SURAU AL-FALAH, Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.


SEMPENA kedatangan bulan Ramadan mulia, penduduk Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, mengadakan aktiviti gotong royong membersihkan Surau Al-Falah dan memasak bubur lambuk untuk diagihkan secara percuma kepada para penduduk. 

Aktiviti gotong royong diadakan pada Ahad, 11 April 2021, dua hari sebelum Ramadan. Penduduk taman lelaki dan wanita sama-sama berganding bahu menjayakan program ini yang berlangsung dari pagi hingga tengah hari.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Taman Danau Kota


MEMBERSIKAN kipas antara aktiviti gotong royong di Surau Al-Falah , Danau Kota.


Gotong royong melibatkan kerja-kerja pembersihan bahagian dalam dan luar surau. Ini termasuk membersihkan peralatan-peralatan di dalam surau seperti kipas dan lampu serta bilik air dan mimbar. Surau Al-Falah adalah surau Jumaat.

Selain itu, karpet di ruang solat utama juga divakum. Begitu juga ruang solat di sisi ruang solat utama. Sawang dan sesawang labah-labah juga dibersihkan. 

Usaha sanitasi nyahkuman Covid-19 juga dijalankan sebagai langkah pencegahan penularan pandemik tersebut.

Kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman ini bertujuan memastikan keselamatan dan keselesaan para jemaah yang bertambah dalam bulan Ramadan untuk menunaikan solat fardu dan sunat tarawih.


KAUM wanita membersihkan kawasan solat wanita di Surau Al-Falah, Danau Kota, pada majlis gotong royong pada 11 April 2021. - Gambar oleh Ghazali Katun.


Di bahagian luar surau pula, kawasan sekitar disapu dan dibersihkan. Rumput rumpai ditebas dan pokok-pokok yang sudah tinggi dicantas.

Kawasan letak kereta juga dicat semula garisannya sementara kawasan tambahan letak kereta juga ditandakan bagi memudahkan jemaah meletak kenderaan masing-masing.


POKOK yang tinggi dan menyemakkan persekitaran dicantas dan ditebang pada gotong royong di Surau Al-Falah, Danau Kota.


MEMBERSIH dan menandakan tempat letak kereta tambahan untuk jemaah Surau Al-Falah.


Oleh kerana terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pematuhan SOP yang ketat, tidak ada jamuan berbuka puasa diadakan di surau seperti tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Bagaimanapun, pihak surau ada menyediakan 100 pek bungkusan makanan setiap hari untuk diagihkan kepada para jemaah. Mereka perlu datang sendiri ke surau jika ingin mendapatkan pek makanan tersebut.


RAMLY mengetuai aktiviti memasak bubur lambuk di Taman Danau Kota, Setapak, di kabin taman permainan kanak-kanak.


Selain gotong royong surau, tahun ini aktiviti memasak bubur lambuk juga diadakan mulai awal Ramadan sehingga 27 Ramadan. 

Inilah kali pertama penduduk mengadakan aktiviti memasak bubur lambuk yang diketuai Haji Ramly, pesara Maybank, dibantu oleh penduduk lain.

Aktiviti ini diadakan di kabin di taman permainan kanak-kanak bermula pukul 2.30 petang. Bubur lambuk siap dimasak dan sedia diagihkan dalam lingkungan pukul 5.30 petang.

Bubur siap dimasukkan ke dalam bekas. Penduduk hanya perlu datang mengambil sendiri. Agihan terbuka kepada semua penduduk, termasuk yang bukan beragama Islam.


PENDUDUK Taman Danau Kota sama-sama menjayakan aktiviti memasak bubur lambuk.


Perbelanjaan untuk menyediakan bubur lambuk ini adalah atas sumbangan penduduk taman. Keperluan memasak seperti periuk, gas dan sebagainya juga adalah atas ihsan para penduduk taman.  

Yang pasti, aktiviti gotong royong membersihkan surau dan program memasak bubur lambuk ini menyerlahkan perpaduan kukuh dan kerjasama erat dalam kalangan para penduduk Taman Danau Kota

Semangat inilah yang memupuk kekuatan dan keceriaan dalam kalangan penduduk selama ini. - KitaReporters.com


PENDUDUK Taman Danau Kota sama-sama menyediakan bahan-bahan yang diperlukan bagi memasak bubur lambuk.

1
0
0
0
0

Copy Link: