Berita Terkini| Ingkar SOP raya? Polis nafi keluarkan kompaun RM30,000 kepada tuan rumah, tetamu

Published by
KitaReporters


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan penularan gambar tular dalam media sosial berhubung pelaksanaan operasi pihak polis yang mengenakan kompaun sebanyak RM30,000 kepada orang awam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman, berkata yang ditular itu adalah gambar pemeriksaan rumah ke rumah pada hari raya pertama Aidilfitri di kawasan perumahan di Nilai Impian, Nilai, pada Khamis, 13 Mei 2021.

"Gambar itu disalah tafsir sebagai tindakan kompaun. Kejadian sebenar adalah polis melakukan tinjauan bersama dengan pihak media untuk melihat kadar pematuhan penduduk terhadap SOP Aidilfitri di kawasan berkenaan.

"Dalam tinjauan itu, kami mendapati kadar pematuhan penduduk di kawasan perumahan berkenaan berada pada tahap tinggi dan tiada sebarang aktiviti yang melanggar SOP ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya seperti yang dipetik oleh Bernama pada Jumaat, 14 Mei 2021.

Gambar tular dalam Twitter itu memaparkan pemilik akaun 'No War But Class War' menaik status "Area Rumah Aku Nilai Impian. Tuan Rumah RM25K, Tetamu RM5K."

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar menghentikan sebarang penyebaran gambar atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


0
0
0
0
0

Copy Link: