Mulai 1 Ogos, TV3 tampilkan program segar bagi 'Hidupkan Pagi' anda! Perkenal 3 wajah baharu!
Published byBermula 1 Ogos 2021, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad menerusi saluran popularnya, TV3, bakal menampilkan program-program segar, ceria dan mantap pada sebelah pagi, menetapi taglinenya, ‘Hidupkan Pagi’.
Beberapa perubahan telah dilakukan bagi mengukuhkan lagi kandungan program-programnya bagi menceriakan waktu pagi, sekali gus menaikkan semangat yang lebih positif kepada penonton ketika mengharungi tempoh PKP3.0 ketika ini.
“Strategi penjadualan baharu ini akan bermula pada 1 Ogos ini dengan mengukuhkan slot waktu pagi untuk memberi kepuasan kepada penonton setia kami. Menerusi TV3, ada beberapa program yang disingkatkan waktu siaran supaya ia menjadi lebih padat, “ ujar Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nini Yusof (gambar bawah).
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan TV3
Beliau turut berharap penampilan selebriti berbakat besar seperti Nabila Huda, Sissy Imann dan Amyra Rosli yang telah diumumkan sebagai hos terbaharu tiga program popular TV3 mampu menambahkan lagi keceriaan program bersiaran pagi.
Seperti ramai sedia maklum, Pelakon Wanita Terbaik FFM28, Nabila Huda bakal menggantikan Janna Nick dan Awal Ashaari sebagai pengacara program hiburan sensasi 'Melodi’ manakala Amyra Rosli pula mengambil alih pengacara 'Nona', Mira Filzah sementara penyanyi Sissy Iman digandingkan bersama Alif Satar bagi program ‘Muzik Muzik’ yang beralih siaran dari 11 malam hari Isnin ke jam 11.30 pagi hari Ahad pula.
Tiga selebriti baharu yang ditampilkan selepas 1 Ogos 2021. - Nabila, Amyra dan SIssy.
Tentunya keletah kedua-dua hos, Alif dan SIssy ini mampu menceriakan pagi anda dengan sama-sama mengikuti 'Carta Mingguan Muzik Muzik' untuk mengetahui kedudukan terkini lagu-lagu yang dicalonkan.
Selepas 'Muzik Muzik', penonton disajikan dengan ‘Melodi’ bermula 12.30 tengah hari selama satu jam diikuti oleh 'Nona' dengan Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian Anugerah Skrin ke-22, Amyra Rosli sebagai hos baharu bermula 8 Ogos 2021, pukul 2 petang.
Menjelaskan lanjut, Nini Yusof memberitahu, rutin harian penonton akan bermula dengan program ilmiah seperti ‘Tanyalah Ustaz’ setiap hari pukul 6.30 pagi diikuti 'Berita Terkini' pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9 pagi manakala pada hari Sabtu dan Ahad ia bersiaran jam 9.30 pagi.
Selain itu tambah Nini, slot Cempaka yang menyiarkan seleksi drama bersiri popular akan menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Jumaat seawal jam 8.00 pagi.
Drama bersiri pertama yang mengisi slot Cempaka ialah ‘Lelakimu Yang Dulu’ lakonan Sharnaaz Ahmad, Nelydia Senrose, Redza Rosli dan Reen Rahim.
Dalam pada itu, dua program bual bicara popular iaitu ‘Malaysia Hari Ini’ dan ‘Borak Kopitiam’ terus komited dalam berkongsi info menarik, isu-isu semasa serta topik yang berkait rapat dengan soal kepentingan masyarakat.
'Malaysia Hari Ini ‘ akan bertukar waktu siaran pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 9.30 pagi hingga 10.30 pagi mulai 2 Ogos, manakala 'Borak Kopitiam' pula bersiaran pada hari Sabtu dan Ahad dari pukul 8.00 pagi hingga 9.30 pagi.
Berikut senarai perubahan siaran TV3 mulai 1 Ogos 2021. - KitaReporters