TANDA awal banjir akan melanda daerah Jerantut semakin jelas apabila kenaikan paras air Sungai Tembeling dari kawasan pedalaman Hulu Tembeling berikutan hujan lebat sepanjang beberapa hari lalu. Lazimnya, setiap kali musim pejur (tengkujuh), air Sungai Tembeling sudah mencecah hampir paras tebing dan menenggelami kawasan pasir dan jeti bot penambang di enam buah perkampungan Melayu terletak di pesisir sungai itu. : KitaReporters


Air Sungai Tembeling sudah menenggelami ruang parkir di bawah dan kawasan jeti bot penambang di Kuala Tahan, Jerantut pada 25 November 2020. - Kredit foto: Norhasiyati Taharin


Lagi laporan-laporan berkaitan Sungai Tembeling:

https://kitareporters.com/search?search=Tembeling


Enam perkampungan itu ialah Kampung Kuala Tahan, Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai.

Seorang penduduk Kampung Bantal, Hulu Tembeling yang dikenali NABMZ telah menghantar video berdurasi 30 saat menerusi instagram INFO BANJIR PAHANG 2020 menunjukkan amaran siren 'amaran air Sungai Tembeling telah melebihi aras amaran. Dinasihatkan bersiap sedia untuk berpindah'. 


Video memaparkan amaran siren banjir di Kampung Bantal, Jerantut meminta penduduk bersiap sedia berpindah. - Kredit video: NABMZ dalam instagram INFO BANJIR PAHANG 2020


Hal yang sama juga berlaku di Taman Negara Kuala Tahan menerusi paparan video kiriman yang sama berdurasi 25 saat dalam instagram INFO BANJIR PAHANG  menunjukkan arus deras Sungai Tembeling dari kawasan Hulu Tembeling.

Senario arus deras dan kenaikan paras air menyebabkan limpahan masuk ke kawasan parkir bawah berdekatan jeti dan restoran terapung di pintu masuk Taman Negara.


Video memaparkan amaran siren banjir di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut menunjukkan arus deras Sungai Tembeling dan paras air mencecah amaran bahaya. - Kredit video: NABMZ dalam instagram INFO BANJIR PAHANG 2020 


Restoran terapung (floating restaurant) milik pengusaha digerakkan ke tebing untuk ditambat pada pokok besar dan tebing konkrit bagi mengelakkan dihanyutkan arus deras Sungai Tembeling. - Kredit foto: Norhasiyati Taharin


Manakala, pengusaha makanan mengalihkan restoran terapung (floating restaurant) dan menambat di pokok besar pinggir sungai dan tebing konkrit yang lebih selamat dari arus kuat, termasuk bot penambang tersadai dan diikat (ditambat) dengan kemas untuk mengelakkan di hanyutkan air.

Kenaikan paras air sungai utama itu juga dibantu oleh aliran anak sungai yang melimpah, iaitu Sungai Sepia, Sungai Pengau, Sungai Keniam dan Sungai Tahan berikutan hujan turun tanpa henti sejak beberapa hari lalu dan fenomena cuaca yang tidak menentu.


NORHASIYATI TAHARIN


Sementara itu, Pengusaha Tahan Guesthouse, Norhasiyati Taharin menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook  miliknya, berkata paras air Sungai Tembeling hampir mencecah paras amaran pada 64 meter, pada pukul 3 pagi, 25 November 2020.

Kredit foto: FB Norhasiyati Taharin


Norhasiyati menerusi hantarannya menyebut pada pukul 11 pagi ini, 25 November 2020, menunjukkan paras Sungai Tembeling sudah pun kembali menyusut dalam 10 kaki (3.05 meter).

"Nampak jelas, pokok renek dan lalang di Pulau Agoh tunduk je (air sudah surut), tanda ia adalah laluan air sungai dan paras air naik sebelum subuh tadi," katanya dalam laman sosial FB.


ABDUL JALIL ABD RAHMAN


Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, fenomena air (arus) pasang surut Sungai Tembeling bergantung kepada kekerapan taburan hujan di kawasan Hulu Tembeling.

"Apabila menjelang akhir tahun, iaitu bermula musim tengkujuh, air sungai utama naik menyebabkan penduduk di kampung pesisir (sungai) sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga malahan fenomena itu sudah 'mangli' bagi kami di sini.

"Kebiasannya air naik ke paras kawasan parkir di pintu masuk taman dan separuh Pulau Agoh di tengah sungai, manakala pengusaha restoran terapung mula menarik premis itu ke tebing dan menambat 'rakit' restoran berkenaan pada batang pokok besar agar tidak dihanyutkan arus bah," katanya. 


Pengusaha restoran terapung, Yaacob Hamzah menambat premis (restoran) miliknya pada tebing konkrit setiap kali air Sungai Tembeling melimpah di Kuala Tahan pada 24 November 2020. - Kredit foto: Norhasiyati Taharin


MI HAMIDI NIPAH


Penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah juga berkata, mereka sudah menjangkakan paras air akan naik memandangkan hujan lebat di hulu dalam minggu ini dan kelihatan sungai dipenuhi tanah berlumpur, kayu balak dan reba pokok kecil terapung yang tumbang akibat runtuhan (hakisan) tebing dihanyutkan arus deras.

"Apabila senario ini berlaku, penduduk yang bekerja sebagai nelayan sungai akan memberhentikan penangkapan (menjala) ikan, manakala pengangkutan bot penambang juga 'berehat' sementara kerana arus sungai deras," katanya.

Tambahnya, fenomena banjir kawasan itu sudah menjadi 'asam garam' kehidupan penduduk Hulu Tembeling dan walau bagaimanapun mereka tetap waspada dan bersedia berdepan sebarang kemungkinan sekiranya musibah seperti bah merah 2014 berulang semula. - KitaReporters

1
1
4
2
0

Copy Link: