Contoh baucar yang akan diagihkan kepada 300 keluarga mualaf di Kelantan, Terengganu dan Pahang sepanjang Ramadan.


PERSATUAN Cina Muslim Malaysia (MACMA) mengambil langkah berbeza berbanding tahun sebelumnya bagi membantu golongan fakir dan miskin daripada kalangan keluarga mualaf untuk mendapatkan bekalan makanan sepanjang Ramadan tahun 2021 ini.

Ketua Biro Dakwah Persatuan Cina Muslim Kelantan, Terengganu & Pahang, Abdul Halim Teng Abdullah, berkata persatuan itu akan mengedarkan baucar seminggu sekali kepada 300 keluarga mualaf yang sudah dikenal pasti di tiga negeri berkenaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mualaf



Menurutnya, persatuan sudah membuat penelitian terperinci terhadap keluarga itu dan mendapati memang berhak menerima bantuan baucar berkenaan bagi membolehkan mereka mendapatkan barangan basah dan sebagainya sepanjang Ramadan.

Katanya, sehubungan itu juga persatuan sudah mendapatkan kerjasama beberapa pasar raya yang akan menerima baucar berkenaan bagi membolehkan mualaf terbabit mendapatkan pelbagai makanan termasuk untuk tujuan berbuka puasa dan bersahur yang dimasak sendiri.


Warga emas dalam kalangan keluarga mualaf yang menghadapi masalah sentiasa dibantu.


“Kami tidak memberi wang tunai seperti tahun sebelum ini sebaliknya diganti dengan baucar itu membolehkan mualaf terbabit dapat memilih bekalan makanan segar seperti ayam, ikan, daging serta sayur-sayuran.

“Persatuan akan membuat bayaran terus kepada pasar raya yang dipilih apabila menerima baucar berkenaan dan dapat mempastikan peruntukan yang dikeluarkan itu dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.


Antara keluarga mualaf yang menerima bantuan daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia.


Abdul Halim berkata, bagi memastikan usaha berkenaan berjaya dilaksanakan persatuan kini giat mengumpul dana supaya baucar itu dapat dikeluarkan sebelum Ramadan yang akan membantu keluarga terbabit membuat persiapan.

Menurutnya, persatuan akan memberikan kepada setiap keluarga mualaf terbabit baucar yang bernilai RM150 untuk setiap minggu dan mereka akan menerima sebanyak empat kali dalam sebulan bagi membolehkan mendapat bekalan makanan.


Persatuan Cina Muslim Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.


Katanya, sejak beberapa minggu lalu persatuan sudah menerima sumbangan daripada pelbagai pihak yang menginfakkan  wang termasuk individu yang tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan ganjaran pahala apabila membantu mereka yang kurang upaya memperoleh makanan untuk berbuka dan bersahur.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sekarang ini persatuan sentiasa peka dan membantu keluarga mualaf yang terkesan dan kita tidak mahu mereka diabaikan sepanjang Ramadan 2021 nanti.


Pandemik Covid-19 yang melanda negara turut membuka peluang kepada Persatuan Cina Muslim Malaysia untuk menghulurkan bantuan.


“Persatuan merayu kepada semua pihak termasuk badan korporat, ahli perniagaan serta individu berkemampuan untuk membantu menjayakan agihan baucar itu, persatuan akan mengeluarkan resit bagi tujuan pengecualian cukai pendapatan  dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri,” kata Abdul Halim.

Setiap sumbangan wang tunai boleh disalurkan kepada akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 0303601 0010232 (Persatuan Cina Muslim Malaysia) atau menghubungi Abdul Halim menerusi nombor 012-8860611 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - KitaReporters

19
4
0
0
0

Copy Link: