Kenangan mengusik kalbu! Reunion pelajar Form 3A Sekolah Menengah Rendah Selekoh, Bagan Datuk!
Published byDoor gift dan hadiah cabutan bertuah berlatarbelakangkan banner reunion (perjumpaan semula).
PERTAMA kali bertemu selepas 50 tahun berlalu adalah detik yang sangat menggembirakan bagi bekas rakan sekelas Form 3A (1968-1971) Sekolah Menengah Rendah (SMR) atau Lower Secondary School, Selekoh, Bagan Datuk di Perak.
Kegembiraan terpancar pada wajah masing-masing pada majlis pertemuan semula atau reunion bersejarah pada 5 Mac 2022 lalu pukul 3 petang, selepas lima dekad tidak bertemu. Masing-masing berpisah usai peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) tahun 1971.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan reunion
SeriNur Homestay di Rungkup, Bagan Datuk, lokasi Reunion rakan sekelas Form 3A Sekolah Menengah Rendah Selekoh.
Pertemuan diadakan di SeriNur Homestay, rumah inap milik salah seorang rakan sekelas, Rahmah Mohamed, di Rungkup, Bagan Datuk.
Untuk rekod,
Sekolah Menengah Rendah Selekoh ketika itu menyediakan pendidikan dari Remove
Class hingga Form 3 sahaja bagi aliran Inggeris. Juga dari Tingkatan 1
hingga Tingkatan 3 bagi aliran bahasa Melayu.
Kerana itu
pelajar yang lulus peperiksaan LCE atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP) meneruskan
pelajaran di sekolah lain. Paling hampir ialah Sekolah Khir Johari, Sungai
Sumun. Namun terdapat beberapa orang , pelajar Form 3A yang lulus peperiksaan menyambung
pelajaran ke Teluk Intan, Ipoh atau Kuala Lumpur.
Sekolah tersebut kini bertukar nama kepada SMK Tun Abdul Razak dan menyediakan pendidikan sehingga Tingkatan Enam.
RAKAN sekelas Form 3A Sekolah Menengah Rendah Selekoh, Bagan Datuk yang hadir pada reunion pada 5 Mac 2022. Berdiri dari kiri Baharuddin, Amirdin, Sarwani, Yunus, Ahmad dan Rahman. Depan dari kiri Rokiah, Darawati, Habibah dan Rahmah.
Lima dekad tidak bertemu mengimbau kembali kenangan indah rakan-rakan sewaktu dalam Form 3A. Yang hadir ialah Yunus Yusak, Rahman Idris, Baharuddin Md Noor, Amirdin Nazri, Ahmad Abdul Hamid, Sarwani Abdul Hamid, Rahmah Mohamed, Darawati Md Zin, Rokiah Marzuki dan Habibah Shuib. Ada yang sudah setuju hadir tetapi ada halangan pada saat akhir.
Rasa
terharu menjelma di kalbu kerana diberi rezeki oleh Allah dapat bersua semula. Cuma
jika dahulu muda belia, sekarang sudah menjadi datuk atau nenek. Jika dahulu
rambut lebat hitam kini rambut putih lebih banyak.
Selepas LCE, masing-masing membawa haluan sendiri, mengharungi kerjaya masing-masing. Ada yang tinggal di Kuala Lumpur, Melaka, Kuala Kangsar, Klang dan Taiping. Ada yang menetap dalam dakapan suasana desa penuh nyaman.
Malah tidak
tahu pun sebenarnya ada di antara rakan yang tinggal berdekatan antara satu
sama lain, misalnya di Kuala Lumpur, kerana memang tidak pernah berhubung.
Namun ingatan terhadap rakan sekelas tidak pernah padam. Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan rakan-rakan sekelas ini.
Rahman atau Man Besi dan Rokiah bekerja keras mengupas kelapa muda untuk sajian rakan-rakan Reunion.
Usaha ini penuh mencabar kerana tiada banyak petunjuk di mana masing-masing berada dan bagaimana untuk dihubungi. Namun berkat usaha tidak mengenal lelah, seorang demi seorang berjaya dijejaki. Kesemuanya kemudian berkampung dalam grup WhatsApp yang dikenali sebagai ‘Grup Sekolah Menengah Rendah Selekoh’.
Maklumat juga
diperoleh beberapa orang rakan sekelas telah pergi terlebih dahulu menghadap
Ilahi. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan diampuni dosa.
Ternyata kewujudan kumpulan bual ini menjadi pengikat silaturahim yang lama terputus serta membolehkan rakan-rakan aktif berinteraksi. Hasil perbualan dalam grup inilah tercetus idea untuk mengadakan Reunion.
Ingin sangat rasa di hati bertemu kembali setelah sekian lama terputus hubungan tanpa khabar berita, bukan sekadar berbual dalam WhatsApp.
Setelah
perbincangan dan perancangan, akhirnya tarikh pertemuan dipersetujui pada 5 Mac.
Pengisian program juga dibincang. Semua ghairah menanti tarikh ditetapkan. Yang
tinggal di luar Bagan Datuk juga kembali ke desa, ada yang menempah untuk menginap
di inap desa milik Rahmah.
Tiba hari yang ditunggu, bahang kemeriahan mula terasa apabila seorang demi seorang tiba. Doa dibaca memulakan majlis oleh Yunus Yusak, mantan ketua kelas atau monitor, juga mantan guru besar di Pelabuhan Kelang. Hujan renyai bagai memberkati majlis.
RUMAH Warisan Pekmar, rumah lama bersejarah yang telah dipulihara dan dibaik pulih sehingga kelihatan cantik berseri.
Perbualan mengimbau kenangan lama bertali arus. Kisah pahit manis sewaktu bersekolah kembali menerjah telinga, disulami senyum dan ketawa. Setiap yang hadir juga memperoleh door gift dan hadiah cabutan bertuah.
Makanan yang disajikan juga semuanya membangkitkan selera, termasuk sate, soto, roti jala dengan kuah durian, kuih muih dan buah-buahan. Air kelapa muda tidak ketinggalan disajikan.
Terlalu banyak kisah lama yang diugkap sambil menjamu selera sehingga tidak sedar sang suria semakin membenamkan cahaya. Ketika hampir menjelang senja, semuanya kemudian melawat Rumah Warisan Pekmar, sebuah rumah milik keluarga Rahmah, rumah bersejarah yang telah cantik dipulihara dan dibaik pulih di Sungai Lanchang, Bagan Datuk.
Keesokan
harinya, Sarwani pula menjemput rakan-rakan ke rumahnya di Sungai Balai dan
disajikan dengan jamuan makan tengah hari. Nasi, ayam goreng, sup daging
menghiasai meja, diserikan pula dengan pecal. Tidak ketinggalan kuih muih.
Sesungguhnya Reunion Form 3A meninggalkan kenangan abadi dan begitu menyentuh hati rakan-rakan sekelas. Majlis berjalan lancar berkat kerjasama semua. Masing-masing berpisah dengan doa dan harapan agar ia bukan kali pertama dan terakhir.
Pertemuan lain diharap menyusul nanti. Semoga diizinkan oleh Allah. - KitaReporters
Bergambar di rumah Sarwani (belakang kanan) yang memberi jamuan makan tengah hari kepada rakan-rakan.