TRADISI memasang pelita raya atau panjut adalah amalan biasa di kampung di mana penduduk menerangi halaman kediaman mereka dengan deretan panjut bagi memeriahkan suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Namun sayangnya, peredaran masa menyebabkan tradisi setiap kali Ramadan itu semakin hilang dan dilupakan terutama apabila pemasangan panjut diganti pula dengan lampu kelip-kelip. : KitaReporters 

Replika masjid yang disusun dengan deretan pelita di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Desa Seri Bayu, Gelung Pepuyu di Bota, Perak.


Tidak mahu tradisi warisan itu terus ditelan zaman, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota mengambil insiatif menganjurkan Pertandingan Hiasan Panjut Peringkat DUN Bota 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, pertandingan tersebut diadakan bukan sahaja bagi menyemarakkan suasana menjelang Aidilfitri malah mendedahkan golongan muda kepada tradisi lama yang kian dilupakan.

Menurutnya, lebih 100 penyertaan diterima pihaknya dalam pertandingan yang julung kali diadakan di DUN berkenaan merangkumi kampung, taman perumahan dan perkampungan tersusun.

Kreativiti peserta dari Kampung Tua Lambor Kanan, Bota, Perak.

Katanya, program tersebut juga dianjurkan bagi meraikan minat masyarakat setempat selain ia juga bersesuaian dengan situasi semasa di mana masa terluang yang ada digunakan untuk aktiviti bermanfaat. 

"Aktiviti ini fokusnya di rumah dan ia sesuai dengan keadaan semasa di mana kita tidak boleh berkumpul.

"Selain itu, kita juga meraikan minat mereka. 

"Kalau tiada pertandingan pun, memang mereka akan pasang pelita untuk meraikan kedatangan Syawal," katanya.

Mohd. Nur Asri menyalakan pelita di halaman rumah di Kampung Tua, Lambor Kanan, Bota, Perak.
Sementara itu, seorang peserta, Hashim Talib, 46, berkata, usahanya menghias halaman rumah di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Desa Seri Bayu, Gelung Pepuyu di Bota dekat sini dengan 400 pelita berbaloi apabila terpilih sebagai johan pertandingan tersebut.

Menurutnya, dia mengambil masa kira-kira empat hari untuk menghiasi kediamannya itu dengan membina pelbagai replika termasuk replika masjid daripada susunan pelita.

Katanya, usahanya itu turut dibantu rakan dan penduduk setempat yang tidak mahu melepaskan peluang memeriahkan suasana hari raya di kampung berkenaan.

Khairul Shahril (kiri) menyampaikan hadiah tempat pertama kepada Hashim Talib (tengah) di RPT Desa Seri Bayu, Gelung Pepuyu, Bota, Perak.
"Sebaik sahaja mengetahui pertandingan panjut ada dianjurkan, saya segera mencari pelita. 

"Bagaimanapun bukan senang untuk mendapatkannya dan saya terpaksa mencari sehingga ke Sungai Siput. Kerja-kerja menghias pula mengambil masa empat hari sahaja. 

"Selain replika masjid, pelita turut dipasang pada keris gergasi dan beberapa biji pelita lagi disusun pada barang-barang lama termasuk basikal dan dapur minyak tanah," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Jumaat, 22 Mei 2020.

Hiasan pelita hasil kreativiti Hashim Talib.
Menurut guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Felcra Nasaruddin itu, tema hiasan pelitanya pada pertandingan yang julung kali dianjurkan di daerah berkenaan adalah 'Hari Raya Dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)'.

"Meskipun kita masih dalam tempoh kawalan pergerakan namun ia tidak menjejaskan semangat dan kemeriahan raya di RPT Desa Seri Bayu ini. 

"Malah, tradisi memasang pelita yang sebelum ini lebih popular di daerah Kuala Kangsar, kita bawa ke daerah Perak Tengah pula," katanya yang menerima piala dan wang tunai berjumlah RM500.

Pada pertandingan tersebut, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi peserta dari Kampung Tua, Lambor Kanan iaitu Muhamad Aidil Adha Kamaruzaman, 22, dan Mohd. Nur Asri Mat Ismail, 37. -KitaReporters

Khairul Shahril (kini) menyampaikan hadiah naib johan kepada peserta di Kampung Tua, Lambor Kanan, Bota, Perak.

3
0
0
0
0

Copy Link: