SI Baju Jingga’ atau orang yang ke-23 di tengah padang bola sepak! Penampilan baharu yang garang dan mewakili sifat tegas serta secara psikologinya, lebih disegani setiap pasukan. Para pengadil dilengkapi jersi serba baharu dan warna baharu, yang lebih garang!! : KitaReporters

BARISAN pengadil Liga M 2020 memperagakan jersi baharu berwarna jingga tajaan Kronos. - Kredit foto FAM.


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


Bukan lagi seperti warna tradisi serba hitam sehingga digelar 'Man In Black' mahupun seperti musim 2019 Liga Malaysia apabila warna jersi para pengadilnya kerap berlegar antara kelabu, firus dan ungu. 

Warna baharu jersi tajaan jenama Kronos ini akan mula dipakai para pengadil apabila Liga Super dan Perdana disambung semula 28 Ogos 2020 sejak tertangguh kerana pandemik Covid-19 pada 16 Mac lalu.

"Rekaan terbaharu jersi berwarna jingga ini dapat lebih kerap digunakan para pengadil dalam perlawanan-perlawanan Liga Malaysia nanti kerana kebarangkalian untuk bertembung warna dengan jersi pasukan, sangat rendah.

"Apanbla menyarung jersi baharu ini, semangat dan komitmen untuk mereka menjalankan tugas pun pastilah perlu diperbaharui. Jadi mereka diharap dapat kembali bertugas selepas 'berehat' lima bulan dengan prestasi yang lebih baik," kata Md. Dali Wahid, Ahli Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil persatuan.

Bukan sahaja Liga Super dan Perdana terpaksa berehat panjang bahkan beberapa pertandingan kelolaan FAM seperti Piala FA, Belia, Presiden dan Liga M3 musim ini terpaksa dibatalkan kerana kesuntukan masa.

TIEW Cheng Tai (kiri) menyampaikan jersi pengadil Liga M tajaan Kronos kepada Md. Dali Wahid di Wisma FAM, Kelana Jaya. - Kredit foto FAM


Pengarah Urusan Paragon Vest Sdn. Bhd. (Kronos Malaysia), Tiew Cheng Tai pula mengulas, “bagi seorang pengadil, pakaian yang ringkas dan kemas merupakan satu kepentingan.

“Sebagai suntikan semangat kepada barisan pengadil Liga M 2020, Kronos Malaysia menampilkan corak dan warna tambahan terbaharu, jingga fluorescent dengan ciri sampingan yang menarik. Kami yakin penampilan baharu dan lebih menonjol ini mampu membantu para pengadil memberikan mutu pengadilan yang mantap dan konsisten sepanjang Liga Malaysia 2020," katanya.

KRONOS, jenama sukan yang tidak asing lagi di negara ini merupakan penaja rasmi pakaian pengadil Liga Malaysia bagi musim 2019 hingga 2021. - Kredit foto FAM


Majlis penyerahan penajaan ini berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada Khamis, 26 Ogos 2020.

Bagi peminat-peminat bola sepak serta barisan pengadil yang mahu memiliki koleksi jersi pengadil (FAM x Kronos) ini, koleksi ini boleh didapati di seluruh pengedar sah Kronos Malaysia di seluruh negara atau di laman sesawan www.kronossea.com. - KitaReporters


BARISAN pengadil Liga M yang mendapat suntikan motivasi baharu dengan penajaan kelengkapan mereka oleh Kronos. - Kredit foto FAM 

0
0
0
0
0

Copy Link: