Wira tak didendang! Kisah 100 wira barisan hadapan kesihatan
Published byKETIKA wabak COVID-19 mencetuskan kepincangan pada tahun 2020 ini, bakti yang dicurahkan oleh para petugas barisan hadapan demi keselamatan kita seharusnya dipuji. Pelbagai pengalaman dan pengajaran suka duka, perit jerih dan susah payah dilalui dan dirasai mereka. Dan kini semua kisah tersebut dirakam dalam satu kempen inspirasi berfokuskan kepada slogan #KitaJagaKita!! : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan COVID-19:
https://kitareporters.com/coronavirus
Malaysia Healthcare yang mengiktiraf dan menghargai usaha mereka telah melancarkan kempen nasional yang diberi nama, ‘A Hundred Unsung Heroes’.
Menurut Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) atau Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, dalam satu kenyataan, menyebut kempen tersebut untuk menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas dedikasi dan keazaman mereka.
‘A Hundred Unsung Heroes’ ialah sebuah kempen yang mendokumentasikan perjalanan 100 petugas barisan hadapan yang berjiwa kental.
Ia juga merupakan salah satu inisiatif yang dirangka oleh Malaysia Healthcare untuk mengetengahkan perjuangan Malaysia di persada global dalam usaha untuk menewaskan COVID-19, serta meningkatkan kepercayaan dan keyakinan terhadap infrastruktur kesihatan negara kita.
Setakat ini, pencapaian Malaysia dalam pengendalian COVID-19 mencerminkan kemantapan infrastruktur kesihatan negara kita, sekali gus membuktikan pengiktirafan Malaysia sebagai ‘World’s Healthcare Marvel’.
“Sikap proaktif Malaysia dalam menangani wabak COVID-19 telah meraih pengiktirafan terhadap infrastruktur kesihatan Malaysia oleh badan-badan dunia seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Malaysia juga telah dinobatkan sebagai negara kedua paling cemerlang dalam menguruskan pandemik oleh NLI Research Institute, iaitu badan pemikir yang berpangkalan di Jepun. Pengiktirafan ini adalah hasil daripada infrastruktur kesihatan kita yang efisien dan diyakini, berserta kerja keras yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah oleh para petugas barisan hadapan, termasuk pegawai awam dan pihak hospital,” ujar Sherene Azli, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC).
“Bagi kami, ‘A Hundred Unsung Heroes’ merupakan sebuah kempen nasional yang amat bermakna, kerana kempen ini menyaksikan sektor awam dan swasta berganding bahu untuk menunjukkan sokongan kepada petugas barisan hadapan.
Ia memberi kita peluang untuk mengimbau semula pencapaian kita yang diwarnai sifat keberanian dan perpaduan warga Malaysia ketika melawan krisis, sambil mengetengahkan keupayaan kita untuk terus membangunkan industri kesihatan negara,” tambah Sherene Azli.
Menerusi inisiatif ini, MHTC akan bekerjasama dengan hospital-hospital awam dan swasta yang terpilih untuk mendokumentasikan perjalanan para petugas barisan hadapan yang terlibat dalam pelbagai sektor seperti diagnostik, operasi, dan penjagaan pesakit. Ketika ini, MHTC sedang mendokumentasikan pengalaman yang dilalui oleh petugas-petugas barisan hadapan, dan seratus kisah yang dinukilkan bakal disiarkan sebelum tahun 2020 melabuhkan tirainya.
Ketika industri pelancongan kesihatan menempuhi impak wabak COVID-19, Malaysia Healthcare terus giat mengusahakan pelan pemulihan untuk industri ini. Sebagai permulaan, MHTC telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat bagi kemasukan pesakit antarabangsa ke Malaysia atas dasar keselamatan.
Selain kempen-kempen proaktif yang melibatkan kedudukan global Malaysia sebagai ‘World’s Healthcare Marvel’, MHTC telah menggiatkan usaha untuk membantu badan-badan kesihatan tempatan memulakan semula aktiviti pelancongan kesihatan di dalam negara.
Di samping itu, MHTC telah memanfaatkan inisiatif digital secara proaktif untuk mendirikan asas yang kukuh bagi Malaysia di persada pelancongan kesihatan global. Ia merangkumi konsultasi virtual, webinar, serta perbincangan lintas langsung untuk kekal terhubung dengan para pesakit serta pihak-pihak berkepentingan yang lain.
“Setelah sempadan antarabangsa diisytiharkan selamat, kami berhasrat untuk mengalu-alukan pelancong kesihatan kembali ke ‘Malaysia, World’s Healthcare Marvel’ untuk memanfaatkan servis kesihatan yang disediakan di sini.
"Sementara itu, kami akan terus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai Hab Fertiliti dan Kardiologi di Asia, serta Pusat Kecemerlangan Kanser di rantau ini. Ia turut merangkumi usaha untuk mempromosikan proposisi unik negara ini sebagai destinasi kesejahteraan,” jelas Sherene Azli.
“Sementara komitmen kami untuk menaikkan nama Malaysia sebagai ‘World’s Healthcare Marvel’ terus berkobar, kita tidak boleh menyisihkan wira-wira yang telah mempertaruhkan nyawa mereka demi keselamatan kita semua.
"Mereka telah melangkaui tanggungjawab kerjaya mereka dengan mempamerkan keberanian yang luar biasa. Mereka tidak gentar dan berdedikasi, dan kisah mereka harus dikongsikan kepada dunia. Kami berasa teruja untuk memperkenalkan ‘A Hundred Unsung Heroes’ dan ingin mendengar lebih banyak lagi kisah-kisah keberanian para petugas barisan hadapan kita,” ujar Sherene Azli lagi. - KitaReporters