Video| Pengalaman pertama berlakon! Syaidatul Afifah tertekan, menangis! Main boling lagi mudah!

Published by
KitaReporters

Syaidatul Afifah Badrul Hamidi mendapat bimbingan daripada pengarah, Jinggo dan pelakon, Sheila Rusly sepanjang berlakon dalam drama bersiri 'Ratu Ten Pin'. - Kredit foto: Instagram Syaidatul Afifah


Dari gelanggang boling ke set pengambaran! Ia memang satu pengalaman yang berbeza buat ratu boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

Walaupun membawa watak seorang pemain boling, sesuatu yang bukan asing kepadanya namun peranannya bukan sekadar menghayunkan bola boling bagi memastikan pin jatuh sebaliknya watak Sandra yang dilakonkannya dalam drama bersiri ‘Ratu Ten Pin’ menuntut lebih daripada itu.

Justeru, Afifah tidak menafikan, sedikit sebanyak ia memberi tekanan kepadanya sehingga pada satu ketika dia menangis di set penggambaran kerana tidak tahu apa perlu dilakukan di depan kamera.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan boling


“Watak Sandra yang saya bawa dalam drama itu benar-benar kontras dengan watak sebenar saya. Di luar drama, saya seorang yang periang, banyak cakap dan suka berkawan tapi berbeza dengan Sandra yang sombong, bongkak, iri hati dan pelbagai sikap buruk.

“Saya perlu menjadi orang lain, inilah yang sukar, ditambah pula ada babak-babak yang memerlukan saya bermain dengan emosi seperti marah, sedih dan menangis.

“Apa yang lebih sukar adalah mengubah mood lakonan dalam sekelip mata. Kadang-kadang daripada mood marah, tiba-tiba kena pula tukar kepada mood sedih atau menangis, ia memang susah.


Teraju utama drama 'Ratu Ten Pin', Sheila Rusly, Syaidatul Afifah, Fify Azmi dan Elisya Sandha. - Kredit foto: Instagram Syaidatul Afifah


Saya benar-benar tertekan, buntu dan hanya mampu menangis sehingga terpaksa ditenangkan oleh krew." - Afifah.


“Pernah saya menangis kerana tidak tahu apa hendak dilakukan. Ketika itu kebetulan Sis Sheila (Rusly) tidak berada di set penggambaran, jadi saya tak tahu dengan siapa nak rujuk kerana selama ini beliau yang banyak guide saya sepanjang penggambaran.

“Saya benar-benar tertekan, buntu dan hanya mampu menangis sehingga terpaksa ditenangkan oleh krew. Bila Sis Sheila datang, dia memujuk dan membimbing saya apa patut dilakukan, barulah saya dapat buat,” kata Afifah.

Menurut Afifah, sepanjang penggambaran selama 46 hari untuk menyiapkan 16 episod drama yang ditayangkan di Astro Ria itu, dia mengakui lebih tertekan berbanding menghadapi sesuatu pertandingan boling.


Afifah beruntung kerana turut mendapat tunjuk ajar pelakon berpengalaman seperti Eizlan Yusof, Aleeza Kassim dan Nazim Othman. - Kredit foto: Instagram Syaidatul Afifah.


“Sebagai orang baharu yang langsung tidak ada pengalaman dalam bidang lakonan, banyak benda saya perlu belajar, bukan sahaja daripada aspek lakonan tapi juga hal-hal lain seperti pengurusan masa. 

“Apabila anda terbabit dengan boling, anda sudah tahu rutin anda, apa yang perlu dilakukan. Tumpuan anda hanya satu iaitu bagaimana mahu memenangi pertandingan.

“Anda berlatih mengikut jadual, ada waktu rehat dan ada waktu recovery (pemulihan) selepas latihan dan pertandingan.

“Tapi, ia berbeza dengan lakonan. Anda perlu bekerja dari pagi hingga ke tengah malam. Selalunya pukul 8:00 pagi saya sudah ada di set penggambaran dan pukul 12:00 malam baru selesai. Sampai di rumah dah pukul 1:00 pagi.

“Esoknya anda ulang rutin yang sama sehingga penggambaran selesai. Boleh dikatakan saya hanya tidur selama lima jam sehari. Ia memang amat meletihkan,” ujar Afifah.

Begitu pun menurut Afifah, tidak bererti dia sudah serik untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon kerana di sebalik tekanan itu, dia menikmati keseronokan terutama selepas drama lakonannya ditayangkan dan menerima komen positif daripada peminat.


Afifah menerokai bidang pengacaraan sebagai hos Nadi Arena. - Krediti foto: Instagram Syaidatul Afifah.


“Selepas bersara daripada skuad (boling) kebangsaan, saya memang bercadang untuk meneroka bidang baharu. Saya menjadi hos untuk saluran sukan Nadi Arena dan apabila JS Pictures (Sdn Bhd) tawarkan saya berlakon dalam drama ‘Ratu Ten Pin’, saya fikir mengapa tidak saya cuba. 

“Apa yang membuatkan saya tertarik dengan drama ini adalah ia mengisahkan pemain boling, sesuatu yang sangat dekat dengan diri saya.

“Pada awalnya, saya tidak diberitahu watak yang akan dibawakan. Saya ingatkan watak biasa-biasa sahaja.  Tapi,apabila dapat skrip, saya mula nervous kerana watak yang diberikan agak berat.

“Namun, Sis Sheila meyakinkan saya bahawa saya boleh membawanya dan beliau sedia membimbing saya. Pengarah (Jinggo) dan pelakon-pelakon seperti Datuk Eizlan Yusof, Nazim Othman, Elisya Sandha dan lain-lain juga banyak membantu saya.



“Dan saya lega, sejak mula ditayangkan (pada 28 Jun 2021), saya menerima komen-komen positif daripada peminat. Mereka kata, sebagai pelakon baharu, ok la, saya boleh berlakon.

“Malah, keluarga saya juga memberi komen positif walaupun menurut mereka saya nampak agak gementar dalam beberapa episod awal drama itu.

“Kalau ada yang beri komen negatif pun sikit sangat, saya boleh terima dan jadikan sebagai kritikan membina untuk memperbaiki lakonan saya pada masa akan datang,” ujarnya.

Selain Afifah, drama arahan Jinggo itu turut dibintangi Elisya Sandha, Fify Azmi, Hazeeq Dean, Nazim Othman, Sheila Rusly, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati.

Mengenai watak yang menjadi idamannya jika ditawarkan berlakon lagi, Afifah berkata sebagai seorang yang menggemari aktiviti lasak seperti seni mempertahankan diri, dia mahu mencuba bakat lakonannya dalam filem aksi.

“Saya tak suka watak gedik-gedik, kalau boleh nak watak yang lasak-lasak. Buat masa ini belum ada sebarang tawaran, jika ada saya sedia  mempertimbangkan,” katanya.


Afifah sebagai Sandra berganding dengan Nazim sebagai Arief dalam Ratu Ten Pin. - Kredit foto: Instagram Syaidatul Afifah


Berbalik kepada kerjayanya sebagai pemain boling, Afifah yang mengumumkan persaraannya dari skuad kebangsaan pada September 2020 selepas 11 tahun menabur bakti, berkata, dia tidak akan meninggalkan terus sukan kegemarannya itu.

“Selama 11 tahun bersama skuad kebangsaan, saya sudah memberikan segala-galanya kepada negara. Jadi, saya fikir sudah sampai masanya saya memikirkan pula masa depan saya pula.

“Saya akan teruskan karier sebagai pemain boling tapi secara solo tanpa terikat dengan komitmen bersama skuad kebangsaan yang membataskan saya untuk mencuba bidang lain.

“Sebagai pemain profesional, saya boleh memilih kejohanan tertentu yang mahu saya sertai. Contohnya, saya bercadang hendak menyertai sirkit profesional di Amerika Syarikat serta beberapa kejohanan terbuka yang lain.

“Pada masa sama, saya juga kini membuka kelas asas boling secara dalam talian yang disertai 15 peserta. Saya turut membuka kelas kecergasan secara dalam talian, juga hanya untuk 15 orang.



“Dan perancangan lain, saya dan keluarga bercadang membuka sebuah kafe moden berkonsepkan boling yang mana di dalamnya turut terdapat mini galeri untuk saya menyimpan dan mempamerkan koleksi medal-medal kemenangan saya untuk tatapan pengunjung.

“Walaupun berkonsep moden,namun apa yang bakal dihidangkan kelak adalah makanan tradisional seperti laksa, mi kari dan lain-lain. Emak saya memang pakar memasak menu-menu tradisional.

“Namun, memandangkan wabak Covid (19) belum reda, kami terpaksa menangguhkan dulu perancangan itu dan menunggu masa yang sesuai untuk memulakan operasi,” kata Afifah.

Antara pencapaian terbaik Afifah sepanjang mewakili skuad negara adalah memenangi pingat emas berpasangan wanita pada Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, pingat emas berpasukan wanita Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas dan pingat emas trio wanita Sukan Asia 2018 di Palembang, Indonesia. - KitaReporters


Afifah mencipta pelbagai kejayaan sepanjang 11 tahun mewakili skuad boling negara dan akan meneruskan karier sebagai pemain profesional. - Kredit foto: Instagram Syaidatul Afifah.

 

13
0
0
0
1

Copy Link: