 lalu untuk 18 ahli gabungannya mengemukakan senarai calon termasuk bagi 10 jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dengan dua daripadanya khas untuk wanita.

Tanpa Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang digantung keahlian, terdapat juga satu ahli gabungan yang tidak menghantar borang pencalonan, manakala satu ahli gabungan yang menghantar borang pencalonan tetapi tidak sempurna, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Prof. Datuk Abdullah Mohamad Said dalam laman itu.

“Oleh itu, hanya pencalonan daripada 16 ahli gabungan yang sah diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM.

“Selepas proses pengiraan, hanya 29 daripada 39 calon yang akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan memandangkan yang baki itu tidak mendapat jumlah pencalonan minimum seperti Artikel 31, Perenggan 6, Statut FAM.

“Bagi merebut jawatan Presiden, calonnya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan ahli-ahli gabungan FAM manakala Timbalan Presiden, lima pencalonan sementara Naib Presiden memerlukan empat pencalonan dan jawatan Ahli Exco hanya memerlukan dua pencalonan,” katanya.


ABDULLAH MOHAMAD SAID


Calon-calon yang layak untuk bertanding ini akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan untuk membalas bersetuju atau tidak, selewat-lewatnya pada 23 Januari 2025, tambah Abdullah.

Jawatankuasa Pemilihan juga jelasnya, akan menghantar nama-nama mereka untuk proses saringan integriti oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).

“Jawatankuasa akan mengumumkan senarai akhir atau rasmi nama calon yang layak pada atau selepas 23 Januari 2025 atau selewat-lewatnya 8 Februari 2025 selain dihantar kepada 18 ahli gabungan untuk makluman mereka.

“Azhar dan Dollah layak bertanding bagi Naib Presiden dan Ahli Exco namun mereka perlu memilih hanya satu jawatan menerusi jawapan dalam Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan,” katanya.

Mantan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah yang pada mulanya dilaporkan mahu menyaingi jawatan Presiden, didapati hanya layak dan tersenarai antara 18 calon Ahli Exco persatuan.  


SENARAI AWAL CALON PEMILIHAN EXCO FAM 2025-2029:

4. AHLI (8 kerusi)

BIL

NAMA CALON

1.

 DATUK MOHD. HISAMUDIN YAHAYA

2.

 TANG CHEE HONG

3.

 MOHD. AZIZUDIN MOHD. SHARIFF

4.

 HISHAMUDDIN ABDUL KARIM

5.

 DATUK ZAINAL ABIDIN HASSAN

6.

 ZULKIFLI CHE HARUN

7.

 DATUK KAMARUDIN HASSAN

8.

 MD. DALI WAHID

9.

 DATUK ADLY SHAH AHMAD TAH

10.

 DATUK SERI MOHD. YUSRI HASSAN BASRI

11.

 DATUK MOHD. AZHAR JAMALUDDIN *

12.

 DATUK DR. FATHUL BARI MAT JAHYA

13.

 DATUK DOLLAH SALLEH *

14.

 A. CHRISTOPHER RAJ 

15.

 DATUK DR. P. SUGUMARAN 

16.

 DATUK SERI AFANDI HAMZAH

17.

 DATUK MUSTAPHA NAGOOR

18.

 ZAMRI IBRAHIM

* Turut dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden


5.  AHLI WANITA (2 kerusi)

BIL

NAMA CALON

1.

 DATUK SURAYA YAACOB

2.

 DR. SITI FAIDUL MAISARAH ABDULLAH

3.

 DATUK DR. FADILAH SARBI

4.

 MIMI AFZAN AFZA

5.

 NUR IZWANI AZMAN

 


SYED YAZID SYED OMAR


DUA bekas penyerang handalan negara, Dollah Salleh (kiri) dan Datuk Zainal Abidin Hassan (kanan) masing-masing dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Exco FAM 2025-2029 pada Kongres Ke-61 tanggal 15 Februari 2025 ini. - Kredit foto: FAM

5
20
0
13
0

Copy Link: