Video| Hattan Istikharah bersama Mestica! Percubaan sulung irama nasyid! Satu perjuangan baharu!
Published byJIKA diberikan lagu bergenre rock atau balada, kemampuan pelantun lagu ‘Biso Bonar’ ini tidak perlu dipertaikaikan namun pernahkah anda mendengar Mohd Shukri ‘Hattan’ Shahabudin atau lebih popular disapa Dato Hattan, 57, mendendangkan lagu bergenre nasyid?
Sebagai penyanyi yang sudah empat dekad berada dalam industri hiburan, tentu sekali genre lagu apa sekali pun Hattan berkemampuan apatah lagi beliau seorang yang memiliki vokal mantap.
Peluang buat julung kalinya bagi anda mendengar Hattan menyampaikan lagu beraura nasyid boleh diukur melalui lagu kolaborasi buat pertama kalinya juga bersama kumpulan Mestica yang kini muncul dengan single terbaharu mereka berjudul ‘Istikharah’.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan lagu nasyid
Kumpulan Mestica... Dari kiri: Khairul, Khalil dan Razin.
Kerjasama itu menambahkan lagi inisiatif beberapa kumpulan nasyid sebelum ini yang berkolaborasi dengan penyanyi solo ternama bagi menghidupkan semula irama nasyid tanah air.
Biarpun lagu yang dinyanyikan itu adalah versi rakaman semula, sekurang-kurangnya usaha dilakukan itu mampu memperkenalkan irama nasyid kepada generasi muda hari ini, sekali gus mengumpul peminat baharu.
Jadi, selepas kali terakhir muncul dengan album ‘Projek Palestin – Satu Misi Kemenangan’ bersama beberapa penyanyi nasyid lain pada 2013, tahun ini Mestica yang dianggotai Muhamad Razin Che Mud (Razin), Mohd Khairulnizam Zainol (Khairul) dan Khalil Khusairi Tarmizi (Khalil) mencuba sesuatu yang baharu.
Dan pembaharuan itu membawa mereka memilih penyanyi legenda Dato Hattan sebagai penyanyi undangan untuk lagu ‘Istikharah’.
“Untuk lagu ini tentunya kita meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi ini kali pertama Mestica berduet dalam satu single dengan Dato’ Hattan yang cukup besar namanya dalam industri muzik kita.
"Saya difahamkan Dato’ Hattan sendiri tidak pernah terbabit produksi atau single bergenre nasyid. Ini satu penghormatan juga disebabkan Dato’ Hattan memilih kami sebagai artis nasyid pertama yang beliau berkolaborasi,” ujar Razin.
Menurut Razin, tentunya satu penghormatan juga apabila Dato’ Hattan bukan sahaja sudi berkolaborasi malah sudi menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh Mestica sendiri.
“Kita mengharapkan lagu ini mendapat sambutan yang baik. Sudah pasti ia memberi impak yang besar kepada Mestica dan kepada semua yang terbabit. Dengan sambutan yang baik insya-Allah akan memberi motivasi kepada kami untuk terus berkarya dan meletakkan Mestica kepada satu tahap yang baharu dalam industri muzik tempatan,” katanya.
Bagi Hattan, beliau menyifatkan lagu ‘Istikharah’ memberi semangat dan sesuatu yang memberi perjuangan.
“Saya ‘salute’ apa yang Mestica cuba buat dan saya menyokong penuh single terbaharu ini di mana saya hanya dijemput sebagai penyanyi. Jadi, saya rasa bahagian penulisan dan mengenai penceritaan lagu ini semua saya serahkan kepada Mestica,” ujar Hattan sambil memberitahu, bantuan daripada pakar nasyid, Daqmie memberikan satu semangat dan memudahkan beliau melaksanakan rakaman di mana sebelum ini beliau tidak pernah buat rakaman nasyid.
Pun begitu, Hattan mengakui dia mengharapkan sesuatu yang berbeza dalam penghasilan video muzik.
“Proses muzik video, sebenarnya saya harapkan perkara yang lain. Saya berharap muzik video itu menjadi sesuatu yang lain. Tapi apapun, bukan semua idea kita sama dan ia tetap bagus sebab dapat bekerjasama dengan anak muda serta pasukan yang baru saya kenal ini,” tambah penyanyi ‘Memburu Rindu’ ini lagi dengan harapan mendapat tempat di hati para pendengar di samping memperoleh kebaikan menerusi liriknya,
'Istikharah’ ciptaan Razin mengetengahkan ‘subject matter’ yang jarang diangkat dalam nasyid ataupun lagu lain.
“Kadang-kadang mungkin ramai yang tidak tahu apa Istikharah itu. Tapi, apabila ia dijadikan inti ataupun isi kepada sebuah lagu maka lebih mudah untuk diterjemahkan yang mana Istikharah ini merujuk kepada solat yang dilaksanakan oleh seorang Muslim ketika berada dalam persimpangan untuk membuat keputusan,” sambung Razin.
Jelasnya lagi, Ia sinonim dalam masyarakat kita bila nak mencari atau bertemu jodoh sama ada pilihannya betul atau tidak.
“Alhamdulillah, isi dan lagu ini saya kira sangat dekat dengan hati orang dan semua akan melalui proses ini sama ada dalam jodoh, kerjaya atau apa jua situasi,” akhirinya.
Lagu Istikarah terbitan Bepositive Music dan Masyhur edaran Universal Music Malaysia ini dilancarkan secara rasmi pada hari ini 28 Januari 2022 serentak dengan video muziknya selepas jam 9 malam dalam saluran Youtube Masyhur. - KitaReporters