APA itu nasyid? Adakah suara wanita yang berlagu dianggap haram? Itu persoalan yang diajukan kepada Juara Gema Gegar Vaganza musim ke-2, Dr. Fitri Haris yang kemudiannya menjawab, "suara wanita bukannya aurat tetapi suara wanita boleh jadi haram." Haa… gitu! : KitaReporters



Lagi kisah-kisah berkaitan nasyid: 

https://kitareporters.com/search?search=nasyid


Bekas pengasas kumpulan nasyid UNIC ini yang lebih dikenali sebagai Dr. Pit berpendapat suara wanita yang kedengaran seperti menggoda boleh menjadi haram.

“Ada ulama berpendapat walau pun wanita itu mengaji al-Quran dengan suara yang berlenggok, itu pun dianggap haram apatah lagi menyanyi lagu-lagu yang memang niat lengguknya untuk menggoda dan untuk meningkatkan nafsu lelaki,” ujar pemilik nama penuh Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris, 36,  sambil merendah diri mengatakan beliau bukanlah individu selayaknya untuk komen mendalam. 



Pun begitu tambahnya, hukum tetap hukum tetapi suara perempuan bukan aurat dan boleh jadi haram pada keadaan tertentu.

“Apabila dikatakan menggoda ia bukan melibatkan suara sahaja tetapi liriknya, penampilannya. Mungkin suaranya biasa tetapi penampilannya membuatkan suaranya nampak menggoda. Itu kefahaman asas yang boleh kita pandukan,” tambah Dr. Pit.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis media khas yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM) Kuala Lumpur pada 15 Disember 2020, di mana Dr. Fitri Haris membentangkan amanah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Dana Kandungan Digital yang ditawarkan oleh kerajaan waima beliau diberi tanggungjawab dalam mengkaji Muzik Nasyid di Malaysia dengan menghasilkan  sebuah buku ilmiah. 

Turut hadir antaranya Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID), Muhamad Razin Che Mud (tengah) dan Munif Hijjaz (tiga dari kanan).



Bertajuk ‘Nasyid - Dari Tradisional Klasik Sehingga Kemodenan  Kontemporari’, buku yang dijangka akan diterbitkan di pasaran tempatan pada tahun 2021 merupakan kajiannya selama hampir empat tahun  dalam mengkaji muzik nasyid di Malaysia.

“Antara kandungannya adalah apa yang membezakan nasyid dan muzik-muzik lagu ketuhanan yang lain, elemen-elemen apakah yang diperlukan bagi meletakkan sesuatu muzik atau landskap muzik itu sebagai nasyid,” cerita Dr. Pit yang berpendidikan Ijazah Kedoktoran di dalam bidang Musikologi (Musik Islam) dari University of Nottingham, United Kingdom.

Berpegang pada tagline, ‘buka minda terima fakta’, Dr Pit merancang untuk mengendalikan sebuah bengkel ke seluruh negeri tahun hadapan dengan kerjasama pihak atasan terbabit, di mana kos yang diperlukan untuk perancangannya itu melibatkan dana RM500,000.

Selain itu, katanya, beliau juga melalui syarikat penerbitannya, Niyatension Empire Sdn Bhd berhasrat menerbitkan dokumentari khas sebanyak13 episod berkaitan ‘This is Nasyid’ melibatkan RM1.3 juta.

“Saya berharap mendapat sokongan pihak-pihak tertentu untuk turut menaja projek-projek saya itu, jadi tahun hadapan terpaksalah saya kerja keras untuk menjadikan harapan saya itu satu kenyataan,” ujar beliau yang menjadikan rakan sekampungnya, Mawi sebagai role model untuk berjaya sebagai pengarah, pelakon dan penerbit filem.



Menyentuh lagi perancangan masa hadapannya untuk memartabatkan panduan syariah dalam berkarya, Dr. Pit juga dengan kerjasama Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) di bawah pimpinan Presidennya, Ayob Abd Majid akan mengemukakan cadangan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau FINAS mengenai bagaimana sesebuah produksi itu boleh dilakukan mengikut garis panduan syariah.

“Harapan saya agar filem, drama dan muzik dapat digabungkan menjadi satu panduan atau 'kitab' rujukan silabus kepada pelajar-pelajar pengajian Islam di IPT khususnya dalam subjek khas berkaitan,” tambah Dr. Pit berkeyakinan.

“Saya ada modulnya dan saya juga memiliki bakat seni, jadi saya yakin mampu melaksanakannya,”  sambungnya.

Untuk rekod, melalui modul ‘This is Nasyid’, tahun 2020 merupakan tahun ketiga beliau memperkasakannya dengan beberapa buah negara yang dijelajahi antaranya United Kingdom dan Mesir manakala jadual perancangan untuk memperkasakan dan mempromosikan modul tersebut di Morocco terbantut gara-gara pandemik COVID-19.

“Walau bagaimanapun, ujian ini membuka peluang yang lain melalui kaedah pemasaran digital dengan kerjasama KKMM,” akhiri Dr. Fitri Haris yang turut menyuarakan hasratnya untuk kembali aktif dalam  bidang lakonan pada tahun 2021 apabila berlangsungnya siri drama ‘Light and Love’ yang bakal menyaksikan beliau sebagai teraju utamanya, di bawah terbitan Nurflix TV. - KitaReporters


1
0
0
0
0

Copy Link: