Madrasah Al-Hasaniah ini dibina hasil sumbangan para ikhwan Yayasan Sofa Negeri Sembilan pada tahun 2007. - Kredit Foto: Yayasan Sofa


BAGI mereka yang pernah menjejakkan kaki di Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan pasti akan melihat sebuah madrasah tersergam indah berlatarkan pemandangan bukit-bukau menghijau yang mendamaikan pandangan. Apatah lagi, apabila menyaksikan deretan kumpulan pelajar lelaki dan perempuan lengkap memakai seragam sekolah. Ada yang berjubah dan berkopiah putih. Ada juga yang menyarung pakaian rasmi. 

Semuanya mampu mengundang rasa yang sukar diungkap dalam diri. Lebih-lebih lagi buat ibu bapa yang berpeluang menghantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan agama di lembah ilmu As Sofa ini. Tentunya sejuk perut ibu yang melahirkan, tenang hati si ayah yang membanting tulang mencari rezeki demi keluarga tercinta.

Namun, paling berbahagia sudah tentulah insan-insan yang pernah berinfaq dan menyumbang kepada Yayasan Sofa Negeri Sembilan sehingga tertegaknya Madrasah Al-Hasaniah, yang menjadi venue halaqah pelajar dalam membaca, bertalaqi dan menghafaz Al-Quran.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Yayasan Sofa

Sekumpulan pelajar lelaki lengkap berjubah putih dan berserban tekun mengikuti salah satu pengajian ilmu di Madrasah tersebut.


Bayangkan bagaimana agaknya pahala yang mengalir buat mereka kerana menjadi asbab kepada satu kebaikan yang berpanjangan sebegini? Masya-Allah. Tabarakallah. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Salah seorang ikhwan, Mohd Turmadzi Madun, 42, berkongsi, pembinaan madrasah tersebut diilhamkan oleh pengasas Yayasan Sofa, Dato’ Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin pada tahun 2007.

Menurutnya, ketika itu Sheikh Muhammad Fuad memberitahu Madrasah Islamiah di Kampung Bukit Sembilan yang mula-mula didirikan sekitar tahun 2001 sudah tidak dapat menampung jemaah yang datang mengikuti pengajian.

“Saya masih ingat dalam satu majlis yang dihadiri beberapa ulama terkenal dunia termasuk Sayyid Muhammad Ibrahim al-Kittani dari Mesir, para ikhwan kemudian diajak untuk mengadakan maulid di dalam hutan dan kelapa sawit bagi mengambil keberkatan ulama dalam mendoakan projek di kawasan tersebut.

“Allahu Akbar. Menangis saya jika mengenangkan kembali perisiwa itu sekali gus merasai betapa besarnya kuasa Allah dalam membantu hamba-Nya yang ikhlas berjuang di jalan dakwah. Umum pasti mengetahui, jalan dakwah itu bukan mudah. Banyak onak dan duri serta ranjau berliku perlu ditempuhi untuk sampai pada matlamat kita dalam mengenal Allah.

Mohd Turmadzi (kanan) dalam satu majlis sambutan kebesaran Islam di Sekolah Tinggi Islam As Sofa. 


“Justeru, saya amat bersyukur kerana berpeluang menjadi ikhwan dan menyumbang apa yang termampu dalam membantu dakwah Sheikh Muhammad Fuad. Saya mengenali beliau melalui isteri. Kali pertama mendengar kalam beliau ketika mengikuti kuliah Subuh di Madarasah At-Taufiqiah, Chenong pada tahun 2005, saya terus jatuh kasih. 

"Sejak itu, saya tidak mahu berpaling lagi daripada beliau kerana telah menemui murabbi sejati yang membawa kita mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar cinta,” jelas Mohd Turmadzi yang merupakan seorang kakitangan swasta.

Sementara itu, bapa mertuanya, Mohamad Nor Mahmud, 83, memberitahu ketika Sheikh Muhammad Fuad mengajak para ikhwan menyumbang dalam usaha membina Madrasah Al-Hasaniah, beliau turut menggesa anak-anaknya berbuat demikian. Meskipun hanya pesara tentera berpangkat koperal dengan pencen sekadar tiga angka, namun lelaki tua itu tetap tidak mahu ketinggalan berinfaq.

“Saya sentiasa yakin dan percaya dengan kuasa sedekah. Malah, saya sentiasa nasihatkan anak-anak agar jangan takut untuk menyumbang pada Yayasan Sofa. Setiap sumbangan yang kita hulurkan walaupun kecil, pasti ada nilainya di sisi Allah,” kata beliau.

Alhamdulillah, beliau berjaya memenuhi permintaan agar setiap ikhwan menyumbang sekurang-kurangnya RM1,000 sebagai permulaan membina Madrasah Al- Hasaniah. Malah, salah seorang anaknya, Siti Hanim yang tidak bekerja kerana bergelar suri rumah sejak berkahwin sanggup menjual gelang emas perkahwinannya semata-mata untuk menderma bagi tujuan tersebut.


Setiap kali para pelajar bersolat, membaca Al-Quran dan menuntut ilmu, pasti mengalir pahalanya buat mereka yang berwakaf dan berinfaq dalam pembinaan Madrasah al-Hasaniah ini.


Subhanallah. Hakikatnya, bukan semua orang mampu melakukan pengorbanan sebegitu, namun jika Allah telah mengkehendakkan perkara itu, maka beruntunglah mereka.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Saba’ ayat 39 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya, Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkan baginya. Dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.”

Kini, Yayasan Sofa sekali lagi membuka peluang orang ramai untuk sama-sama berinfaq dalam projek pembinaan satu lagi mercu tanda terbaharu yayasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ustaz Abdullah Abdol Razak berkata, Kompleks Islam As Sofa di Mantau akan dibangunkan di atas tanah seluas 2.7 hektar yang bakal dilengkapi pelbagai fasiliti untuk pembangunan pendidikan berorientasikan Al-Quran, turath dan akademik. Projek ini dijangka membabitkan kos RM55 juta dan menjadikannya institusi pengajian terbesar yang diusahakan oleh Yayasan Sofa



Lakaran artis untuk projek pembinaan Kompleks Islam As Sofa di Mantau, Negeri Sembilan yang melibatkan tanah seluas 2.7 hektar.


"Misi kami dengan penubuhan kompleks ini, kita bakal melahirkan 3,000 ahli al-Quran serta ilmuwan hadis menjelang tahun 2025. Sekarang, kami dalam proses pembelian tanah dan Insya-Allah, urusan ini akan selesai akhir tahun ini. Di sini akan terletaknya kampus tetap Kolej Islam As Sofa bagi pelajar dalam dan luar negara, pusat tahfiz menengah, pusat penyelidikan serta surau yang mampu menampung sehingga 5,000 jemaah.

"Kompleks berkenaan akan menjadi pusat pengajian yang menggabungkan pendidikan tahfiz, turath dan akademik kepada pelajar pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga universiti. Malah ia turut menawarkan pengajian kepada orang awam yang berhasrat untuk mendalami al-Quran dan meningkatkan kefahaman dalam bidang akidah," kata beliau yang dipetik daripada temu bual dalam program Malaysia Hari Ini di TV3 baru-baru ini.


Poster menunjukkan Ustaz Abdullah bersiaran bersama program Malaysia Hari Ini di TV3  pada 21 September 2021 lalu untuk menjelaskan mengenai projek pembinaan Kompleks Islam As Sofa.


Tambah Abdullah, STIAS yang merupakan sekolah pertama yang didirikan oleh Yayasan Sofa menjadi bukti kejayaan mereka dalam melahirkan ramai huffaz dan ahli akademik.

"Istimewanya anak-anak yang belajar di As Sofa ini ialah layanan yang diberikan kepada mereka sesuai dengan status sebagai penghafal al-Quran. Kita  angkat martabat anak-anak ini kerana ilmu yang mereka pelajari. Oleh itu, kita menyediakan tempat terbaik dan eksklusif untuk mereka dari segi suasana pembelajaran dan kehidupan mereka di asrama. Mereka hidup dengan selesa, belajar dalam suasana tenang dan persekitaran yang menarik.

"Kalau pergi ke As Sofa, tuan puan boleh lihat sendiri anak-anak ini belajar dalam kelas berhawa dingin, duduk atas karpet yang tebal kerana setiap hari mereka duduk lama di dalam kelas atau madrasah untuk menghafal al-Quran dan belajar ilmu-ilmu turath.  

"Kita tidak mahu pelajar kita berada dalam keadaan tidak selesa dan suasana daif sebagaimana orang membayangkan maahad tahfiz. Yayasan Sofa mahu mengubah tanggapan itu dengan menyediakan prasarana terbaik buat anak-anak huffaz dan penuntut ilmu di semua institusi kami," jelas beliau yang juga merupakan antara pelajar terawal keluaran As Sofa.


Dato' Sheikh Muhammad Fuad (berbaju Melayu putih, tengah) mendengar penerangan daripada arkitek Yayasan Sofa di tapak yang bakal dibangunkan projek Kompleks Islam As Sofa.


Justeru, Abdullah menyeru masyarakat di luar sana khususnya yang beragama Islam agar merebut peluang berinfaq dalam projek ini. 

"Marilah kita sama-sama menjayakan pembinaan ini daripada peringkat awal, dari tanah kosong hinggalah terdirinya bangunan yang bakal melahirkan para huffaz Al-Quran. Insya-Allah, infaq yang kita semai di dunia ini pasti akan dapat dituai hasilnya di akhirat kelak.

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat Tirmizi) 

Setiap sumbangan boleh disalurkan kepada akaun CIMB Yayasan Sofa 8601881873 atau hubungi nombor hotline pada talian 06-2230133. Anda juga boleh layari laman web www.yayasansofa.com.my atau Facebook Yayasan Sofa Negeri Sembilan. - KitaReporters

Keratan akhbar mengenai projek pembinaan Kompleks Islam As Sofa di Mantau, Negeri Sembilan.

31
8
0
12
0

Copy Link: