Berita Terkini| Tiada cadangan tutup bazar Ramadan di Perlis! Sistem kad giliran diguna pakai

Published by
KitaReporters

Bazar Ramadan di Perlis menggunakan sistem kad giliran bagi mengehadkan jumlah pengunjung di bazar Ramadan pada satu-satu masa. - Kredit foto: Majlis Perbandaran Kangar Perlis


TIADA perancangan bagi menutup atau menghentikan operasi bazar Ramadan, Aidilfitri dan pasar segar di seluruh Perlis susulan peningkatan kes Covid-19 di beberapa negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis, Azizan Sulaiman berkata, kadar jangkitan Covid-19 di negeri itu buat masa ini masih terkawal.

"Kita tidak akan melakukan tindakan drastik dengan penutupan atau menghentikan operasi, sebaliknya tambah baik sistem prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dengan laksanakan sistem kad giliran.

"Sistem ini mengehadkan jumlah pengunjung pada satu-satu masa dan telah dijalankan bermula 3 Ramadan. Hanya sekitar 150 hingga 200 orang sahaja dibenarkan masuk dan yang lain perlu menunggu.

"Pelaksanaan sistem kad giliran ini bukan sahaja dilaksanakan di bazar Ramadan kelolaan Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) tetapi juga di bazar Ramadan kendalian pihak swasta," katanya dipetik laporan Harian Metro pada 18 April 2021.

Sehingga 17 April 2021, Perlis merekodkan sebanyak 346 kes jangkitan Covid-19 dan kembali menjadi zon kuning selepas berada dalam zon hijau selama dua minggu dari 28 Mac hingga 10 April 2021 lalu. - KitaReporters 


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


0
0
0
0
0

Copy Link: