PALING tepat tema yang digunakan oleh Universal Music Malaysia,’Raya All Out’ bagi memeriahkan lagu hari raya tahun ini apabila membariskan artis-artis terkenal untuk menghidupkan suasana pulang ke desa. 

Antara barisan artis terpilih untuk ‘Raya All Out’ terdiri daripada penyanyi baharu dan lama, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Yonnyboii, Dolla, Kmy Kmo, Luca Sickta, Sophia Liana, Hannah Delisha, Asyraf Nasir, Wanie Kayrie, Siqma dan The Gadys.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lagu raya

Dari kiri: Hannah Delisha, Dayang dan Sophia Liana antara artis yang terlibat dalam menghasilkan lagu raya bertemakan 'All Out Raya', dijangka terbit tidak lama lagi.


Lagu raya Yonnyboii dan Wany Kayrie juga akan keluar tidak lama lagi.


Al maklum, dua tahun kita tidak dapat merasai dan menghidupkan suasana balik kampung dan sudah tentu tidak lengkap rasanya perjalanan pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya Aidilfiti tanpa dendangan lagu ‘Balik Kampung’ ini.

Lagu yang cukup malar segar dan menjadi siulan semua golongan peringkat umur, dari kanak-kanak sehingga orang tua, lagu ‘Balik Kampung’ sudah dianggap penyeri sambutan Syawal.

Sehubungan itu, satu daripada lagu tersenarai sudah tentu lagu ‘Balik Kampung’ yang menjadi keutamaan artis-artis baharu seperti penyanyi dan rapper popular Kmy Kmo, Luca Sickta, Siqma, Asyraf Nasir dan Yonnyboii dan disusun semula oleh Luca Sickta yang turut bertindak selaku penerbit.




Menariknya, lagu 'Balik Kampung' kali ini mempunyai rasa hip hop dengan cangkuk dan melodi asli, ditambah dengan kreativiti daripada mereka berlima yang pernah muncul di ‘Rap Der Raya 2021’.

Penyanyi baharu, Asyraf Nasir berpendapat lagu ini masih mengekalkan sentuhan asal nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Menurutnya, lagu ini diadun semula atau ‘remix’ dengan baik oleh Luca Sickta dan sangat ‘catchy’ kerana bahagian korusnya seperti yang kita sedia maklum adalah asalnya dari lagu penyanyi legenda, Sudirman Arshad.

“Sejujurnya saya sangat teruja diberikan kesempatan ini untuk menambah lagi serba sedikit elemen hip hop dan penulisan baharu dalam lagu ini,” katanya.

Bagi Siqma pula, lagu 'Balik Kampung' menceritakan mengenai perasaan rindu pulang ke kampung bagi menyambut hari raya selepas dua tahun tidak dapat berbuat sedemikian.

“Lagu ini berkenaan perasaan rindu dan perjalanan sebelum, semasa dan selepas pulang ke kampung untuk menyambut hari raya pada tahun ini,” katanya.



Berkongsi mengenai proses penulisan lagu, Luca Sickta berkata ia dibantu oleh Yonnyboii.

Penulisan saya dibantu oleh Yonnyboii dan ia mengisahkan mengenai seorang yang takut untuk pulang ke kampung tetapi tetap merindui suasana, keluarga dan beraya di kampung.

"Begitu juga dengan proses rakaman yang mana ia sangat mudah serta turut dibantu oleh Yonnyboii. Semoga lagu  ini dapat menemani pendengar ketika dalam perjalanan balik ke kampung tak kira di hari perayaan ataupun tidak,” katanya.

Sementara itu, Kmy Kmo memuji kerjasama dan komitmen baik yang diberikan oleh semua yang terbabit dalam menghasilkan lagu itu.

“Kami sudah biasa bekerjasama. Jadi, segala proses berjalanan dengan lancar dan mengambil masa yang singkat. Pendek kata ia sangat mudah,” katanya.

Tentu saja, keserasian yang wujud antara mereka menjadikan setiap proses penghasilan lagu 'Balik Kampung'  sangat luar biasa.

“Tiada sebarang cabaran, alhamdulillah semuanya berjalanan dengan baik dalam proses penulisan dan rakaman saya,” kata Yonnyboii.



Sementara itu, Pengurus promosi dan pemasaran Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar (gambar atas) memberitahu,  penerbitan lagu bertemakan ‘Raya All Out’ bertujuan mengembalikan semula ‘mood’ selepas dua tahun hanya beraya di rumah.

“Tahun ini pihak Universal Music Malaysia ingin mewarnai kemeriahan hari raya dengan memberi ‘mood’ raya selepas dua tahun kita berada dalam fasa PKP dan tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman.

“Kemeriahan ini kita kena rasai seperti dulu lagi. Jadi, kami di Universal Music menyajikan lagu-lagu raya yang baharu dan menarik untuk menemani anda sepanjang jalan balik kampung dan memeriahkan suasana raya anda di kampung,” katanya.

Lagu raya baharu yang dilancarkan ini sesuatu yang cukup istimewa kerana ada antaranya sudah lama tidak merakamkan lagu raya seperti Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah

Pastinya, lagu raya baharu daripada Universal Music Malaysia ini mengajak kita semua untuk meraikan Syawal kali ini dalam susasana penuh meriah. 

“Biarlah raya kali ini kita ‘all out’ selepas dua tahun tidak melaluinya,” akhiri Anne sambil memberitahu lagu Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaezah akan menyusul tidak lama lagi manakala lagu raya Hael Husaini dengan girl grup popular, Dolla, ‘Suara Lebaran Kita’ sudah pun berada dalam pasaran. - KitaReporters


9
16
0
9
0

Copy Link: